TERKENANG


      DR MAHATHIR MOHAM DAN TUNKU ABDUL RAHMAN

Sesungguhnya aku telah menaruh perhatian yang mendalam kepada Dr Mahathir Mohamad setelah aku membaca suratnya kepada Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman. Kandungan surat itu sebagai intipati dari bukunya Malay Dilemma atau Dilema Melayu yang telah diharamkan oleh kerajaan Malaysia semenjak Tunku Abdul Rahman hingga kepada Perdana Menteri, Hussein Onn.
Walaupun kalangan ahli-ahli UMNO dan seluruh rakyat negara ini menyifatkan surat tersebut sebagai surat layang, tetapi sebenarnya surat itu tidak bersifat demikian. Surat itu dari seorang yang amat menghormati Tunku Abdul Rahman dan dengan ikhlas memberi nasihat, tetapi telah dijadikan alat untuk merenggangkan antara Dr Mahathir Mohammad dengan Tunku Abdul Rahman.
Allahyarham Haji Sulaiman Palestin dan Abdul Aziz Ahmad (Pustaka Antara) telah memberitahu kepada aku, bahawa surat itu, bukanlah surat terbang seperti yang sangkakan oleh orang ramai. Surat tersebut telah dikirimkan oleh Dr Mahathir Mohamad kepada Tunku Abdul Rahman ke Jabatan Perdana Menteri, tetapi seorang pegawai kepada Perdana Menteri (bukan Melayu) telah membuka surat itu dan tidak diserahkan kepada Tunku Abdul Rahman.
FIKIRAN GILA - GILA
Menurut Haji Sulaiman dan Abdul Aziz Ahmad, pegawai itu dengan kerjasama dua orang Melayu, telah menyalinkan surat itu dengan menggunakan mesin cyclostyle dan mereka telah menyebar surat–surat itu kepada orang ramai. Setelah surat itu disebarkan sebagai surat layang, maka berlakulah clash antara Tunku Abdul Rahman dengan Dr Mahathir Mohamad sehingga beliau dipecat dari UMNO.
Hingga pada waktu aku menulis buku ini, aku masih yakin, sekiranya selepas Hussein Onn orang lain dari Dr Mahathir Mohamad telah menajadi Perdana Menteri, tentulah Malaysia tidak berubah seperti yang wujud sekarang.
Perubahan yang mengkagumkan itu disebabkan seperti pendapat pegawai di Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Jaafar Abdul Rahim, bahawa Dr Mahathir Mohamad salah seorang dari beribu-ribu orang dalam dunia ini yang memiliki fikiran ’gila-gila’. 
Orang yang memiliki fikiran ’gila-gila’, biasanya mencapai kejayaan dalam apa jua kerjanya yang luar biasa dan tidak terfikir oleh orang lain, sekiranya  dia mempunyai kuasa dalam kerajaan, wang yang banyak dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada para pegawai kerajaan. 
KONSEP NEGARA
Aku tertarik hati kepada banyak tulisan Dr Mahathir Mohamad, di antara banyak tulisannya, adalah seperti di bawah ini:
’Perubahan minat orang Melayu terhadap politik telah memeranjatkan orang lain bukan sahaja kerana hebatnya penglibatan mereka tetapi juga kerana perubahan tersebut kekal. Walaupun objektif asal mereka telah tercapai namun orang Melayu masih terus berkecimpung dan aktif dalam politik. Parti-parti politik telah menjalar ke seluruh kampung-kampung Melayu hingga ke kawasan pendalaman di mana orang- orang Melayu yang tidak kenal huruf mengadakan perjumpaan, memilih jawatan-jawatan dalam parti, menubuhkan cawangan-cawangan yang menjadi tenaga penggerak kepada jentera politik kebangsaan. 
Dalam keadaan ini orang Melayu juga dapat mengenepikan kesetiaan utama mereka kepada negeri masing-masing dan telah memberikan taat setia mereka kepada negara yang baru ditubuhkan, sedangkan pada suatu masa dahulu mereka tidak sedar akan adanya konsep ’negara’ itu. Pilihanraya yang boleh dikatakan tidak difikirkan langsuang kira-kira satu dekad yang lalu, bukan sahaja telah diterima tetapi juga telah diamalkan dan dijalankan dengan penuh semangat oleh setiap orang Melayu. Pendek kata, perubahan sikap orang Melayu terhadap politik begitu radikal dan menyeluruh.’ (Mahathir Mohamad, Dilema Melayu, 1992,Time Books International, Singapura), hlm.72)
Apabila Dr Mahathir Mohamad memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, aku telah mengirim surat tahniah kepada beliau. Dalam surat itu aku telah menyelitkan sedikit pandangan (idea)ku kepada beliau. Aku juga telah menjangkakan dalam surat itu, iaitu Dr Mahathir Mohamad akan memimpin negara ini seperti seorang doktor bedah yang menghadapi pesakit. Kalau mana-mana anggota pesakit itu patah, dia akan memotong anggota pesakit itu dan kalau pesakit itu bengkak dan bernanah, dia akan membedahnya.
Dr Mhathir Mohamad telah menjawab suratku  pada 28 Mei, 1981. Surat beliau itu telah seperti berikut:
’Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana ucapan tahniah yang agak terawal dan juga pandangan yang diberi’. *

* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, 
   (belum terbit), oleh: Mokhtar Petah.

No response to “ ”

Post a Comment