TERKENANG


                            GANYAG MALAYSIA
                                   
Pada masa konfrantasi Republik Indonesia terhadap  Malaysia pada  16 September 1963 hingga  Ogos 1966, iaitu pada bulan Oktober 1963 aku telah mengikuti Sultan Idris Shah melawat ke bandar kecil Lumut. Bandar itu sedang mengadakan pesta tahunan. Berbagai pertunjukkan kesenian telah diadakan, di padang tepi laut.
Sultan Idris telah beradu dalam bilik vip. Rumah Rehat bandar itu. Anggota-anggota rombongan Baginda telah tinggal dalam beberapa buah bilik di situ. Aku bersama seorang pegawai polis bahagian Cawangan Khas telah menginap dalam sebuah bilik tidak jauh dari bilik Baginda.
Pada malam itu kira-kira jam 11.00, aku sedang bercakap-cakap dengan dua orang rakan, seorang pemberita dan seorang gadis Melayu penyanyi dari Persatuan Belia Daerah Dindings, di tepi pintu masuk ke pesta itu. Pada waktu kami sedang bercakap-cakap di situ, tiba-tiba datang Usmar - bekas wartawan harian Patriot, Medan dan pegawai POLRI bahagian perisikan-, telah datang menemui aku. Setelah kami berjabat tangannya, dia telah mengajak aku pergi bersamanya ke pengkalan bot ke Pulau Pangkor. Aku telah meninggalkan  dua rakanku di situ dan mengikut Usmar.
KOMANDO GANYANG MALAYSIA
Usmar memberitahu kepadaku, bahawa dia telah dua hari berada di Lumut dan siang tadi dia telah datang mencariku di Kuala Kangsar. Di sana dia telah mendapat tahu yang aku bertada di Lumut.
Usmar telah mengajakku menaiki bot pergi ke Pulau Pangkor Laut, iaitu di sebalik Pulau Pangkor dan mengadap ke laut lepas. Dengan berbisik, dia memberitahu kepadaku yang dia telah datang bersama Tentera Nasional Indonesia (TNI) atau Komando Ganyang Malaysia (KOGAM) dengan sebuah kapal selam dan telah berlabuh di sana.
 Pada ketika itu perkhidmatan bot ke Pulau Pangkor telah tidak ada lagi. Usmar bersama seorang rakannya telah membawaku menaiki bot laju yang telah disewanya sejak siang tadi. Setibanya kami di kawasan pinggir Pulau Pangkor Laut, dalam cahaya bebintang di dada  langit, aku melihat sebuah kapal besar sedang berlabuh di laut tidak jauh dari pulau itu. Ramai anggota-anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) atau Komando Ganyang Malaysia (KOGAM) yang berpakaian uniform celoreng dan lengkap brsenjata sedang berdiri di bawah pepohon dan semak-semak di situ.
Usmar telah memperkenalkan aku kepada seorang pegawai yang telah menyebut namanya, Ali (bukan nama sebenar) dan anggota-anggota TNI yang lain. Pada waktu yang singkat dan mencemaskan itu, aku telah diminta menjalankan propaganda kepada orang ramai, di negara ini bagi menghancurkan projek Malaysia yang disifatkan oleh Presiden Soekarno sebagai projek British.
DIRANCANG OLEH INGGERIS
Ali dan pegawai-pegawainya telah menyerahkan satu guni, sebesar guni bawang yang berisi wang kertas Malaysia yang bernilai $10.00 setiap sehelai itu masih baru dan berikat kemas dengan pita logam. Wang itu adalah untuk aku gunakan bagi menjalankan kempen anti Malaysia.
Ali telah menjelaskan kepadaku, bahwa Republik Indonesia tidak bertujuan bermusuhan dengan rakyat Tanah Melayu yang baru berada di bawah Malaysia, tetapi tujuan mereka untuk menghancurkan gagasan Malaysia, kerana projek itu telah dirancang oleh Inggeris dengan tujuan mengekalkan kepentingan ekonomi mereka di Persekutuan Tanah Melayu, Singapura dan Borneo, iaitu Brunei, Sarawak dan Sabah.
 Aku telah menolak pemberian wang seguni itu dengan alasan aku tidak dapat membawanya, kerana di sekitar bandar kecil Lumut ramai anggota-anggota polis dan tentera sedang berkawal, kalau aku membawa guni berisi wang itu tentulah aku akan diberkas oleh mereka. Selain dari itu aku menginap bersama seorang pegawai polis bahagian Cawangan Khas dalam bilik rumah rehat di Lumut.
Ali dan pegawai-pegawai TNI itu telah menerima alasanku itu. Kemudian  mereka telah meminta aku bekerjasama dengan mereka bagi menghancur projek Malaysia. Kira-kira dua puluh minit aku di sana, kemudian Usmar telah menghantarku pulang ke Lumut dengan bot laju itu.
INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI
Kira-kira tiga minggu kemudian aku telah menerima surat dari seorang tokoh ilmuan dan diplomatik (namanya aku rahsiakan), yang bekerja sebagai pensyarah di sebuah intitusi pengajian tinggi, di Singapura. Dia telah meminta aku membantunya, menjadi korespondan- menulis dan membekalkan berita-berita dan artikel-artikel kepada pihaknya, di institusi pengajian tinggi itu.
Aku telah menerima permintaannya itu. Pensyarah itu telah memberi kepadaku kemudahan mengirim berita-berita dengan menggunakan kad mengirim berita- collect press-, dari Telekom. Semua berita yang aku tulis aku telah mengirimkannya kepada institusi pengajian tinggi itu dengan kod  ’press’.
Kemudian aku telah mendapat tahu, bahawa semua berita dari aku itu telah disiarkan Radio Republik Indonesia (RRI), iaitu ’Suara Ganyang Malaysia’ untuk dipancarkan di Radio Republik Indonesia (RRI).
Aku telah tidak memberitahu kepada sesiapa, hatta kepada isteriku mengenai petemuanku dengan pegawai-pegawai TNI di Pulau Pangkor Laut hingga aku membekalkan berita-berita kepada sebuah insitusi pengajian tinggi di Singapura.
POLIS CAWANGAN KHAS
Kisah itu telah menjadi kenang-kenangan dalam hidupku dan telah menjadi catatan dalam sejarah hidupku sebagai seorang penulis yang sentiasa rebah dan bangun. Aku kira pengalaman itu sebahagian dari ilmu pengetahuan dan pengalaman aku jua.
Pada masa konfrantasi Indonesia terhadap Malaysia itu, aku telah diminta oleh seorang Pegawai Polis Bahagian Cawangan Khas, negeri Perak, supaya aku bekerja sambilan dengan bahagian itu. Kerana pekerjaan itu sebagai satu sumbangan kepada negaraku, maka aku telah menerima permintaan pegawai tersebut.     
Tugasku dalam Cawangan Khas itu tidaklah untuk menangkap orang-orang politik kiri atau mereka yang melakukan seversif terhdap negara, tetapi aku menjalankan tugas sebagai wartawan juga, iaitu melaporkan kepda bahagian itu semua hasil percakapan dan temubualku dengan pemimpin-pemimpin perjuangan golongan kiri dan para bijak pandai yang membangkang kerajaan seperti Dr Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Kassim Ahmad, Ishak Haji Muhammad dan ramai lagi.
Selain dari itu, aku juga dikehendaki melaporkan hasil lihat, dengar dan selidikku terhadap menteri-menteri dan ahli-ahli Dewan Rakyat, termasuk kelakuan mereka yang boleh merosakkan nama negara, seperti rasuah dan sebagainya.
PERPADUAN DAN PEMBANGUNAN
Aku dikehendaki menghantar segera kepada pegawai Bahagian Cawangan Khas setempat semua saripati dari ucapan-ucapan para politikus itu, seperti mereka mengkritik atau menegur kerajaan berhubungan dengan pembangunan luar bandar, politik, ekonomi, pelajaran dan sebagainya. Semua laporanku itu dihantar oleh pihak Bahagian Cawangan khas itu ke ibu pejabatnya, di Kuala Lumpur dan  seterusnya kepada Perdana Menteri.
Aku juga dikehendaki menghantar kepada Bahagian cawangan Khas semua salinan berita-berita yang aku telah tulis mengenai hal-hal pihak pembangkang, seperti temubualku dengan mereka, ucapan mereka, orang-orang yang mereka telah temui dan sebagainya.
Pihak Jabatan Perdana Menteri mahukan ucapan-ucapan, pecakapan dan buah fikiran tokoh-tokoh pembangkang diteliti, dikaji dan ambil mana-mana yang baik dan berfaedah untuk tujuan memperbaiki pengurusan kerajaan, terutama mengenai perpaduan dan pembangunan rakyat luar bandar.
Kerja yang aku telah lakukan untuk kerajaan itu adalah kerja kecilan, tetapi aku mendapat pengalaman dari semua kerjaku itu; sesebuah kerajaan yang mengamalkan demokrasi amat memerlukan pandangan atau idea dari pihak pembangkang dan orang ramai untuk melaksanakan satu-satu rancangan atau projek untuk rakyat jelata.
Kerajaan yang mengamalkan demokrasi tidak akan berjaya dan maju jika mereka mengenepikan pandangan atau idea dari pihak pembangkang dan pengkritik-pengkritik dasar dan usaha-usaha kerajaan.*

*Disaring dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah.        
        

No response to “ ”

Post a Comment