SEOLAH (AGAMA) RAKYAT


Pada bulan Februari 1955 satu perhimpunan anjuran UMNO bahagian Kuala Kangsar, telah diadakan di padang Sekolah Melayu, Kati dalam daerah Kuala Kangsar. Tunku Abdul Rahman telah hadir dan memberi ucapan dalam perhimpunan yang dihadiri kira-kira 2,000 penduduk-penduduk setempat.
Aku telah berucap dalam perhimpunan itu sebelum Tunku Abul Rahman memberi ucapannya. Pada masa itu aku sering berucap mengikut cara Presiden Soekarno dengan tujuan untuk menaikkan semangat orang-orang yang hadir. Tetapi kalau aku bercakap di hadapan orang-orang tua dan yang berpendidikan tinggi, aku berucap mengikut 'style' Dato’ Onn dan Tunku Abdul Rahman. 
Sebaik-baik sahaja aku selesai berucap, aku turun dari pentas dan berjalan kepada Tunku Abdul Rahman yang sedang duduk dengan ahli-ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Kuala Kangsar dan cawangan Kati.
Setelah Tunku Abdul Rahman dipersilakan oleh juruacara perhimpunan itu untuk memberi ucapan, akau telah mengiringi Tunku berjalan kepentas untuk memberi ucapan. Sebaik-baik sahaja Tunku selesai memberi ucapannya, aku telah mengiringi Tunku ke kerusinya semula. Kemudian Tunku telah memperkenalkan aku dengan seorang lelaki berambut panjang, bermisai, bertali leher dan memakai over coat kelabu .
” Mokhtar, ni Ustaz Abu Bakar Hamzah,”kata Tunku Abdul Rahman.
Aku dan Ustaz Abu Bakar Hamzah telah berjabat tangan. Kemudian kami mengambil tempat duduk dekat Tunku Abdul Rahman. 
Tunku telah berkata kepadaku, ”...Mokhtar, hang pi mengajar di sekolah agama, di Kampung Beghala (Berhala) dengan Ustaz Bakar ni.”
Aku diam. Aku tahu kampung Berhala yang disebut oleh Tunku itu, sebuah kampung di pendalaman, kira-kira lima kilometer dari tempat perhimpunan itu. Di kampung itu ada kaum kerabat ibu dan bapaku.
”...hang pi mengajak anak-anak kita, biak depa tu pandai, ...banyak oghang pandai hukum agama Islam, ”kata Tunku Abdul Rahman.
”Insya Allah...,”aku menyahut percakapan Tunku Abdul Rahaman.
Kemudiannya barulah aku mendapat tahu yang Ustaz Abu Bakar, telah sebulan tinggal di Kampung Berhala. Sebelum itu dia telah mengajar di Madrasah al Akhlaq, Masjid Tinggi, Bagan Serai.
Ada di antara penduduk-penduduk sekitar Masjid Tinggi termasuk seorang dua jawatankuasa sekolah itu tidak sukakan Ustaz Abu Bakar Hamzah mengajar di sekolah tersebut, kerana mereka telah mendapat tahu yang dia bekas pegawai Polis Bahagian Cawangan Khas dan telah menangkap pejuang-pejuang kemerdekaan tanah air, di antaranya Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Pengetua Ma’ahad al Ehyausy Syarif dan Yang Dipertua parti Islam Hizbul Muslimin dan Cikgu Sabron anggota Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) pada tahun 1948.
Penangkapan itu dilakukan oleh Kerajaan Inggeris selaras dengan perisytiharan darurat di seluruh Tanah Melayu. Pada masa itu On Jaafar berjawatan Yang Dipertua UMNO dan pegawai eksekutif Kerajaan Inggeris yang bertaraf Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Pada masa itu Kampung Berhala belum ada jalan raya. Penduduk-penduduk hanya menggunakan jalan tanah merah atau tanah berdebu. Mereka terdiri dari para petani dan penoreh getah.
Setelah aku berunding dengan ibu dan bapaku, maka mereka telah bersetuju aku mengajar di sekolah agama, Madrasah al Yasiniyah, Kampung Berhala. Aku terpaksa meninggalkan kerjayaku sebagai pemberita akhbar Melayu.
 Seminggu kemudian aku telah berpindah ke Kampung Berhala. Di sana aku telah ditempatkan di sebuah rumah usang – rumah kayu berdinding dan berlantaikan papan dan beratap zink. Aku tinggal bersama, Ustaz Tahir Jais rakanku yang sama-sama menuntut di sekolah agama Daeratul Maariful Wataniyah, Kepala Batas dulu, dan dua orang murid, Ashaari bin Awang Kechil dan Allahyarham Abdul Halim Teh (pelukis komik).
Di sekolah itu, aku telah mengajar sambil belajar. Aku telah mengajar dalam kelas penuntut-penuntut perempuan seramai 45 orang yang berusia antara 17 hiangga 22 tahun dan belajar dalam darjah khas (persediaan untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi Islam) pada sebelah pagi kira-kira satu jam.     
Pada sebelah petang aku ditugaskan mengajar dalam kelas yang ada di antara penuntut-penuntutnya  telah beristeri. Aku telah ditugaskan mengajar ilmu-ilmu, Fiqh, Tauhid, Akhlak, bahasa Melayu dan ilmu kemasyarakatan dalam kelas-kelas itu.
’Di samping itu, saya tidak lupa jasa pelajar-pelajar yang turut bertungkus lumus memberi tenaga mengajar, iaitu Ustaz Tahir Jais (Kuala Kangsar) Ustaz Mokhtar Petah (Perak), Ustaz Ghazali Zakaria (Temerloh) dan Ustaz Mahmud Najmi (Chenoi, Pahang). 
Kerana bangunan Madrasah al Yasiniyah yang sedia ada, tidak dapat menampung penuntut-penuntut yang ramai, maka penduduk-penduduk kampung itu telah bergotong royong dari pagi hingga jauh malam mendirikan sebuah sekolah baru setingkat berhampiran bangunan sekolah lama dan sebuah asrama guru di tengah sawah padi yang telah kering kontang. Sekolah dan asrama itu berdinding papan, atap beratap zink dan tidak berlantai, iaitu atas keras. 
Sebulan kemudian, dengan kerjasama pihak Kolej Islam Kelang, sekolah itu telah mengadakan kelas khas untuk penuntut-penuntut lepasan tingkatan thanawi rabi’ dari sekolah agama rakyat seluruh Tanah Melayu yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi agama Islam di Mesir, Iraq, Jordan dan negara-negara lain. 
Di antara pelajar – pelajar dalam kelas khas itu, ialah Ahmad Awang (kini Ketua Penerangan PAS pusat), Mahmud (Chenor, Pahang), Muhsin (Terengganu), Fuad (Bagan Serai), Khadijah Abdul Samad (Padang Rengas) dan Zawiah (Perlis).
Semua pelajar kelas khas itu diwajibkan mengajar (mengajar bergilir-gilir) dalam semua kelas di sekolah itu. 
Aku dan semua guru-guru pelatih, iaitu mereka yang mengikuti kelas khas telah mengikuti ’kursus perguruan Islam’ selama seminggu yang telah diadakan di Maahad Al Ehayusy Syarif, Gunung Semanggul, Perak. Kursus itu telah diketuai oleh Ustaz Abu Bakar al Baqir dan dibimbing oleh Ustaz Taqiuddin Kandil (Tan Sri) – bekas Pengarah Bahagian Penerangan Parti Ikhwanul Muslimin Mesir yang telah mendapat suaka politik di negara ini dan Ustaz Abu Bakar Hamzah (bahasa Arab).
Di antara pelajaran dalam kursus itu, ialah:

                      =     Sistem pendidikan Islam cara moden seperti     
                             yang  telah  dijalankan di Mesir, iaitu 
                             melahirkan umat Rabbani.
                    =     Sejarah perjuangan umat Islam dan umat 
                            Melayu 
                           menuntut kemerderkaan negara.
                    =     Mendidik individu menjadi golongan ulul albab 
                            atau cendakiawan Islam. 
Lebih dua ratus orang guru agama dan yang bergelar ulama dari seluruh Tanah Melayu telah menyertai ’Kursus Perguruan Islam’ itu. Di antara mereka itu, ialah Allahyarham Ustaz Haji Mat Saman Kati. 
Di Madrasah Al Yasiniyah, aku telah diberi tanggungjawab sebagai guru pembantu kepada Pengetua, Ustaz Abu Bakar Hamzah. Dengan tanggungjawab itu, aku telah mengadakan satu peraturan baru, iaitu semua guru dan penuntut lelaki diwajibkan memakai seluar panjang hitam, baju kemeja putih dan bertali leher mengikut corak yang disukai oleh penuntut-penuntut. Manakala pnuntut-penuntut perempuan memakai kain sarung warna hijau dan baju kurung putih dengan bertudung kepala (telekung).
Selain dari mengajar murid-murid di sekolah itu, beberapa orang guru diwajibkan memberi ceramah mengenai sesuatu ilmu kepada penduduk-penduduk kampung tersebut dan kampung-kampung yang berhampiran dalam majlis yang diadakan tiga malam dalam seminggu, di sekolah tersebut.
Mengikut undang-undang Jabatan Agama dan Adat Istiadat Melayu Perak; sekolah agama mestilah mempunyai mudir (pengetua) yang terdiri dari guru agama yaang memiliki tauliah mengajar ilmu agama Islam yang dikeluarkan oleh jabatan tersebut. Sesiapa yang tidak ada tauliah, walaupun mempunyai ijazah peringkat Ph.D.dalam bidang ilmu Islam seperti Syariah Islam, ilmu Quran dan wahyu, usuluddin dan sebagainya tidak boleh mengajar agama Islam kepada orang ramai.
Kadi mahkamah – pejabat agama -, daerah Kuala Kangsar, Haji Mohd. Ghazali Abdullah  telah menghantar surat mengarahkan Madrasah al Yasiniyah ditutup kerana Ustaz Abu Bakar Hamzah tidak memiliki tauliah.
Surat perintah itu dikeluarkan ekoran dari berlaku perselisihan faham antara kadi itu dengan Ustaz Taqiuddin Qandil dari Kolej Islam, Kelang, dalam majlis  perayaan sekolah tersebut mengenai hukum bermain pancaragam kira-kira seminggu sebelumnya..
Dalam majlis itu telah diadakan permainan pancaragam oleh pasukan pancaragam Pengakap sekolah Melayu Kati. Dalam percakapan yang hampir bertengkar antara kadi  itu dengan Ustaz Taqiuddin Qandil, Ustaz Abu Bakar Hamzah dan Ustaz Haji Hashim Abdul Razak itu, Kadi berpendapat, bahawa bermain pancaragam hukumnya haram. Tetapi Ustaz Taqiuddin telah tidak setuju dengan pendapatnya dan menurutnya, tidak ada hukum dalam Quran dan Hadith menyatakan  bermain pancaragam haram. 
Jelas Ustaz Taqiyuddin, bahawa bermain pancaragam tidak haram, yang boleh menyebabkan haram, kalau pasukan pancaragam itu bermain dalam tempat-tempat yang boleh menyebabkan maksiat seperti tari menari dan lelaki dan perempuan bergaul bebas dan lagu-lagu yang mengandungi kata-kata maksiat, menafi adanya Allah atau memuja syaitan dan seumpamanya.
Kadi Haji Ghazali Abdullah tidak mahu menerima pendapat Ustaz Taqiyuddin itu. Dia bangun dari duduknya dan lalu meninggalkan majlis itu dan pulang dengan berjalan kaki ke pekan kati yang jauhnya kira-kira empat kilometer.
Setelah pihak Masrasah al Yasiniyah menerima surat perintah menutup sekolah itu, jawatankuasa sekolah, guru dan penduduk-penduduk Kampung Berhala telah mengadakan perjumpaan khas untuk membincangkan perkara itu.
Perjumpaan itu telah dihadiri juga oleh ibu bapa kepada murid-murid dari kampung-kampung yang berjiran dengan kampung Berhala, iaitu Kampung Changkat Kampar, Kampung Temung dan Kampung Cheh.
Perjumpaan itu telah mencapai keputusan seperti berikut:
( 1 )  Aku akan mengetuai ahli-ahli jawatankuasa sekolah itu pergi                      menemui Kadi Haji Ghazali Abdullah meminta supaya ditangguhkan                       perintah menutup sekolah itu.
( 2 )  Melantik seorang guru perempuan di sekolah itu yang telah memikliki tauliah mengajar agama, iaitu Ustazah Rajifah Haji Abu Bakar sebagai                      Mudirah (pengetua perempuan) sementara mendapat guru agama yang                      bertauliah untuk menjadi mudir menggantikan tempat Ustaz Abu Bakar                      Hamzah.
( 3 )  Ustaz Abu Bakar Hamzah akan menjadi Guru Penolong Kanan.
Apabila aku dan rombongan jawatankuasa sekolah itu datang menemui Haji Ghazali Abdullah di pejabatnya, di Kuala Kangsar, dia telah memberitahu, bahawa keputusannya menutup sekolah itu muktamad. Setelah ahli jawatankuasa sekolah keluar dari pejabatnya, aku telah merayu dari hati ke hati kepadanya supaya menangguhkan tindakan itu. Tetapi dia telah berkata, ”....Ustaz Mokhtar, ante jangan cuba menghalang kuasa pegawai kerajaan...”
Aku telah membalas kata-katanya, ” ....tak apa, tutuplah, ...tapi kalau Tuan tutup juga sekolah tu, ...sekolah itu dibina orang-orang kampung, kerana Allah..., Tuan tunggulah balasan Allah ke atas Tuan, ...kaki tuan akan buruk...”.
Haji Ghazali Abdullah telah terkajut mendengar kata-kataku itu. Dia telah berkata, ”...enta ingat  enta siapa..., kaki ana takkan buruk...”*

*     Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan 
       Paruh, (belum terbit), oleh Mokhtar Petah

No response to “ ”

Post a Comment