FATWA ORANG ALIM
Pada masa usiaku tujuh tahun (1941), bapaku telah memberitahu kepada aku dan adikku, bahawa pada masa kami masih bayi bapaku telah memandikan kami dengan air yang telah direndamkan batu halilintar atau batu dari petir yang berbentuk seperti mata kapak dan telah serpih hujungnya atau telah rosak.
Menurut ibuku pula, sebelum kami dimandikan, bapaku telah membaca basmalah dan ayat-ayat suci al Quran. Tujuan bapaku berbuat begitu, ialah memohon kepada Allah, supaya kulit tubuh kami tahan besi (sedikit kebal dengan izin Allah), jauh dari penyakit ganjil dan tidak dikacau oleh hantu syaitan, jembalang dan sihir manusia.
Di kampungku ada dua orang alim ilmu agama Islam. Seorang bernama Sheikh Nawawi bin Muhammad dan terkenal ’tok guru janggut merah’. Dia keturunan Arab Yaman. Sheikh Nawawi adalah bekas guru sekolah agama Idrisiyah, Bukit Chandan dan Malay College, Kuala Kangsar. Adiknya ialah Haji Abdul Rahman Merbuk, seorang ulama tersohor di Kedan sekitar tahun 1945 – 1950-an dan salah seorang dari alim ulama di Tanah Melayu yang turut menentang Malayan Union pada tahun 1946. Apabila Parti Islam se Malaya – PAS tubuhkan pada tahun 1951, maka dia telah menyertai parti politik Islam tersebut.
Haji Nawawi telah mengamalkan banyak Sunnah Nabi Muhammad. Di antaranya, dia mempunyai tiga orang isteri; seorang di Pantai Remis, Manjong, seorang di Batu Lapan, Terong dekat Taiping dan seorang di Kati, dekat Kuala Kangsar, Perak.
MUBALIGH
Sheikh Nawai tinggal bersama isterinya yang berasal dari Sungai Batu, Pantai Remis, di rumah mereka yang berjiran dengan rumah datukku. Dia telah menjadi guru atau mubaligh di seluruh negeri Perak, terutama di bahagian Perak tengah dan Perak utara.
Oleh kerana Sheikh Nawawi sering menjelajah ke merata tempat untuk mengajar ilmu agama Islam atau berdakwah dan mengatur giliran kepada isteri-isterinya, maka dia jarang-jarang tinggal di rumahnya dekat rumah datukku.
Pada hari-hari dia di kampungku, dia telah mengajar agama kepada penduduk-penduduk kampungku. Biasanya dia mengajar di surau kampungku. Pada hari Sabtu dia mengajar ilmu agama kepada orangp-orang perempuan di rumahnya.
Pada waktu-waktu terluang dia datang kerumah datukku. Menurut ibuku, pada masa aku dan adikku masih kecil dia sering mendukung dan menimang kami.
TIDAK MENGAMPU
Selain dari mempunyai ilmu pengetahuan agama Islam yang luas, Sheikh Nawawi mempunyai kebolehan menanam berbagai jenis pokok buah-buahan. Dia telah menanam berbagai jenis anak pokok buah-buahan atas tanahnya yang luasnya kira-kira lima ekar, yang terletak di sebalahan tanah datukku. Di antara pokok-pokok itu, ialah delima, arang para atau pulasan, duku, laici, mata kucing, ciku dan berbagai-bagai jenis limau yang berasal dari benua China.
Sheikh Nawawi yang juga menjadi guru kepada Sultan Perak, almarhum Sultan Iskandar Shah. Dia adalah salah seorang dari alim ulama yang berani berterus terang dalam menyatakan hukum-hakam dalam agama Islam. Dia tidak terhitung ’ulama tembolok’, iaitu ulama yang tidak berani mengeluarkan fatwa-fatwa kerana takut kehilangan jawatan atau kedudukan.Pendeknya dia seorang ulama tidak mengampu orang-orang yang memegang kuasa.
Sheikh Haji Nawawi telah menghapuskan amalan khurafat dan bidaah di kalangan orang-orang kampung di Perak, seperti percayakan hantu jembalang, datuk nenek, saka baka dan perkara-perkara tahyul.
Sheikh Nawawi juga ulama yang pertama di Tanah Melayu yang telah mengeluarkan fatwa, bahawa orang perempuan haram memakai gincu bibir. Ada dua alasan yang telah dikemukakannya, iaitu:
( 1 ) Gincu bibir (yang baik pada zaman itu) dibuat di Itali,
England dan negara-negara kuffar adalah dibuat dari lemak
babi,
( 2 ) Perempuan yang makai gincu bibir, selain daripada menarik
nafsu berahi lelaki, mereka memperlihatkan gambaran bentuk
bibir faraj mereka dan mengikut perempuan-perempuan
kuffar yang termasuk dalam hukum tasyabbuh.
TENTERA JEPUN
Fatwa tersebut tidak disanggah oleh ulama-ulama lain, tetapi disanggah oleh orang-orang Melayu yang berpendidikan Barat. Mereka menyifatkannya seorang guru agama yang nyanyuk, kolot dan tidak mempunyai pengetahuan membuat gincu atau sains. Mereka telah menolak pendapatnya yang gincu bibir dibuat dari lemak babi. Sheikh Nawawi telah mempertahankan pendapatnya itu.
Pada zaman pemerintahan tentera Jepun, Sheikh Nawawi bersama isterinya telah berpindah ke kampung isterinya di Pantai Remis. Setiap kali dia menghantar gilirannya kepada isterinya di Kaki, iaitu Hajjah Zainab, dia telah datang menjenguk kami, di kampungku
Dua orang anak lelakinya, ustaz Muhammad Amin Farid dan ustas Muhammad Khir telah tinggal di rumahnya dekat rumah datukku. Aku dan adikku telah belajar membaca Quran pada mereka..
Seorang lagi guru agama di kampungku yang beristeri lebih dari seorang, ialah Lebai Salleh, dia mempunyai dua orang isteri.
Di antara anak lebai Salleh, ialah Abdullah Kuak, Ahmad, Zainab dan Abdul Hamid (dia berkepala besar dan tidak boleh bangun dan dalam usianya lebih 21 tahun dia telah meninggal dunia).
Pada waktu aku berusia 12 tahun, aku telah sempat belajar ilmu tasawuf pada Lebai Salleh.
Seorang ahli Parti Hazbul Muslimin dan bekas murid Ma’had Ehya us Syarif, Gunung Semanggul, Haji Harun bin Salleh telah berkahwin dengan anak Lebai Salleh, bernama Zainab. Kira-kira tiga tahun kemudian Zainah meninggal dunia, Haji Harun telah berkahwin ’salin tikar’ dengan adik perempuan Zainah, iaitu Rokiah.
Pada masa aku menuntut di sekolah agama Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas, apabila aku bercuti di kampungku, aku telah menuntut ilmu fiqh dan tauhid , iaitu sebagai ulang kaji atau menambahkan ilmu pada Haji Harun
Di antara anak-anak Allahyarham Haji Harun, ialah Saleh bin Harun al Hafiz, Pengetua Sekolah Tahfiz Quran, Padang Balang, Gombak, Kuala Lumpur. *
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh
(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.
No response to “ ”
Post a Comment