TERKENANG
SAYA KENAL ANWAR IBRAHIM
Semenjak negara kita
mencapai kemerdekaan pada 1957 hingga pada masa ilmu kewartawanan atau mass communication (mass com.) belum diwujudkan oleh Institut Teknologi Mara, belum ada
sesiapa dan organisasi yang mengadakan kursus seperti itu secara umum di negara
ini. Ada atau tidak, hanyalah institusi media atau akhbar mengadakan kursus
atau bimbingan kepada pemberita-pemberita mereka sahaja.
Sekitar tahun 1960-an,
persatuan-persatuan penulis di negeri-negeri telah mengadakan ceramah dan
seminar penulisan kreatif, tetapi tidak bersifat kursus atau bimbingan secara
langsung kepada belia-belia yang meminati bidang kewartawanan dan penulisan.
Pada pertengahan tahun 1965, aku
telah dikenali ramai sebagai seorang wartawan yang telah berpengalaman dalam
bidang penulisan kreatif - novel, cerpen dan sajak-, maka aku telah menerima
banyak sungutan dari ramai pemuda pemudi, di seluruh negeri Perak yang berminat
dalam bidang pemberitaan atau kewartawanan, kerana mereka tidak berpeluang
mempelajari ilmu tersebut.
Sementara itu ramai belia-belia,
terutama lepasan sekolah agama rakyat yang meminati kerjaya dalam bidang
penulisan dan kewartawanan telah meminta aku membimbing mereka dalam bidang
tersebut.
TAHI UDANG ATAS KEPALA
Atas rasa
tanggungjawab untuk mengembangkan ilmu pengetahuan, maka aku dengan ’ilmu
sebanyak tahi udang atas kepala’, pada tahun tersebut aku telah mengadakan
kursus ilmu kewartawanan dan penulisan kepada para belia lelaki dan perempuan,
di beberapa tempat di negeri Perak, iaitu Kuala Kangsar, Ipoh, Taiping, Parit,
Pulau Pangkor, Kampung Gajah, Teluk Anson, Parit Buntar dan Hulu Perak.
Pada peringkat mula aku telah
mengadakan kursus kewartawanan dan penulisan pada tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad
kepada kira-kira 30 orang pemuda pemudi, dalam sebuah bangunan, di Bandar Kuala
Kangsar. Di antara mereka itu, ialah Nasaruddin Abu Bakar, Mohd. Nor Shamsuddin dan Shahbuddin
Hassan (kemudian mereka bekerja sebagai wartawan Uutusan Melaysia). Beberapa
orang peserta kursus itu tidak berminat bekerja sebgai wartawan tetapi berminat
dalam bidang penulisan kreatif, di antara mereka itu, Hussein Arif (Lubuk
Merabu), Cikgu Ismail (Parit) dan Ramlah Yatim daan Arbaayah Yatim (Manong) dan
beberapa orang guru dan kakitangan kerajaan.
Pada masa yang sama, dalam satu program
Belia, di Bukit Berapit, Padang Rengas, seorang jurufoto bebas, Radzuan Ahmad
telah menemui aku. Dia berasal dari Kampung Tanah Merah, Kuala Kangsar dan
bekas jurufoto Tentera British di Singapura. Radzuan[1]
telah meminta bantuanku untuk mendapatkan kerja sebagai jurufoto dalam syarikat
Utusan Melayu, di Kuala Lumpur.
Aku telah menulis sedikit nota atas
kertas kecil dan aku meminta dia berikan kepada Ketua Pengrang akhbar itu,
Melan Abdullah (kemudian Tan Sri) atau Timbalannya, Othman Abadi. Tidak lama
kemudian di telah bekerja sebagai jurufoto dalam syarikat tersebut.
KURSUS WARTAWAN DAN PENULISAN
Pada masa itu
aku memegang jawatan Pengerusi Persatuan Belia Kuala Kangsar. Setiausaha,
Hamdan Hazizi (penolong Pegawai Daerah), selepas itu telah memegang jawatan
Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak. Kemudian dia
menceburkan dirinya dalam bidang perniagaan dan perusahaan di Ipoh.
Anggota-anggota lain dalam persatuan belia itu, di antaranya, Ismail Shabuddin
(penolong Pegawai Daerah) kemudian menjadi Datuk Bandar Ipoh.
Usaha aku mengadakan kursus kewartawanan
dan penulisan telah menjadi agenda Persatuan Belia Kuala Kangsar. Usaha menarik
lebih ramai lagi belia-belia dalam daerah itu untuk menyertai kursus tersebut
telah dijalankan oleh persatuan tersebut.
Pada tahun 1966, dengan kerjasama Pegawai
Daerah Kuala Kangsar, Allahyarham Ahmad Daud Dahalan, maka kursus ilmu
kewartawan dan penulisan yang aku adakan di bangunan dalam bandar Kuala Kangsar
itu, telah berpindah ke dewan Rest House
dekat Pejabat Daerah setempat. Lebih 70 orang belia lelaki dan perempuan
termasuk ahli-ahli Persatuan Belia telah menyertai kursus tersebut.
Di antara mereka itu, Baharuddin Kahar
(kemudian terkenal sebagai penulis novel dan menjayakan penulisan muzalah
Berita Harian), Husni Tamrin Alimin (Tanjung Rambutan), mereka dari Ulu Kinta,
Sharifah Saudah Ahmad, kemudian berkhidmat sebagai pramugari MAS, dua orang
penuntut Malay College Kuala Kangsar,
Mahson dan Abdul Rahman Yusof. Mahson telah berkhidmat dalam Jabatan Kerajaan
Pusat, Abdul Rahman Yusof, kemudian telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan
Pustaka dan Osman Hamzah bekerja sebagai tukang memperbaiki radio di Taiping
dan Kemudian dia telah bekerja sebagai pemberita BERNAMA, di Taiping.
MENGENAI KEPATAHAN CINTANYA
Pada awal tahun
1977, Osman Hamzah telah mengadakan skim cepat kaya yang terkenal dengan nama
’skim Pak Man Telo’. Skim itu telah menggemparkan penduduk-poenduduk sekitar
negeri Perak dan negeri negeri lain, kerana sesiapa yang melabur wangnya
menrusi skim tersebut cepat menjadi kaya. Kemudian dia telah ditangkap oleh
pihak berkuasa mengikut seksyen 103, jadual ke empat Akta dan Isntitusi
Kewangan. Sebelum meningga dunia, dia
telah dibuang daerah ke Kuala Terengganu pada bulan Mac 1992.[2]
Gadis Bukit Chandan, Mariam yang
telah aku terangkan di atas telah mengikuti kursus kewartawanan dan penulisan
di Rumah Rehat Kuala Kangsar. Dia masih berkeadaan lama juga terhadap diriku.
Pada masa itu dia telah menulis cerpen-cerpen mengenai ke patahan cintanya,
tetapi cerpen-cerpen itu tidak dikirimkan kepada mana-mana surat khabar dan
majalah. Menurutnya dia hendak menyimpan cerpen-cerpennya itu sebagai kenangan.
Pada tahun yang sama, sebuah Jawatankuasa
Sementara di Malay College Kuala
Kangsar(di antara anggota-anggotanya, Ustaz Abdul Rahman dan Dismon Muzaffar
Tat, telah menjemputku untuk memberi kursus ’kewartawanan dan antarabangsa’
pada tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad, selama empat bulan, yang dikhaskan kepada
kira-kira dua ratus orang penuntut-penuntut yang akan melanjutkan pelajaran ke
institusi-institusi pengajian tinggi, di luar negara.
Pada masa kursus di Malay College itu pertama kali aku bertemu dengan seorang penuntut
dari Cheruk To’kun, Bukit Mertajam, Anwar Ibrahim.Dia tidak dapat mengikuti
kursus itu kerana dia akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
TULISAN PRESIDEN SEOKARNO
Anwar Ibrahim
seorang penuntut yang petah bercakap pandai berucap. Dia telah belajar sedikit
sebanyak cara-cara berpidato dengan baik daripadaku. Aku telah menasihatinya,
supaya belajar pidato dengan praktik di hadapan cermin besar. Cara demikian
pemidato itu dapat melihat gaya diri dan
memek mukanya pada waktu berucap dalam cermin itu.
Aku juga telah mencadangkan
kepadanya, supaya dia mengambil potongan-potongan penting dari ucapan dan
tulisan Presiden Soekarno, Muhammad Abduh, Syed Qutb dan beberapa orang lagi
selain dari ayat-ayat Quran dan Hadis untuk digunakan dalam ucapannya sebagai
hias cakap
Kira-kira seminggu kemudian – Malay Colleh bercuti -, aku bersama Haji
Fadhil Khalid, Abdul Latif Hussein (penulis dan anggota Parti Rakyat) telah
membawa Anwar Ibrahim memberi ucapan dalam majlis Maulidur rasul, di Kampung Beluru (kampung di pendalaman) dan
Kampung Talang Dusun(dekat Padang Polo Kuala Kangsar). Dia telah berucap dengan
suara yang lantang, penuh gaya dan semangat. Hampir separuh dari ucapan Anwar
telah menyelar atau mengecam Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, beberapa
orang menteri kabinet wakil-wakil rakyat
UMNO.
SEORANG YANG GELOJOH
Ucapan-ucapan
Anwar Ibrahaim telah menarik perhatian orang-orang dari parti pembangkang dan
mereka yang tidak menyertai mana-mana parti politik. Pendapat-pendapat Anwar
Ibrahim dalam ucapan-ucapannya sesuai dengan fikiran orang-orang parti
pembangkang, seperti Socialist frunt
atau Parti Rakyat dan PAS.
Pada masa itu ramai dari
penduduk-penduduk kampung suka mendengar
ucapan Anwar Ibrahim. Ucapannya seperti ucapan pemuda-pemuda revolusi Indonesia
atau seakan-akan ucapan Presiden
Soekarno.
Aku telah merenung wajah dan
peribadi Anwar; dia seorang yang bercita-cita besar, mempunyai harapan untuk
menjadi pemimpin, tetapi dalam banyak hal dia seorang yang gelojoh. Biasanaya, orang-orang yang
gelojoh bernasib seperti seorang seldadu; kalau dia tidak membunuh musuh, maka
dia akan dibunuh oleh musuhnya.
Semenjak Anwar Ibrahim tamat dari Malay College dan melanjutkan
pelajarannya, di Universiti Malaya dan hingga dia berada di kedudukan yang
tinggi, aku tidak pernah bertemu dengannya. Tetapi aku sentiasa mengikuti
jejaknya, jejak seorang pejuang yang sarat dengan semangat dan cita-cita,
namun, dia seperti seorang perajurit di
medan perang; membunuh atau dibunuh.*
* Dari manuskrip buku, Memoir,
patah Sayap Bertongkatkan
Paruh, (belum terbit), oleh:
Mokhtar Petah.
No response to “ ”
Post a Comment