TERKENANG

                        PARTI KOMUNIS MALAYA

Pada 1945. Dua orang perempuan Cina masih muda kader Parti Komunis Malaya (PKM), iaitu Che Som dan Che Bee telah menjadi penyebar fahaman komunis di kalangan kaum ibu Melayu di kawasan Kuala Kangsar telah tiga kali datang ke kami.
Mereka telah meminta bapaku, supaya memujuk seorang perempuan muda yang cantik, isteri orang, di kampung Changkat Duku supaya menjadi kader Parti Komunis Malaya (PKM) seperti mereka. Tetapi bapaku telah menolak pemintaan mereka itu.
Pada satu hari, dalam satu perjumpaan antara Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) dengan orang-orang kampungku, telah tercetus pertengkaran antara bapaku dengan beberapa orang ahli Jawatankuasa Parti Komunis Malaya (PKM) kawasan Kuala Kangsar dan Hulu Pera. Pertengkaran itu terjadi setelah bapaku menentang pendapat mereka yang  mengatakan  komunisme sama dengan Islam.
”Kalau nak ajak kami masuk komunis, kami tak nak, kami orang Islam,... kami boleh bekerjasama kerana melawan Jepun,...tapi kalau ajak kami jadi kafir kami tak boleh,” kata bapaku kepada mereka. 
          Pertengkaran itu telah dapat diredakan setelah Baharuddin ’topi mengkuang’ menyokong pendapat bapaku. Dia memberitahu, fahaman komunis tidak boleh diterima oleh orang-orang Islam. Orang-orang Melayu boleh bekerjasama dengan orang-orang komunis kerana sebab-sebab tertentu, seperti menentang penjajah. Walau pun pertengkaran itu menjadi reda dan masing-masing telah faham, tetapi beberapa orang lelaki China telah menyimpan perasaan marah kepada bapaku.
CINA SEBERANG LAUT
Sebenarnya di kalangan Parti Komunis Malaya (PKM) ada di antara orang-orang Cina – sama dengan orang-orang China dalam parti-parti politik mereka sekarang - , yang berhasrat hendak menjadikan Tanah Melayu sebuah negara Cina baru atau Cina seberang laut (nan yang) - negara komunis dan semua orang Melayu menganut komunis.           
Singapura yang dulunya sebuah negeri Melayu, tetapi kerana cita-cita kalangan orang-orang Cina seperti yang aku utarakan di atas ini, maka kini pulau itu Temasik itu telah menjuadi sebuah republik yang dikuasai oleh orang-orang China seberang laut.
Sebagai seorang yang telah dewasa dengan pergolakan politik tanah air dan dunia, aku mendapati penjajah yang dilakukan dengan senjata dan politik sama bahasanya dengan penjajahan ekonomi seperti yang wujud di negara kita sekarang ini.
Kejayaan penjajahan ekonomi oleh penghijrah-penghijrah (immigrants) dalam sesebuah negara, akan menjadikan penduduk-penduduk asal negara itu lemah dalam semua bidang. Mereka terkapai-kapai ke sana kemari dalam keadaan ’menang sorak kampung tergadai. Anak-anak muda mereka, walaupun berpendidikan tinggi, tetapi tidak lebih dari jadi buruh dalam negara sendiri, sama ada buruh kasar atau pun buruh berkolar putih.
PERGERAKAN PARANG PANJANG
Tiga malam kemudian, kira-kira tujuh orang lelaki China telah datang ke dangau kami. Mereka telah mengajak bapaku mengikut mereka ke dalam kebun getah tidak jauh dari belakang dangau kami kerana hendak berunding. Tetapi apa bila tiba dalam kebun getah itu mereka telah menangkap bapaku dan mengikatnya pada sebatang pokok getah di situ.
Mereka memberi kata dua kepada bapaku; kalau bapaku mengaku akan  bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM), mereka tidak akan membunuh bapaku, tetapi kalau bapaku tidak mahu bekerjasama dengan mereka, maka mereka akan membunuhnya.
Menurut bapaku, setelah dia mengaku akan bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) dan tidak akan menyebelahi Jepun, maka mereka telah melepaskan bapaku dan mereka telah meminta maaf kepadanya.
Semenjak dari malam itu, bapaku telah berpura-pura bekerjasama dengan orang-orang Parti Komunis Malaya (PKM). Secara sulit dia telah berhubung dengan dua orang sheikh ’Pergerakan Parang Panjang’, iaitu Sheikh Othman di Kampung Baiyan, Taiping dan Kiyai Salleh, Batu Pahat, Johor.
KAMI MEMBACA QURAN
Kerana bapa dan ibuku mementang pelajaran aku dan adikku, lebih-lebih lagi kerana di huma kami tiada guru untuk mengajar kami membaca Quran, maka mereka mengambil keputusan berpindah dari huma itu  ke kampung kami.
Setelah kami berpindah ke kampung, tidak ramai orang Parti Komunis Malaya (PKM) yang datang ke rumah kami. Hanya Wang Seng dan Baharuddin topi mengkuang yang sering datang secara bersembunyi-sembunyi.
Pada tiap-tiap malam gurila-gurila Parti Komunis Malaya (PMK) sentiasa berkeliaran di sekitar kebun getah dan belukar di pinggir kampung kami. Mereka juga telah menyebarkan surat-surat khabar Parti komunis Malaya (PKM) di kampung kami dan kampung-kampung lain. Di antara surat-surat khabar dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan Rumi dan Jawi, ialah Bintang Merah, Berita Benar, Suara Rakyat dan Bintang Timur.
Perigi tempat kami mengambil air mandi terletak di bawah bukit, kira-kira 300 ela dari rumah kami. Kira-kira seminggu sekali aku mendapati surat-surat khabar itu diletak di pinggir telaga itu dan ditutup dengan daun pisang.
SURAT KHABAR LAMA
Sama ada di rumah datukku mahupun di rumah bapaku tidak ada tersimpan surat-surat khabar lama. Datuk dan bapaku seperti kebanyakan orang kampung Melayu di hulu-hulu negeri dan di pendalaman pada masa itu amat jarang membaca surat khabar.
Pada masa itu hanya surat-surat  khabar Parti Komunis Malaya (PKM) itu sahaja yang ada. Media itu telah menjadi bahan bacaanku dan sumber ilmu pengetahuan am(general knowlege)ku, terutama mengenai media hal ehwal dunia.
Aku masih ingat, iaitu pada muka dua surat khabar Bintang Merah ada sebuah artikel tiga kolum. Dalam artikel itu ada tulisan lebih kurang begini ’...British, Amerika dan mereka yang beragama Kristian tidak akan henti-henti untuk memusnahkan umat Islam. Mereka mempengaruhi umat Islam dengan kemewahan hidup, budaya alat mereka yang berlawanan dengan Islam dan bahasa Inggeris, kerana bahasa itu menjadi bahasa dunia’.
Walaupun aku masih belajar dalam darjah tiga di sekolah Melayu, tetapi kerana aku rajin membaca surat khabar Jawi dan buku-buku agama bertulisan jawi juga, maka aku telah mempunyai pengetahuan am yang agak baik berbanding dengan murid-murid sedarjah denganku, di sekolah Melayu tempat aku belajar.
PANDAI MENULIS RENCANA
Walaupun aku masih kanak-kanak, tetapi aku telah mengetahui kerja dan peranan pemberita dan wartawan. Pada usia begitu aku telah mempunyai cita-cita untuk menjadi wartawan seperti Wang Seng anggota Parti Komunis Malaya(PKM) atau macam abang saudaraku, Abdullah Kuak yang pandai menulis rencana-rencana untuk majalah-majalah agama di Pulau Pinang dan Singapura.
Aku mulai mengetahui tugas dan peranan wartawan ialah dari Baharuddin (topi mengkuang) dan Wang Seng. Manakala Wang Seng telah mengajarku mengenai surat-surat khabar di  negara China dan negara-negara lain.
Aku masih ingat akan kata-kata Wang Seng, ”...orang baca surat khabar dapat banyak ilmu, orang tak baca surat khabar fikirannya jadi lemah.”
Wang Seng juga orang yang pertama telah mengajar ilmu kewartawanan kepadaku. Walaupun dia tidak mengajarku bagaiamana menulis berita, rencana dan sebagainya, tetapi dia telah memberitahu kepadaku, di mana surat khabar di terbitkan, bagaimana berita-berita, rencana-rencana dan gambar-gambar didapati oleh surat-surat khabar di seluruh dunia. Dia juga memberitahu, orang-orang China memandang wartawan sebagai ’Raja yang tidak bermahkota’.
KERJA SEBAGAI WARTAWAN
Dengan menggunakan surat khabar ’Bintang Merah’, Wang Seng telah mengajarku mengenai kepala berita (head line), berita dalam negeri, berita luar negeri dan beberapa pengetahuan mengenai persurat khabaran.
Wang Seng telah menasihatkan aku, apabila aku telah tamat belajar nanti, pekerjaan yang baik bagiku ialah bekerja sebagai wartawan. Katanya, bekeraja sebagai wartawan boleh memusing dan mencorakkan dunia ini. Menurutnya guru hanya mengajar murid-muridnya di sekolah, tetapi wartawan mengajar semua manusia, walaupun mereka itu raja, presiden, pegawai kerajaan, pedagang, buruh kasar atau para petani di kampung-kampung.
Sementara Baharuddin ’topi mengkuang’, telah memberitahu ramalannya kepada bapa dan ibuku, iaitu apabila aku telah besar dan dewasa nanti, aku akan menjadi orang yang berilmu pengetahuan dan terkenal atau tersohor. Manakala adikku, Ghazali, akan menjadi seorang yang berilmu pengetahuan, tetapai tidak terkenal atau tidak tersohor seperti aku.
Perkataan dan ramal Baharuddin ’topi mengkuang’ itu telah merangsang semangatku untuk menjadi seorang pemberita atau wartawan.
  (Aku telah membuktikan kemahuanku, iaitu pada masa aku belajar dalam darjah empat, aku telah   
    menulis karangan pendek dan ringkas pada kertas kosong dan aku memberi kepada kawan-kawanku
    untuk membacanya. Di antara artikel-artikel aku itu, ialah mengenai orang-orang kampung
    menangkap ikan terbul dan pucuk pisang yang beribu-ribu ekor dari tasik cenderoh yang masuk
    membuang telur ke dalam Sungai Air Tukul’ di belakang kampungku. kerana bertelur atau
    pada malam  hujan lebat. )
       Kerana cita-cita itulah agaknya, aku telah menjadi seorang kanak-kanak yang rajin membaca. Ingin mengetahui sesuatu yang wujud di alam ini. Di sekolahku, aku pernah dimarah oleh dua tiga orang guruku, kerana aku telah banyak bertanya kepada mereka akan perkara-perkara yang mereka tidak dapat menjawabnya atau sengaja tidak mahu menjawab.
Aku masih ingat, pada masa itu kebanyakan guru tidak suka murid-murid mereka lebih pandai dari mereka. Mereka itu masih kuat memegang pada fahaman ’guru makan garam dulu dari murid’.
Aku sering mendengar dua orang kader Parti Komnunis Malaya (PKM) itu bercakap dengan bapaku, bahawa orang-orang komunis yang menentang Jepun bertujuan untuk membela orang-orang Melayu, membela agama Islam dan menolong mereka menuntut kemerdekaan. Tetapi, walaupun aku masih kecil, aku tidak percaya kepada percakapan mereka itu. Aku sering diberitahu oleh ustaz Mohd.Amin Farid dan ustaz Mohd. Khir Nawawi yang mengajar aku mengaji Quran, iaitu orang-orang komunis tidak percayakan Allah dan musuh agama Islam.*

* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,
   m(belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.







No response to “ ”

Post a Comment