TERKENANG
MAMPUKAN JADI WARTAWAN SEPERTI SAYA
Lebih lima ratus
orang belia termasuk mereka yang telah dewasa telah mengikuti program Kursus
Kewartawanan Gaya Pos itu. Mata[1]Publication (MATA , dipadankan dari Majlis Agama Tertinggi, iaitu
sebagai mengenangkan sebuah badan agama yang telah ditubuhkan oleh Ustaz Abu
Bakar al Baqir _Hizbul Muslimin -, di
institusi pengajian Islam, Ihya usya Syarif, Gunung Semanggul
bersama Ibrahim Yaakob dan Dr Burhanuddin Hedlmi.)telah menjadi
pusat akademik kecil untuk melatih calon-calon pemberita secara jarak
jauh.
Sistem pelajaran yang aku telah jalankan, ialah setiap peserta mengikuti
kursus itu selama empat hingga enam bulan. Pelajaran dikirim kepada para
peserta pada tiap-tiap dua mingu sekali. Apabila mereka telah sampai kepada
pelajaran menulis berita dan artikel, maka aku mengarahkan mereka supaya
mengadakan penyelidikan atau mencari bahan-bahan berita dan artikel(cara
praktik). Berita dan artikel yang mereka telah tulis itu mereka mengirimkannya
kepada Mata Publication .
Aku telah memeriksa semua berita dan artikel dari mereka itu, seperti
menyunting dan memberi tokok tambah yang perlu. Kemudian aku mengirimkan semula
kepada mereka dengan mengarahkan mereka menulis semula berita-berita dan
artikel-artikel itu dan mengirimkannya kepada mana-mana surat khabar atau
majalah.
Peserta-peserta kursus yang rajin atau aktif, maka berita-berita atau
artikel-artikel yang mereka telah kirimkan kepada surat khabar atau majalah dan
telah disiarkan, maka mereka telah menerima sagu hati atau honorarium dari
media-media berkenaan.
KURSUS KEWARTAWANAN
Semua peserta
kursus kewartawanan memiliki kad pengenalan ’pelatih pemberita’. Kad pengenalan
itu untuk memudahkan mereka mencari bahan-bahan berita atau artikel-artikel di
tempat-tempat tertentu. Setelah mereka tamat dengan baik, aku telah memberikan
satu sijil kepada tiap-tiap pesereta itu, menandakan mereka telah menyertai
kursus kewartawan anjuranku.
Kemudiannya, aku mendapat tahu, ramai dari mereka yang telah mengikuti
kursus kewartawanan dan penulisan itu telah bekerja sebagai pemberita atau pemberita sambilan dalam
syarikat-syarikat akhbar. Ada juga yang telah melayakkan diri sebgai penulis
kreatif, iaitu cerpenis dan penyajak atau penyair.
Pada satu petang dalam tahun 1973, Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Haji
Kamaruddin bin Haji Mat Isa telah menjemput aku datang ke pejabatnya, di Jalan
Dato’ Panglima Bukit Gantang, Ipoh. Aku telah tiba di pejabatnya pada waktu
para kakitangan kerajaan sedang bersiap-siap hendak pulang. Aku mendapati Dato’
Ishak Tadin (Tan Sri) Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Timbalannya, Encik
Nasir Taha, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Kamaruzzaman dan Pegawai Penerangan
Negeri, Encik Ismail Shah sedang berada dalam pejabat tersebut.
Aku telah duduk atas sofa antara Haji Kamaruddin dengan Encik Nasir
Taha.Setelah aku menghirup air teh dalam cawan yang telah disediakan
untukku, Haji Kamaruddin telah bercakap
atas tujuan dia telah menjemput aku ke pejabatnya.
”Encik Mokhtar, ...di Taiping minggu lalu, Encik Mokhtar ada mencadangkan
kepada saya, supaya kerajaan negeri terbitkan surat khabar Berita Perak...,”
kata Haji Kamaruddin.
”Ia, Dato’...,”sahutku.
”Macam mana Dato’?” Haji Kamaruddin telah bertanya kepada
Ishak Tadin.
” Ia, boleh kita terbitkan, tapi siapa yang nak jalankan?”Tanya Ishak
Tadin.
”...Encik Mokhtar ada pengalaman, ...kita minta dia jalankan Berita
Perak..., adakan peruntukan duit...,”kata
Haji Kamaruddin.
Semua pegawai tinggi kerajaan Negeri Perak itu telah setuju menerima aku
memegang jawatan pengarang surat khabar bulanan Kerajaan Perak bernama ’Berita
Perak’.
Aku telah mengemukakan pendapatku; Sebagai sebuah surat khabar suara
Kerajaan negeri, Berita Perak tidak akan menyiarkan ucapan atau kenyataan dari
tokoh-tokoh politikus parti-parti kerajaan dan parti-parti lain. Ia hanya akan
menyiar ucapan berhubungan dengan kerajaan oleh Menteri Besar, anggota-anggota
Exco dan pegawai- pegawai kanan kerajaan. Menteri Besar dan pegawai-pegawai
kerajaan itu telah bersetuju dengan pendapatku itu.
BERITA PERAK
Pada petang itu,
keputusan yang telah dicapai, bahawa surat khabar Berita Perak, akan
diterbitkan pada tiap-tiap awal bulan. Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan
peruntukan wang untuk menerbitkan surat khabar itu dan membayar elaun kepadaku
sebagai editornya.
Oleh kerana kerajaan tidak mengadakan kakitangan untuk mengendalikan surat
khabar itu, maka aku telah menjalankan tanggungjawab serentak, iaitu sebagai
editor, penyelidik, penulis, membaca proof, jurugambar dan berurusan dengan
pihak pejabat cetak kerajaan yang mencetak surat khabar itu.
Menurut Ishak Tadin, tujuan utama pihak Kerajaan Perak mengambil aku untuk
mengendalikan Berita Perak, supaya dapat menyekat atau melembutkan kegiatan aku
dalam menulis berita dan artikel mengkritik wakil-wakil dan kerajaan negeri
itu.
Ishak Tadin telah banyak membantuku dalam mengendalikan surat khabar Berita
Perak. Dia telah memberi kepadaku beberapa buah fail rasmi kerajaan mengenai
pembangunan kerajaan dan sebagainya. Memberi kemudahan kepadaku untuk
menghubungi semua pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai lain termasuk
polis dan tentera di seluruh negeri
Perak.
Aku juga diberi kebenaran mengikuti mesyuarat-mesyuarat tertutup kerajaan,
seperti masyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pembangunan Negeri dan
hal-hal berkenaan sidang Dewan Undangan Negeri Perak.
Aku telah berkesempatan membaca banyak nota dalam fail rasmi kerajaan
mengenai Pembangunan Negeri dan sebagainya. Dari nota-nota dan catataan-catatan
mesyuarat, aku telah mendapati banyak wang kerajaan telah digunakan dengan cara
tidak mengikut keputusan dan jadual.
Dari fail-fail pembangunan Kerajaan Negeri Perak yang aku telah membacanya,
aku telah mendapati ada ’kelemahan’ dalam mengagihkan peruntukan wang bagi
pembangunan dalam negeri itu.
Disebabkan sentimen politik, ada kawasan yang patut mendapat peruntukan
bagi pembangunan telah diketepikan. Misalnya kawasan-kawasan yang ramai
pembangkang tidak diberi peruntukan pembangunan dan dibiarkan mundur.
Ada pula wang peruntukan untuk satu-satu kawasan dipindahkan kepada kawasan
lain kerana sebab-sebab dalaman, misalnya menteri besar tidak bersefahaman
dengan wakil-wakil rakyat dalam satu-satu kawasan. Akibatnya, ramai penduduk
luar bandar ramai yang ’menggigit jari’ kerana tidak dapat menikmati
pembangunan kerajaan, terutama di kawasan-kawasan luar bandar.
Pada masa itu aku sering menaiki helikopter Tentera Udara Malaysia (TUDM)
mengikuti pegawai-pegawai tentera dan kerajaan melawat dan meninjau
kawasan-kawasan luar bandar, termasuk
kawasan-kawasan Orang Asli dan khemah-khemah askar dan polis hutan di seluruh
negeri Perak.
Pada satu subuh aku telah menaiki helikopter TUDM, Nuri, bersama Setiausaha
Kerajaan Negeri Perak, Ishak Tadin, Timbalannya, Nasir Taha, Pemerintah Tentera
Darat di Perak, Brigadier General Abdul Abdul Latif Hussein[2](telah
meninggal dunia) dan pegawai Penerangan Negeri Perak, Ismail Sahah telah
terbang ke kawasan hutan belantara Hulu Perak dan mendarat atas sebuah bukit
dekat khemah Askar Wataniah dekat Lebuh Raya Timur Barat – Pulau Pinang-
Kelantan.
Sebaik-baik sahaja kami mendarat atas bukit itu, kami telah dikawal oleh
berpuluh-puluh orang anggota askar Wataniah yang lengkap dengan senjata.
Kami telah dibawa masuk ke dalam sebuah khemah Askar Wataniah di pinggir
Lebuh Raya Timur – Barat yang sedang dibina oleh sebuah syarikat pembinaan ’Malaysian and Thailand Development
(MTD). *
* Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan
Paruk, (belum terbit), oleh: Mokhtr Petah
[1]
MATA , Majlis Agama Tertinggi, iaitu sebagai mengenangkan sebuah badan
agama yang
telah ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar al
Baqir _Hizbul Muslimin -, di institusi
pengajian Islam, Ihya usya Syarif, Gunung Semanggul bersama Ibrahim Yaakob dan Dr
Burhanuddin Hedlmi.
[2] Lihan, Mokhtar Petah, 2002, Meniti
Derita Kepuncak’ Kuala Lumpur, Darul Fikir.
No response to “ ”
Post a Comment