TERKENANG


                                  IBUKU MENANTIKU DI SHYURGA


Ibuku, wanita berasal usul dari Melayu Pattani,
Dalam tubuhnya ada darah Melayu Campa,
          Rongga dadanya ada iman yang kukuh kepada Yang Maha Pencipta.
          Dia ibu solehah,
Ibu contoh.
Tubuhnya ada isi miskin lemak,
Kulit belulang,
Kelongsong urat sarafnya,
Waja laksana besi Kharsani tulang temulangnya.
Merah warna darah ibuku,
Hatinya, hati perempuan Melayu taatkan Ilahi.
Mindanya murni mengikuti sunnah nabi.
Murni jalan fikirnya,
Amal ibadatnya sejalan lurus dengan nabi,
Seia sekata dengan Imam Safie dan Ghazal.

Ada syurga bagiku di bawa tapak kaki ibu,
Demi Allah aku tak kenal kata ‘ut’ ,
Atau kalimat durhaka.

Tubuh ibuku berbungkus dalam telekung putih laksana kapas dibusar. Fardu Isyak kudus baru sahaja ditunaikan dengan khusyuk lagi tawaduk.Tubuhnya ada isi miskin lemak.Di hujung lafaz kalimat Allahu Akbar, ibuku berpaling kepadaku.  Aku sedang duduk bersila sambil membaca buku; cerita Hang Jebat, di penjuru rumah kami yang bertiangkan  dua belas puntung teras merbau dari rimba.
           Rumah kami berlantaikan  buluh, dindingnya dari buluh pelupuh. Atapnya daun rumbia kering tanpa lelangit.
           Di situlah syurga kami – ibu, ayah, adik lelakiku dan aku.
           Ibu mengorak senyum. Senyumannya laksana senyuman bidadari sedang berdiri di pintu syurga. Di hujung senyumannya yang panjang bagai pantai pesisir lautan pada waktu pagi,ibu berkata kepadaku:       
          “Lamin, …mak ikut cakap ayahmu, tok mu,…demo kata, mengaji agama Islam dulu, lepas tu baru mengaji bahasa orang putih.”
Aku diam. Ketaatanku kepada ibu melebihi segala-galanya. Aku mendengar madahnya yang kiramah..
          “…kalau kita mengaji bahasa orang putih dulu, kita mudah jadi orang kafir, …jadi orang Serani,…Kristian,”madah ibuku lembut. Mesra.
Aku termangu. Diam. Bagaikan ikan betuk dalam tasik Cenderoh. Seperti batu tagar dalam lubuk sungai kengalir airnya dari gunung, di belakang kampung kami.
          “Ayahmu kata, bahasa Arab bahasa Quran, bahasa Nabi Muhammad..., bahasa syurga,”kata ibuku.
          “…ia, bahasa syurga,”aku mengaku.
          Aku mengagguk - anggukkan kepalaku. Setia dan patuhku  anak lelaki sulungnya.
          Aku merenung wajah ibu dengan limpah ruah kasih sayang. Hati nuraniku mengaku akan madah beriman ibuku itu.        
           Ibu bercakap bersandarkan iman dan akidah. Bahasa dapat menukar rasa cinta seseorang kepada seseorang yang lain. Bahasa dapat mengubah keyakinan atau keimanan manusia kepada Maha Pencipta alam maya,pada nabi-nabi, kitab suci Quran dan kepada hari akhirat.
           “…bahasa Arab, bahasa syurga, bahasa Quran, bahasa Nabi Muhammad,” ibuku mengulangi kata-katanya.
           “…emak, sunguh, benar kata emak,”aku menyambut kata - katanya dengan patuh lagi ikhlas.
Dari banjaran gunung Bintang Hijau  di belakang kampung kami,terdengar sayup-sayup bunyi kuang mengigal. Sekali sekala bunyi pungguk merindukan kekasih bersambut dengan bunyi kijang betina galak jantan di lereng gunung itu. Bunyi kuang, pungguk dan kijang menguak kesunyian kampungku, kampung Kembang Semangkuk. Kampung tradisi yang terletak di dataran di bawah naungan banjaran gunung Bintang Hijau. Dulunya menjadi tempat singgah para pedagang Melayu Pattani yang bermusafir khana lalu lalang dari Legih,Remang dan Yalla ke Manjong dan  Gangga Negara atau  Beruas. Orang-orang Pettani itu dari keturunan Melayu Champa. Melayu tua beragama Hindu dan kemudian beragama Islam setelah salah seorang sahabat nabi Muhammad merantau ke sana.
                     Malam muda memeluk seluruh kampungku. Kampung dingin bedi. Sepi. Bagai gadis kehujanan dalam dangau beratap jerami di tengah sawah.
Aku merenung wajah ibuku.
                     “…Lamin dapat masuk sekolah Clifford, sekolah orang putih, emak,”aku berkata dengan suara lembut.
                    Ibuku merenung kepadaku. Dia merenung seperti dia merenung wajahku pada ketika aku baru terluah dari pintu rahimnya yang diteran payah. Ibuku membuka telekung yang membungkus kepalanya. Senyumannya manis. Senyuman seorang ibu yang beriman kepada Allah. Kemanisan senyumannya itu terasa ada kemanjaan, kasih sayangnya kepadaku dan syurga yang menantiku di bawah tapak kakinya.
                “Tak apa, ayahmu nak jumpa guru besar,Cikgu Buyong pagi esok. Dia nak tolak tawaran masuk sekolah Clifford tu,” ibuku berkata dengan  nada suara memujukku.
Aku diam.
                Hatiku terlonjak-lonjak dalam kegembiraan seperti gadis sunti mendapat anting-anting mutiara sejak aku belajar dalam darjah satu lagi, aku tidak ada cita-cita untuk belajar di sekolah Inggeris. Agung benar cita-citaku untuk belajar di sekolah agama. Orang-orang kampungku memberi nama sekolah agama itu sekolah Arab. (Bersambung esok) *
*    Dipindahkan dari novel,(2005 -1426)

No response to “ ”

Post a Comment