KISAH DARI
NOVEL
(8)
KASIH IBUKU
BERKONGSI LELAKI BERNAMA SUAMI
Mahani juga telah jatuh hati
kepada ayahku. Dia tertarik hati kepada ayahku kerana ayahku ada banyak ilmu agama
Islam, baik budi bahasanya, sikap jujur dan suka menolong orang-orang kampung
yang memerlukan pertolongannya.
Mahani tidak mahu
bersikap telaga mencari timba. Biar timba mencari telaga. Kalau sudah tiba masa timba mencari timba dan hati masing-
masing saling cintai mencintai, Mahani akan datng menemui ibuku untuk meminta
keizinan darinya.
Bagi Mahani, hendak mengambil buah belimbing
orang kena meminta kepada tuannya, inikan pula hendak mengambil suami orang;
kenalah meminta izin kepada isterinya. Kalau tidak berbuat demikian akan dikata orang dirinya merampas suami orang.
Semenjak pada malam peristiwa beruk
jantan mengganggunya,hati Mahani sentiasa teringatkan ayahku. Sesungguhnya dia
mencintai ayahku. Dan sesungguhnya ayahku mencintai dirinya.
Pada suatu petang, Mahani telah
berkunjung ke rumah ibuku. Dia datang menggonggong hajat. Dengan seketul
hati wanita yang tegas dan berani demi cintanya kepada bapaku. Dia ibarat pahlawan
sejati yang datang tanpa senjata,hanya berbekalkan budi,datang menemui pahlawan
yang belum tentu akan boleh menjadi kawan atau musuhnya.
DATANG
TIDAK DIUNDANG
Mahani duduk bersimpuh di hadapan ibuku. Dua biji matanya
merenung wajah ibuku. Hatinya memohon ihsan dari perempuan ayang baik budi itu.
Ibarat orang meminta ubat dari dukun; pertama kali meminta, harap-harap jampi
serapahnya mujarab dan penyakit dalam tubuhnya segera sembuh. Dia datang tidak
diundang. Datang bukan meminta makanan atau emas dan berlian, tetapi meminta
sekelumit budi agar merelakan suami sendiri menjadi isteri orang lain. Rela
perempuan yang bergelar madu berkongsi lelaki bernama suami dengannya.
“…kak,…Ani datang ni ada hajat,”kata
Mahani kepada ibuku.
“Hajat? Ai, nak kendurike, aaa…?”ibuku
bertanya sambil senyum. Mesra.
“Tak,…tapi lain,”jawab Mahani.
“Besar benarkah hajat tu, Ani?” Tanya
ibuku.
“Ia,kak, besar hajat Ani ni,…a…,a…,a,
Ani nak minta izin dari kakak, Ani ,nak menikah dengan abang Radzi, suami kakak,”tegas Mahani.
Ibuku senyum. Ibuku merenung wajah janda
muda di hadapannya. Hatinya ikhlas kepada perempuan itu. Berkembangan bebunga
syukur kepada Allah dalam hatinya.
“…kak syukur kepada Allah, al hamdulillah kerana Ani sudi menjadi
adik kakak, sudi menerima abang Radzi jadi suami Ani,”kata ibuku.
“…al
hamdulillah, terima kasih kak,” kata Mahani.
Air mata jernih kerana gembira melimpah
dalam dua lubuk matanya Mahani. Dia membiarkan air matanya itu luruh ke atas
pahanya.
“Kakak rasa, …ialah, nilah satu ibadat kakak kepada Allah, satu
pengorbanan kepada suami kakak,abang Radzi,”kata ibuku sambil senyum.
“Ia,kak,”kata Mahani.
Ibuku memagang tangan kanan Mahani
dengan kedua-dua puntung tangannya. Di pegang erat-erat dua puntung tangan
berkulit lembut itu.
“Ani, abang Radzi dan beritahu
kakak,…dia nak ambil Ani jadi isterinya,”kata ibuku.
“Ia,kak,”sahut Mahani.
“Kak beritahu abang Radzi, biar kakak
yang pergi pinang Mahani,”kata ibuku lagi.
“Ia,kak?”Mahani bertanya.
Ibuku mengangguk. Hatinya Ikhlas.
“Ani, Allah benarkan orang lelaki,…ialah ada isteri lebih dari satu
orang, dalam Quran ada sebut, kalau kita tegahke, larangke suami kita madukan
kita, berdosa kerana kita derhaka, kita buat lain dari Allah izinkan,…kita
tentang hukum Allah,”kata ibuku seperti memberi ceramah agama kepada Mahanai.
“Ia,kak,”sahut Mahani.
Sambil melepaskan dua puntung tangan
Mahani dari pegangan dua puntung tangannya, ibuku berkata, “Kakak minta,…Ani
dapat jadi adik kakak, kita sama-sama jaga abang Radzi, kita taat
kepadanya,…dah jadi wajib bagi kita,”kata ibuku dengan suara yang lembut.
“Ia,kakak, Ani mengaku, kakak, …Ani
anggap kakak ni kakak Ani dari dunia hingga ke akhirat,kak,”katanya Mahani
dengan hati yang murni lagi tulus.
“Tak apa, insya Allah pada hari Isnin minggu depan, kakak akan pinang Ani,”kata ibuku.
LELAKI
YANG BAIK BUDI
Ibuku senyum. Mahani senyum. Hati ibuku gembira kerana
akan dapat menunaikan hajat suaminya. Hati ibuku berbungkus dalam kegembiraan,
kerana dia mempunyai suami yang sanggup membela seorang janda yang telah lama
kekeringan nikmat kehidupan sebagai seorang isteri. Mahani gembira kerana ibuku
sudi menerimanya sebagai madunya. Tuhan dengan kehendak-Nya, Mahani akan dapat
menumpang berteduh dan berpayungkan
seorang lelaki yang baik budi.
“…ginilah,Ani, bila Ani dah jadi isteri
abang Radzi, tunaikan tanggungjawab Ani, …Ani
isteri dia. Jangan ingkar, jangan melawan,…kita ni isteri, …milik suami
kita dari hujung kaki hingga hujung rambut,” ibuku berkata dengan jujur.
Mahani tunduk. Percakapan ibuku didengar
dengan teliti. Akan diturut semua nasihat bakal madunya itu. Pada waktu itu
Mahani seperti seorang penganut agama, di hadapan paderi dalam bilik gereja.
“Kalau ikut dalam Quran, ‘isteri-isteri kamu itu ladang kamu,oleh itu
usahakanlah ladang kamu sebagaimana kamu suka’[1].
Kakak ni ladang abang Radzi, bila Ani menikah dengan dia,…Ani juga ladang dia,” kata ibuku
seperti seorang ustazah layaknya.
“Ia, kak,…kita ladang, kak, …demi Allah,
Ani tak akan derhaka kepada abang Radzi, kak,” Mahani berkata dengan wajahnya
yang serius. Ada cahaya kejujuran pada wajahnya.
“Eloklah kalau begitu,”sahut ibuku.
Percakapan mereka berdua terhenti. Suara
ayahku memberi salam di kaki tangga. Degup jantung Mahani seolah-olah
mengopak-ngopak dinding dadanya.*
* Dipindahkan dari novel Kasih Ibuku, oleh: Mokhtar Petah
No response to “ ”
Post a Comment