KUALA LUMPUR, 31 Julai (Hrkh) - PAS negeri Selangor menegaskan kewujudan pusat hiburan, judi dan spa haram yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Dato' Seri Dr Mohd Khir Toyo berjumlah sebanyak 4,000 buah telah wujud sejak BN memerintah Selangor. Penegasan tersebut dinyatakan oleh Setiausaha Perhubungan PAS, Khairuddin Othman ekoran dakwaan Khir sejak Selangor ditadbir oleh kerajaan Pakatan Rakyat pusat hiburan haram wujud berleluasa. Beliau turut mendesak Khir Toyo supaya mengakui secara terbuka bahawa semua lesen-lesen perjudian, spa dan pusat hiburan diluluskan ketika kerajaan BN mentadbir kerana selama setahun empat bulan kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor tidak pernah meluluskan lesen baru untuk premis tersebut. PAS negeri Selangor mendakwa Khir tidak pernah serius dalam menangani kes-kes kewujudan pusat hiburan haram ketika beliau memegang tampuk pemerintahan negeri Selangor. Katanya, kenapa baru sekarang Khir mendedahkan tentang masalah rumah urut sedangkan ketika beliau menjadi Menteri Besar dahulu rumah urut beroperasi tanpa kawalan dan pemantauan daripadanya. Justeru, PAS negeri Selangor berpendapat dakwaan Khir itu tidak berasas sebaliknya ia merupakan usaha terdesak beliau untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu penyelewengan yang dilakukan. "Penyelewengan beliau seperti isu banglo bernilai RM24juta, isu pemindahan dana Balkis RM9.9 juta dan sebagainya," tegas beliau. Sehubungan itu beliau menegaskan Khir Toyo perlu menjawab terlebih dahulu semua dakwaan terhadapnya sebelum membuat pelbagai fitnah terhadap kerajaan Pakatan Rakyat. "Khir Toyo boleh mengelabui mata rakyat tetapi bukan kepada kami rakyat Selangor," tegasnya.
------------------
ADUN PAS PERMATANG PASIR MENINGGAL DUNIA Sabri Said dan Wan Nordin Wan Yaacob
| KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh)- Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia awal pagi hari ini di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur. Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Saleh Man ketika memberitahu, jenazahnya dalam urusan di bawa balik ke Pusat Khidmat Dun yang pernah menjadi tempat tinggal sewanya sewaktu memenangi Dun Permatang Pasir sejak pilihanraya umum ke 10 tahun 1999 lalu. Menurutnya, Allahyarham telah seminggu berada di IJN untuk menjalani rawatan susulan akibat kesakitan di bahagian jantung kembali setelah menjalani pembedahan sebelum pilihanraya umum ke 11 tahun 2003 di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada Pilihan raya ke 12 lalu beliau sekali lagi menang dengan majoriti besar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) sekaligus mengekalkan kemenangan tiga penggal berturut-turut bersama Ahli Parlimen Permatang Pauh, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. "Allahyarham menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri selama 11 tahun setelah pemergian Allahyarham Tuan Guru Haji Zabidi Ali penghujung tahun 1980 an. Beliau seorang yang dedikasi dan merupakan pejuang yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta benda kerana memartabatkan Islam, " jelasnya. Baru-baru ini Allahyarham dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Dato' sempena ulangtahun Tuan Yang Terutama Dato' Seri Utama Dr Abdul Rahman Abbas yang ke 71. Harakhadaily dimaklumkan, jenazah Allahyarham bertolak dari IJN pukul 10 pagi ini dan dijangka sampai ke Permatang Pasir jam 2 petang ini. Bagaimanapun tempat dan waktu pengkebumianya belum dipastikan cuma berkemungkinan petang ini. Sementara itu, Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dalam smsnya kepada Harakahdaily memaklumkan sedang dalam perjalanan ke IJN bagi menziarahi Allahyarham, beberapa pimpinan dijangka akan menziarahi jenazah dalam masa terdekat. AJK PAS Pusat, Dato' Kamarudin Jaffar menyifatkan pemergian Allahyarham merupakan kehilangan besar kepada PAS. "Allahyarham adalah seorang pemimpin PAS yang amat kuat bekerja, rapat dengan rakyat sehingga mampu mempertahankan kerusi di Permatang Pasir walau dalam keadaan genting," ujarnya./wann _ |
----------------------
JURU UKUR KHAS TENTUKAN LOKASI SEBENAR PELANTAR MINYAK Muhammad Yusri Amin | KOTA BHARU, 30 Julai (Hrkh) - Kemelut kedudukan sebenar pelantar carigali minyak dan gas dijangka diketahui umum apabila rombongan kerajaan negeri dan anggota-anggota parlimen Malaysia melawat lokasi berkenaan awal Ogos ini. Turut disenaraikan dalam rombongan tersebut pasukan juruukur khas, Adun, media dan nelayan. Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Dato' Husam Musa berkata, lawatan kerja ke kawasan pelantar minyak itu diharap dapat menentukan kedudukan sebenar pelantar berkenaan. "Ini memandangkan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Mustapa Mohamed sebelum ini mendakwa pelantar terbabit terletak di kawasan tuntutan bertindih di bawah perjanjian antarabangsa membabitkan Malaysia, Thailand dan Vietnam. "Jadi kita akan buktikan pelantar dimaksudkan masih dalam kawasan perairan Kelantan walau pun mungkin bertindih dengan Thailand," katanya kepada pemberita di pejabatnya semalam. Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika kempen pilihan raya kecil di Manek Urai sebelum ini tidak mahu PAS mempolitikkan isu royalti minyak dan gas kerana kedudukan pelantar di kawasan bertindih. Husam berkata, kalau lokasi pelantar bertindih di antara Kelantan dan Thailand bermakna negeri ini berhak ke atas royalti minyak dan gas sebanyak lima peratus setahun seperti ditetapkan Petronas. "Adalah tidak berbangkit Kelantan tidak layak menerima royalti petroleum sebagaimana negeri-negeri lain termasuk Sabah, Sarawak dan Terengganu. "Jadi lawatan tersebut akan membuktikan apa yang didakwa oleh Dato' Mustapa itu tidak benar dan Kelantan mempunyai hak ke atas royalti di bawah semangat federalisme," ujarnya. Beliau juga berkata, Petronas tidak memberi penjelasan dalam tempoh 48 jam seperti diarah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika kempen pilihan raya di Manek Urai baru-baru ini. Beliau turut merakamkan ucapan banyak terima kepada sokongan banyak pihak untuk membolehkan Kelantan menuntut royalti terbabit. Antaranya, mantan Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah yang menjelaskan Kelantan berhak menerima royalti lima peratus seperti termaktub dalam perjanjian dimeterai antara kerajaan pusat, Petronas dan kerajaan negeri. Akta Malaysia Thailand Joint Development Authority (MTJDA) 1990 juga menyatakan perjanjian-perjanjian sedia ada di antara Malaysia dan Thailand serta mana-mana pihak sebelum ini masih lagi terpakai. Petronas sebelum ini menandatangani perjanjian dengan semua kerajaan negeri yang mempunyai sumber petroleum untuk memberi hak mendapat royalti lima peratus setahun sama ada di daratan atau lautan. Pemimpin Umno juga mendakwa Kelantan tidak berhak terhadap minyak yang ditemui 150 kilometer dari persisiran pantai negeri ini. Sedangkan amalan sedia ada menunjukkan Petronas membayar royalti minyak kepada Terengganu dan Sarawak biar pun pelantar berada lebih 200 kilometer dari pantai negeri terbabit. Kelantan menuntut Petronas membayar sebanyak RM1 bilion memandangkan carigali minyak dan gas di kawasan PM301 bermula sejak 2004. Jabatan Perangkaan Malaysia juga menjelaskan nilai pengeluaran kasar industri petroleum pada 2004 di perairan Kelantan, Terengganu dan Sabah berjumlah RM47 bilion. | (Berita - berita dini diambil dari Harakah Daily. 31 Julai 2009)
| ---------------- Seri Paduka hadir Mesyuarat Raja-Raja  YANG di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin mendengar sesuatu diperkatakan Najib sebelum Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 di Kompleks Dewan Undangan Negeri Baru Petra Jaya, Kuching, semalam.
| KUCHING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin semalam, berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-218 di Kompleks Dewan Undangan Negeri baru Petra Jaya, di sini. Seri Paduka diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Mesyuarat dihadiri semua Raja Melayu kecuali Kelantan yang diwakili Pemangku Raja Kelantan, Johor oleh Tunku Mahkota Johor, Terengganu oleh Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Terengganu dan Pahang oleh Tengku Besar Pahang. Ia dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Pulau Pinang, Sabah dan Melaka turut hadir. Mengiringi Sultan dan Yang di-Pertua Negeri pada mesyuarat berkenaan ialah Menteri Besar dan Ketua Menteri masing-masing,kecuali Kelantan dan Pahang yang diwakili Timbalan Menteri Besar masing-masing.
Ini kali ketiga Sarawak menjadi tuan rumah mesyuarat itu selepas kali pertama pada 1972 dan yang kedua pada 1992. Menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah mengenai pertahanan, keselamatan, agama dan pelantikan hakim Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan. Sementara itu, Seri Paduka dan Tuanku Nur Zahirah, selamat berangkat pulang ke Kuala Lumpur pada kira-kira jam 3.20 petang semalam, selepas berada di sini selama lima hari. Terdahulu, Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, turut berlepas pulang kira-kira pada jam 2 petang dengan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 31 Julai 2009)
----------------------
KHAIRY MAHU BERSEMUKA DENGAN KETUA PEMUDA PAS
Ketua Pemuda UMNO Malaysia Khairy Jamaluddin nak adakan pertemuan empat mata terlebih dahulu dengan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hasan bagi mengadakan perbincangan awal ‘ tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak ‘ mengenai wacana ilmiah yang telah dipersetujui antara kedua-dua pergerakan Pemuda itu. Katanya pertemuan dengan Nasruddin tanpa melibatkan pihak lain adalah paling penting baginya kerana beliau ingin tahu apa yang Nasruddin mahu dan apa ada dalam isihatinya. “Saya tidak mahu lagi main tarik tali, saya mahu jumpa Nasruddin selaku Ketua Pemuda PAS tidak kira di mana kerana beliau yang utuskan surat pada saya dulu, ini bukan muzakarah lagi baru nak jumpa,” katanya Khamis malam ketika ditanya persiapan Pemuda UMNO untuk mengadakan wacana ilmiah itu, Khairy bercakap pada sidang media di Ibupejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sebelum merasmikan pasukan ragbi ‘Samurai’ Pemuda UMNO. Katanya pada bulan lalu beliau telah menghantar surat rasmi kepada Nasrudin untuk bertemu antara ketua dan ketua, tetapi sebaliknya ia telah dibalas oleh Setiausaha Dewan Pemuda PAS. "Surat itu mahukan saya berurusan dengan jawatankuasa teknikal wacana yang bercanggah dengan persetujuan asal iaitu ia perlu dibincangkan terlebih dahulu antara kedua-dua pihak sebelum cadangan wacana diteruskan," katanya. Sebagai rekod, Nasruddin Hasan pada 1 Julai lalu telah menyerah surat jemputan kepada Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui Naib Ketua Datuk Razali Ibrahim di lobi Parlimen bagi mengadakan satu wacana ilmiah sebelum bulan Ramadhan hujung Ogos ini. Pemuda PAS cadangkan tajuk wacana itu ‘Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan dengan Islam.’ “Surat asal saya adalah untuk jumpa dia, sebab ramai sangat yang cakap…dia jadi macam-macam, dipihak PAS, ketua pemuda cakap lain dan setiausaha cakap lain. Kenyataan yang dikeluarkan dengan surat yang dia keluarkan bercanggah sebab itu saya mahu jumpa dia sendiri,” jelasnya. Ditanya samada pertemuan itu akan terganggu selepas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat membuat kenyataan mencerca UMNO, Khairy berkata, “saya percaya ada sebahagian ahli PAS yang tidak berapa setuju dengan kenyataan tersebut sebagai contohnya Ketua Pemuda PAS.”
Mengenai perlunya hubungan dua hala itu diteruskan, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, “terpulang pada bentuk perjumpaan yang hendak diadakan ini. Saya tidak mahu dengar melalui media atau berunding dengan jawatankuasa teknikal, dia ketua saya pun ketua, saya kena faham apa yang dia nak. Dan dia kena faham apa yang saya sanggup buat, kalau sekiranya usaha ini boleh bawa sesuatu yang baik bagi kedua-dua belah pihak, apa salahnya tapi sekiranya niat berbeza maka kita jangan teruskan.” Ditanya perkara penting yang bakal dibincangkan sekiranya pertemuan itu berlaku, Khairy berkata, “soal masa depan negara, saya juga dapati bahawa ada sedikit ketidakselesaan dikalangan segelintir pemimpin PAS terhadap kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat (PR).” Katanya, “perkara pokoknya PAS tidak akan main tarik tali dengan kita soal muzakarah dan kerjasama ini sekiranya mereka seratus peratus selesa dalam PR tetapi sudah banyak sangat kenyataan yang dikeluarkan pemimpin-pemimpin PAS yang menyatakan bahawa mereka nak adakan perbincangan dan hubungan tidak rasmi dengan UMNO.” “Ini tanda ada ketidakselesaan yang ketara dalam PR, jadi perbincangan ini soal masa depan negara, sekiranya PAS nak bersama dengan BN dalam apa jua bentuk hubungan maka kita nak bincang, tidak ada lebih pada itu, kita telus dalam hal ini.” terang Khairy. Katanya dalam pertemuan itu juga nanti beliau akan menyuarakan pendirian tajuk yang dicadangkan PAS iaitu 'Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan Dengan Islam' kurang sesuai dan akan mencadangkan tajuk yang berkaitan dengan masa depan negara. Sebelum itu ketika menjawab soalan wartawan tentang pasukan ragbi Pemuda UMNO yang dinamakan ‘Samurai’ berperanan merapatkan hubungan Pemuda UMNO akar umbi, Khairy menganggap penubuhan pasukan itu akan memberi peluang pada golongan sasar pemuda di bandar dan universiti disamping sukan bolasepak dan sepaktakraw yang diminati golongan muda tempatan akan diperkemaskinikan. Soal ramai golongan muda diperingkat akar umbi yang lebih cenderong pada bolasepak dan takraw, Khairy menjelaskan bahawa Pemuda UMNO tidak akan abaikan kedua-dua sukan tersebut. “Kita masih lagi meneruskan program bola dan sepaktakraw tapi kita kena ingat pemuda dalam bandar dan pelajar universiti yang minat dengan sukan ragbi,” katanya. Pasukan ‘Samurai’ terdiri dari beberapa orang pemain ragbi kebangsaan dan wakil-wakil kelab ragbi tempatan. Diketuai kapten pasukan kebangsaan Mohd Azuan Azimi. Pemuda UMNO akan mencari pemain sendiri untuk diasuh bagi menyertai pertandingan dipelbagai peringkat.-30/7/2009
---------------------
ISA: AMARAN KDN
Oleh WAN RAMLI WAN MUHAMAD pengarang@utusan.com.my KUALA TERENGGANU 30 Julai – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran keras kepada orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan menyokong atau membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Beliau juga mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya segera bertindak terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan yang dijadualkan Sabtu ini di ibu negara. ‘‘Polis perlu bertegas dan ambil tindakan bagi memastikan undang-undang dan Perlembagaan negara tidak dicabul sewenang-wenang. ‘‘Negara ini dibina berlandaskan acuan kita sendiri dan bukannya negara barat,” katanya selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat bagi Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Sebelum ini pelbagai pihak termasuk Jawatankuasa Pusat Parti Rakyat Malaysia (OPRM) menyokong penuh Perhimpunan Mansuhkan ISA yang akan diadakan pada 1 Ogos. Mengulas lanjut Hishammuddin berkata, penganjur perhimpunan tersebut sebenarnya mempunyai niat untuk menghuru-harakan negara. Dalam hubungan ini katanya, pihak polis tidak pernah mengeluarkan sebarang permit untuk sebarang perhimpunan mansuhkan ISA. Katanya, walaupun pihak polis difahamkan terdapat pihak tertentu yang berhasrat menganjurkan perhimpunan tetapi permit belum dipohon. Hishammuddin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa saja yang cuba mencabar atau menganggu-gugat kewibawaan polis. TUMPAS 
Pegawai dan anggota polis menyusun kira-kira sejuta biji dadah jenis eramin 5 bernilai RM20 juta dan wang tunai yang dirampas semasa sidang akhbar di Pulau Pinang semalam.
Penyeludupan masuk kira-kira sejuta pil eramin 5 melalui pusat kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) yang ditumpaskan polis dalam serbuan di sebuah gudang di negeri itu, Selasa lalu, menimbulkan tanda tanya. Persoalannya, bagaimana dadah bernilai RM20 juta itu berjaya melepasi kawalan ketat keselamatan di lapangan terbang berkenaan? Siasatan polis tidak menolak kemungkinan wujudnya penglibatan ‘orang dalam' yang bersekongkol sehingga dadah itu melepasi kawalan keselamatan begitu sahaja. Dalam serbuan itu, polis turut menahan 11 lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk.
|