KENANGAN
"MANA BOLEH DIA JADI PM"
Pada masa aku menuntut di sekolah agama Daeratul Maariful Wataniyah, Kelapa Batas dulu, aku telah mendapat ’petua ulama’, iaitu dari Allahyarham Shyeikh Abdullah Fahim, mengenai pemerhatian kepada manusia. Jika Allah mengizinkan, berhasillah pemerhatian itu.
Aku telah mengamalkan ’petua ulama’ itu. Tetapi tidak semua pemerhatianku itu berhasil. Keadaannya seperti kita mencari rezeki juga. Ada kalanya mendapat dan ada pula ketikanya hampa. Yang kita kejar sekarung emas, tetapi yang kita perolehi atau menjadi rezeki kita, hanya sebiji melukut Cuma.
Apabila Abdullah Badawi menduduki kerusi Menteri Hal Ehwal Luar Malaysia, aku sering datang menemuinya beliau di pejabatnya, di Wisma Putra, bersebelahan dengan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
Pada masa itu juga bebapa orang wakil Pergerakan Umat Islam Pattani yang terdiri dari alim ulama, sering mengunjungi aku. Mereka itu telah meminta aku memberi penerangan kepada mereka akan selok belok perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, politik kerajaan Malaysia dan berbagai masalah perjuangan umat Islam.
Seramai enam ulang Pattani (aku tidak menerangkana nama mereka di sini) telah datang ke rumahku, di Taman Zooview, Hulu Kelang, pada satu malam pada tahun 1998. Mereka telah membawa salinan surat rasmi dari Kerajaan Siam yang meminta wakil-wakil Pergerakan Umat Islam Pattani datang ke Bangkok untuk berunding mengenai tuntutan mereka mengenai kemerdekaan empat wilayah di Selatan Siam.
Mereka telah meminta pendapatku, sama ada mereka patut menunai permintaan Kerajaan Siam itu. Perkara itu aku telah membawa kepada pengetahuan Abdullah Badawi dan meminta pendapatnya. Beliau secara tegas meminta Pergerakan Islam Pattani itu supaya mengenepikan permintaan itu kerana keburukan lebih banyak dari kebaikan.
Dalam satu pertemuan entah kali yang ke berapa dengan Abdullah Badawi, di pejabatnya, aku telah menguatkan keyakinanku, iaitu dengan izin Allah, Pada satu masa di muka, beliau akan menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia.
Aku telah menyuarakan kepadanya, yang aku akan menulis buku biografinya. Dia setuju, tetapi berkata, ”...elok, ... ante taula, ana..., macam nilah....”.
”...ana yakin anta akan naik ke atas juga, insya Allah...,”kataku.
”...iaka, ...tak taulah kalau Allah...,”katanya.
Dengan bantuan Setiausaha Politiknya, Haji Abdul Fatah, aku telah menulis sebuah buku biografi Abdullah Badawi yang berjudul, ’Abdullah Badawi Pejuang Kemanusiaan Sejagat’ dan buku ringkasan biografi datuknya, Sheikh Abdullah Fahim dan bapanya, Datuk Haji Ahmad Badawi yang berjudul, ’Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ’57’. Kedua-dua buku itu telah diterbitkan oleh bekas murid Sheikh Abdullah Fahim, Abdul Aziz Ahmad atas nama syarikatnya, Pustaka Antara Sdn.Berhad, pada tahun 1997.
Tulisanku dalam buku itu telah membayangkan Abullah Badawi akan muncul sebagai pemimpin negara ini.Aku juga telah merakamkan pandangan beberapa orang mengenai beliau, iaitu Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah, bekas ketua pengarang kumpulan Utusan Malayu, Allahyarham Tan Sri Melan Abdullah, Sasterawan Negara, A.Samad Said, bekas speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Allahyarham Haji Sulaiman Palestin, bekas ahli Dewan Rakyat kawaasan Balik Pulau, Datuk Subki Abdul Rauf, Allahyarham Ustaz Haji Mat Saman Kati, Ketua UMNO bahagian Batu, Allayarham Datuk Azman Atar dan Allahyarham Abdul Aziz Ahmad Pustaka Antara.
Setelah buku itu terbit dan tersebar di seluruh tanah air, barulah ramai dari ahli-ahli UMNO dan mereka di luar parti politik Melayu itu mengetahui yang Abdullah Badawi seorang tokoh politik yang penting kepada negara dan rakyatnya terutama bangsa Melayu.
Pada masa itu ramai wartawan dan penulis serta syarikat-syarikat akhbar arus perdana dan akhbar yang disifatkan ’akhbar nyamuk’, macam tidak berminat menulis mengenai Abdullah Badawi. Sesuatu peristiwa yang beliau telah lakukan dalam negara, tetapi tidak mendapat perhatian akhbar.
Beberapa orang cendekiawan Melayu telah membaca buku biografi Abdullah Badawi itu, telah menyifatkan aku seperti ’nujum Pak Belalang’ kerana menulis perkara yang tidak mungkin berlaku atas diri Abdullah Badawi.
”...mana boleh dia jadi PM, dia bukan anak PM, ...karutlah tulisan you tu,” katanya dengan serius.
”...kita tengok nanti , wait and see...,”aku berkata kepadanya.
Apabila Abdullah Badawi telah menduduki kerusi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, si cendekiawan Melayu itu telah meminta tolong aku membawanya menemui Abdullah Badawi.
“…I nak minta tolong dia, …perniagaan I dah teruk…,”katanya.
Aku telah berkata kepadanya, ” wait and see..., dulu you kata I nujum Pak Belalang ….la ni you nak minta tolong dia, nak jadi Qarun pula…”
Semenjak dari hari itu aku tidak pernah bertemu dengan cendekiawan Melayu itu.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
(belum terbit) oleh: Mokhtar Petah.
No response to “ ”
Post a Comment