KISAH DARI
NOVEL
(9)
KASIH IBUKU
HABIS MANIS SEPAHDIBUANG
Malam membungkus
kampung Kembang Semangkuk dan berhiaskan cahaya bulan purnama. Bau harum bunga
melati membuai masuk ke dalam bilik Mahani melalui jendela yang ternganga.
Jendela berjeriji besi itu membolehkan dia merenung jauh ke puncak pohon
kembang semangkuk yang sedang dipeluk oleh awan perak. Tidak jauh dari pohon
kembang semangkuk itulah rumah ibu dan ayahku. Mahani tahu ayahku ada di
rumahnya bersama ibuku. Dia tahu pada malam itu ayahku tidak ke tasik Chenderoh.
Malam itu malam Jumaat yang keramat.
“Abang, kalau abang
dah jadi laki Ani, abang sayangkan ani,tau,”suara Mahani berbisik
seolah-olah bisikan itu hampir benar dengan copeng telinga ayahku.
“…tolonglah, abaaang, Ani dah lama hidup degihta
bersama laki Ani dulu, dia nikah dengan Ani kerana harta emak, bapa Ani,…Ani
jadi macam tebu,bang, habis manis sepah dibuang,” bisik Mahani lagi.
“Dia orang Bugis, bang. Dia datang ke kampung ni
kerana berniaga. Lepas tu dia pujuk ayah Ani supaya jadikan Ani bininya,” Ani
membisikkan kalimat-kalimat itu pada bantal panjang dalam pelukannya.
Bantal panjang itu dilepaskan dari pelukannya. Dia
berbisik lagi, “…demi Allah, bang, Ani tak cintakan dia, tapi ayah, emak Ani
yang paksa, Ani mangsa kahwin paksa, bang,” Ani berbisik sambil dua biji
matanya merenung ke puncak pohon kembang semangkuk.
“…dulu lagi, bang, pada masa Ani anak dara Ani dah
jatuh hati pada abang, tapi pada masa tu Ani seorang saja bertepuk sebelah
tangan, bang,” bisikan Mahani seolah-olah dibawa angin ke puncak pokok kembang
semangkuk.
Mahani berdiri dari birai katilnya. Dia berjalan ke
jendela. Angin dari luar memuput masuk melalui jendela itu dan meraba tubuhnya.
Rambutnya yang hitam berkilat seperti berterbangan dalam cahaya bulan yang
indah.
“Abang, Ani mengaku ,bang, Ani akan serahkan seluruh
tubuh dan jiwa raga Ani kepada abang,” Mahani berbisik dalam bau harum bunga
melati.
Pada saat - saat bulan purnama berlindung di sebalik
gunung awan, Mahani merebahkan tubuhnya yang berbungkus dalam pakaian tidur
warna biru laut ke atas katilnya. Dipeluknya bantal panjang itu semula
seolah-olah dia memeluk tubuh ayahku.
Pada waktu sunyi begitu, terasa dalam hati Mahani
yang ayahku ada bersamanya. Lelaki idaman itu seolah-olah sedang membelai
dirinya. Dia benar-benar dilambung cinta berahi terhadap ayahku.
Memang telah menjadi kebiasaan pada diri orang-orang
yang bercinta atau sedang dihanyutkan dalam tasik angan-angan dan khayalan; apa
jua kalimat - kalimat indah atau bersifat puitis diucapkan dalam hati atau diucapkan
dengan berbisik Cuma.
DEGUP JANTUNGNYA
MENENDANG -
NENDANG DINDING DADANYA
Mahani membisikkan pantun – pantun lama. Dia rasa ada nikmat cintanya
kepada lelaki apabila pantun-pantun lama itu dibisikkannya.
Inderagiri
pasirnya lumat,
pasir bercampur dengan lokan;
bagai
nabi kasihkan umat,
begitu saya kasihkan tua.
Harap- harap kelapa
di puan,
Tidak puan kelapa Bali;
harap
hati pada tuan,
tidak tuan siapa lagi.
“Ya, Allah,
Allah Maha Besar, tunjukkanlah kepada
hambamu yang lemah ini jalan yang benar. Kau anugerahkanlah kepadaku jiwa yang
tenang, hati yang sabar dan kuatkan imanku kepada-Mu. Ya, Allah jika
kautakdirkan aku bersuamikan abang Razdi, kaukuatkanlah cinta kasihku kepdanya
dan dia pula memberikan cinta kasihnya kepadaku.” Mahani menyembahkan doanya
kepada Allah pada ketika dia mula mengantuk.
“Dengan nama
Allah yang Pemurah dan Penyayang,” bisik Mahani sambil mengerengkan
tubuhnya kepada bantal peluknya. Dia memeluk bantal itu dengan perasaan seorang
janda muda yang ketagih kasih bapaku.
-------
“ Ani, kakak ni nak pinangmu,”ibuku berkata kepada
Mahani.
Mahani tunduk dan dua biji matanya merenung kelarai
- kelarai pada tikar mengkuang di hujung lututnya. Degup jantungnya
menendang-nendang dinding dadanya sendiri.
“…untuk abang Radzi, suami kakak, Ani terimake, …Ani
setujuke?” ibuku bertanya dengan suara yang lembut amat.
Mahani mendongakkan kepalanya. Dia merenung ibuku
dengan renungan perempuan yang jujur
kepada perempuan yang ikhlas dan mengharapkan keredaan Allah. Dia senyum manis.
“…Ani terima, kak, Ani setuju,…atas nama Allah Ani
terima, kak,”kata Mahani.
Dua ulas bibirnya basah bak dua ulas limau. Hatinya
bermadah, “…tak cukup tapak tangan nyiru Ani tadahkan.”
“Syukur, … kakak syukur kepada Allah,”kata ibuku.
“Ani juga bersyukur kepada Allah, kak,…Ani ucapkan
terima kasih kepada kak, terima kasih,kak.” Mahani menyambut kata - kata ibuku.
Peristiwa yang luar biasa dalam masyarakat yang
longgar dengan pegangan agama Islam itu
berlaku pada satu petang hari Khamis. Pada sebelah malamnya, dalam satu
majlis walimatul urus yang sederhana
di rumah Mahani, ayahku dinikahkan dengan janda muda itu.
“…maka
kahwinilah perempuan-perempuan yang kamu sukai,dua orang, tiga orang dan empat
orang, tapi kalau kamu khuatir tidak dapat berlaku adil, maka hendaklah
seorang sahaja,”[1]
ibuku membisikkan erti dari ayat Quran kepada ayahku sebaik-baik sahaja ayahku
melakukan istiadat membatalkan air sembahyang dengan isteri barunya.
“Insya Allah,
Insya Allah, abang akan adil, terima kasih, Ijah,”sahut ayahku.
Ibuku berpaling kepada madunya. Pada ketika mereka
berjabat tangan, ibuku berkata, “…isteri
– isteri kamu itu ladang kamu, oleh itu usahakanlah ladang kamu itu sebagaimana
kamu suka,”[2]
ingat tu, Ani.”
“Insya Allah,kak,
Ani berjanji, Ani akan taatkan abang Radzi,” Mahani mengaku.
Pada malam itu, biuku merelakan hatinya dengan
beralaskan keimanan kepada Allah dan kesetiaan kepada suaminya, dia meminta
ayah tinggal bersama Macani selama satu minggu. Walaupun Macani bukan
seorang gadis, tetapi kerana ‘reda’ dan
‘sayangnya kepada ayah, maka itulah yang dilakukannya.
DIA RASAPUAS
SEBAGAI SEORANG
ISTERI
Sebelum biuku meninggalkan rumah Macani, dia bersama ayah dan madunya,
Macani, telah mencapai kata yang bulat, iaitu ayah akan melakukan giliran
antara biuku dengan madunya selama dua
hari dan dua malam. Kalau ada hal-hal yang munasabah, seperti sakit, deman dan
aral-aral lain, bolehlah dipendek atau dipanjangkan masa giliran itu.
Sebaik-baik tiba di rumahnya, ibuku melabuhkan
punggungnya atas tikar di bilik sembahyangnya. Dia melakukan sembahyang sunat
syukur kepada Allah kerana dirinya telah dianugerahkan hidayat oleh Yang Maha
Agung itu dengan hati yang rela terhadap suaminya. Dia rasa puas sebagai
seorang isteri kerana dapat menolong suaminya menikah seorang lagi. Dia juga
rasa puas kerana dapat menghapuskan gelaran janda pada diri madunya.
“…ya, Allah, demi-Mu, Allah, aku lakukan ini kerana-Mu,
ya, Allah,” ibuku menyembahkan bisiknya kepada Maha Pencipta alam semesta.
Ibuku tahu. Dia amat sedar. Kakak-kakaknya dan
sebilangan besar dari orang-orang perempuan di kampung Kembang Semangkuk tidak
menyebelahinya. Mereka tidak setuju atas tindakannya meminang Mahani. Mereka
lebih tidak suka ibuku merelakan ayahku
memadukannya.
“…biar apa demo nak kata, aku ikut jalan Allah, aku
tak akan ikut jalan syaitan,” hati ibuku bermadah tegas.
“Orang yang tentang hukum lelaki kahwin lebih dari
seorang, orang jahil hukum Islam,…ikut
nafsu,…ikut syaitan, derhaka kepada Allah…,” hati ibuku bermadah lagi.
Pada ketika itu ibuku teringat akan seorang
perempuan kenalannya kampung seberang. Perempuan itu telah menghalang suaminya
yang hendak berkahwin dengan seorang perempuan. Dia telah menyerang bakal
madunya dengan cili tumbuk dan mencakar
muka perempuan itu dengan besi tajam.
Perempuan tersebut telah menuntut cerai dari
suaminya. Kerana perbuatannya, dia telah ditangkap oleh polis dan kemudian dia
terpaksa meringkuk dalam penjarakan. Kira-kira satu minggu dia terkurung dalam
penjara, suaminya telah menceraikannya dengan talak satu.
“ Perempuan yang menentang suami nak kahwin lagi
berdosa. Lelaki takutkan isteri, ikut telunjuk isteri, takut nak kahwin lagi
walaupun mampu, lelaki itu dayus. Lelaki dayus tak dapat masuk syurga,” ibuku
masih ingat akan ajaran guru agama, tuan Cek Wi[3].(Allahyarham
Sheikh Haji Nawawi Janggut Merah)
“Nabi Muhammad sallallahu
alai wasallam telah bersabda, “Lelaki
dayus tak dapat masuk syurga,[4]”
(Hadis Nabi Muhammad s.a.w.) kata tuan Cek Wi lagi.
“ Tengoklah, pada masa akan datang ramai perempuan
Islam yang tentang hukum Allah. Depa tentang poligami, depa buat macam-macam
alasan kerana nak tentang hukum Allah tu. Nau
zubillah,” tambah tuan Cek Wi.
Menurut tuan
Cek Wi, orang Islam yang menentang hukum Allah, tidak percayakan hukum dalam
Quran, mereka menjadi kafir, mereka
orang - orang yang tidak beriman kepada Allah. *
* Dipndahkan dari novel Kasih Ibuku, oleh: Mokhtar Petah.
No response to “ ”
Post a Comment