TERKENANG
WARTAWAN
Pada tahun 1978,
aku telah meninggalkan Berita Harian kerana aku tidak puas hati dengan tindak
tanduk Ketua Biro The New Straits Times
Press yang menggantikan Hanry Paul, iaitu Encik Alias Rahim. Dia berasal
dari Singapura. Sebelum berpindah ke Ipoh, dia berkhidmat di ibu pejabat The Newa
Straits Times, di Kuala Lumpur.
Seperti yang aku telah terangkan, bahawa pada masa ketua Biro, Hanry Paul,
kebanyakan berita yang aku tulis telah diterjemahkan kepada bahasa Inggeris
untuk surat-surat khabar New Straits Times,
Sunday Times, Malay Mail, Sundy Mail dan Business Times.
Pada masa itu semua berita dariku untuk Berita Harian telah dikirim lebih
awal ke ibu pejabat Berita Harian, di Kuala Lumpur. Berita-berita yang
diterjemahkan khas Inggeris itu telah mengunakan nama yang telah diterjemahkan
dari berita-berita yang aku tulis itu menggunakan namaku sebagai penulisnya(by line).
Semua berita bahasa Inggeris yang telah diterjemhkan ke bahasa Inggeris itu
dikirim ke ibu pejabat The New Straits
Times, di Kuala Lumpur terlewat kira satu jam atau dua jam.
BAHASA
MELAYU
Pada masa Alias
Rahim mengetuai Biro The New Straits Times, di Ipoh, semua berita-berita yang
aku tulis diberi kepada pemberita-pemberita The
New Straits Times dan Malay Mail yang terdiri dari
pemberita–pemberita lelaki dan perempuan termasuk pelatih-pelatih pemberita
bahagian Mass Com dari Institut
Teknolgi Mara Shah Alam.
Dengan arahan Alias Rahim, semua berita yang aku tulis itu diterjemah oleh
mereka dan nama penulis (by line)nya
menggunakan nama mereka. Berita-berita terjemahan kepada bahasa Inggeris
dikirim lebih awal dari berita-berita dariku dalam bahasa Melayu untuk Berita
Harian.
Alias Rahim juga telah mengarahkan kepda jurutaip teleprinter, semua berita-berita yang aku tulis tidak boleh dikirim
ke meja pengarang Berita Harian di Kuala Lumpur sebelum dia membaca dan
menterjemahkannya lebih dahulu.[1]
Semua berita yang aku tulis dikirim dengen
teleprinter ke ibu pejabat Berita Harian, Kuala Lumpur selepas jam 6.30 atau 7.30 petang dan ada yang tidak
dikirimkan langsung.
Kerana semua berita dari aku itu lambat tiba, maka tidak dapat disiarkan
dalam Berita Harian. Manakala para anggota sidang editor Berita Harian telah
menyangka yang aku menceduk berita-berita yang ditulis oleh pemberita-pemberita
The New Straits Times dan Malay
Mail.
MENGAMBIL
LANGKAH
Apabila aku
bertanya kepada Alias Rahim mengenai perkara itu, dia telah menjawab, bahawa
dia berkuasa di pejabat biro Tha New Straits Times Ipoh, bukan Samani,
bukan sasterawan Samad Said, di Kuala Lumpur.
Pada masa itu Allahyarham Dato’ Nordin Sopi memegang jawatan Ketua
Pengarang The New Straits Times. Aku
telah datang menemuinya di pejabatnya, di Bangunan The New Straits Time,
Bangsar. Dia telah mengaku akan mengambil langkah segera. Tetapi keadaan itu
terus berlaku juga.
Alias Rahim telah bertindak demikian kepadaku setelah berlaku tiga
peristiwa yang dirasanya telah mengurangkan kewibawaannya sebagai Ketua Biro The New
Straits Times, di Ipoh, iaitu:
* Pada hari
Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie bersama pasukan keselamatan menjalankan
operasi memburu gerombolan pengganas komunis yang bersembunyi dalam belukar, di
Ayer Kala, Grik, aku bersama Alias Rahim dan korespondan Reuter, Stanly telah mengikuti operasi itu dengan menaiki kereta
milik The New Straits Times. Alias
Rahim telah memandu kereta itu. Pada waktu makan tengah hari di khemah pasukan
keselamatan, di Ayer Kala, kami tiba di hadapan khemah itu, pada waktu kami
turun dari kereta, seorang pegawai askar berkata kepadaku, ” Encik sila,...driver Encik pun boleh makan sama”. Pada
waktu dalam perjalanan pulang, Alias telah memarahi aku kerana dia menyangka aku memberitahu
pegawai askar itu yang dia pemandu
kereta kami.
* Pada
waktu mengisi minyak kereta di Sungai Siput Utara, atendan stesen minyak itu
telah bertanya kepadaku di hadapan Alias Rahim, ”...Encik bayarka, ...driver Encik bayar...?”
Pada waktu dalam kereta, Alias Rahim telah memarahi aku kerana dia
menyangka yang aku telah memberitahu atenden stesyan minyak itu yang dia driver aku.
* Pada
satu hari yang lain, Alias Rahim telah mengadap Sultan Idris Shah dan dia telah
meminta hendak melakukan Interview khas dengan Baginda, tetapi baginda telah
bertitah kepadanya, ”...tak payah, Mokhtar Petah boleh intrerview I.”
Sekali lagi Alias Rahim marahkan aku. Dia menuduh aku telah menghasut
Sultan Idris Shah supaya menolak kehendaknya untuk menginterview Baginda. Dan dia telah menyangka aku telah menghasut
Sultan Idris dan menyebabkan terjejas kewibawaaannya sebagai wartawan kanan di
Perak.
BERUNSUR
POLITIK
Setelah aku
meninggalkan Berita Harian, aku telah menjalankan perniagaan di samping itu
menulis berita-berita untuk surat khabar China Sing Pin Jih Pao dan
artikel-artikel berunsur politik untuk Mingguan Bumi yang diterbitkan oleh
Allahyarham Hussein Yaakob, di Kuala Lumpur.
Aku telah membuka sebuah pejabat kecil di Jalan Leong Sin Nam, dalam Bandar
Ipoh. Di pejabat itu aku telah mengadakan kursus ilmu kewartawanan gaya pos.
Membekal artikel-artikel kepada beberapa buah surat khabar tabloid dan
majalah-majalah. Aku juga telah menjalankan perniagaan restoran dekat
Politeknik Ungku Omar, Jalan Dairy, Ipoh.
Pada masa inilah aku telah melibatkan diri dengan ahli-ahli perniagaan
Melayu dan Cina di Ipoh, di antaranya, Tan Sri Haji Ahmad Azizuddin Zainal
Abidin (Industri), Dato’ Haji Mohd.Taib bin Abdul Hamid (peniaga kayu balak)
Dato’ Chong Kok Lim (pengasas kompleks Sungai Wang, Kuala Lumpur), Datok Lew
Lai Seng(hartanah dan industri) dan Dato’ Tajuddin Ali (pengangkutan). Mereka
telah menunjuk-ajar kepadaku banyak jalan untuk berkecimpung dalam perniagaan
dan perusahaan.
Aku dan keluarga telah berpindah dari rumah sewa kami di Sungai Rokam ke
rumah di belakang restoran kami, Jalan Dairu, dalam Bandar Ipoh. Kami telah
membina sebuah rumah dua tingkat, di belakang restoran kami. Rumah itu
berdinding bertam kelarai dan bahagian dalamnya papan lapis tebal. Semua
jendelanya menggunakan kaca warna gelap. Lantai tingkat atas dari papan tebal dan
lantai tingkat bawa simen.
Tanah tapak rumah itu milik Jabatan Sealiran. Aku telah mendirikan restoran
dan rumah itu setelah mendapat kebenaran dari pihak jabatan berkenaan dengan
surat perkenan oleh Sultan Perak.*
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh:
Mokhtar Petah.
[1]
Pada masa sebelumnya berita-berita yang aku tulis dikirim terus ke meja
pengarang Berita Harian
dan di Kuala Lumpur , iaitu ke meja editor Samani Amin, A.Samad Said dan sidang
editor Berita
Harian.
No response to “ ”
Post a Comment