500 warga kita kena penjara di Thailand

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my


DUTA Malaysia di Bangkok, Datuk Husni Zai Yaacob

Kes palsu kad kredit paling ramai

BANGKOK: Kegiatan memalsukan kad kredit adalah punca sebahagian besar daripada 500 rakyat Malaysia termasuk wanita merengkok dalam 18 penjara di Thailand ketika ini.

Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob, berkata 246 banduan menjalani hukuman di 10 penjara sekitar ibu kota ini manakala 251 lagi dalam lapan penjara di selatan Thailand.

Daripada jumlah itu, 125 merengkok dalam Pusat Pembetulan Lelaki (Men Correction Center) dan tiga dalam Pusat Pembetulan Wanita (Women Correction Center) di sini, manakala 102 lagi dalam Penjara Khas Songkhla.

Beliau berkata, kegiatan pemalsuan kad kredit itu didalangi sindiket yang membolehkan ada antara individu terbabit memiliki sehingga 10 kad kredit dan berbelanja di Thailand.

"Mereka beli barang dan bawa balik ke Malaysia untuk dijual semula. Ini adalah satu sindiket," katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Husni berkata, kes pemalsuan kad kredit mungkin disebabkan mereka tidak perlu memohon visa untuk memasuki Thailand selain faktor jarak dan sempadan memudahkan mereka keluar masuk di antara kedua-dua negara.

Katanya, sebahagian banduan lain terbabit dalam kegiatan dadah, jenayah seperti membunuh, mencuri, masuk tanpa dokumen sah dan menyebabkan kecederaan.

Husni berkata, pembabitan ramai rakyat Malaysia dalam kes pemalsuan kad kredit dijangka dibangkitkan dalam Perundingan Tahunan Malaysia-Thailand Ke-4, Selasa ini.

Sesi pertemuan yang turut disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatnya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva itu dijangka memberi fokus kepada beberapa masalah terutama berkaitan keselamatan di sempadan seperti penyeludupan dadah, manusia, barangan dan senjata api.

Najib dijangka tiba di sini lewat petang esok, untuk lawatan kerja tiga hari ke Thailand.

Antara barang yang diseludup ke Thailand ialah tepung, minyak masak, gula, gas memasak, petrol dan diesel. Penyeludupan ke Malaysia pula ialah beras dan pulut, mercun, bunga api dan pistol.

"Turut berlaku ialah kes perjalanan masuk rakyat kedua-dua negara tanpa dokumen yang sah sama ada pasport atau Pas Masuk Sempadan. Mereka masuk menggunakan Pas Masuk Sempadan tetapi melakukan perjalanan melebihi radius 25 kilometer dari pintu masuk sempadan seperti yang dibenarkan.

"Pergerakan merentas sempadan juga membabitkan rakyat asing yang masuk ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan tanpa dokumen perjalanan yang sah. Berdasarkan rekod tangkapan, mereka termasuk Rohingya, Bangladesh, Afrika dan China.

"Isu lain yang akan dibincangkan ialah berhubung masalah di selatan Thailand," katanya sambil merujuk isu itu khususnya di Yala, Pattani dan Narathiwat yang bergolak sejak Januari 2004 lalu.

Mengenai hubungan dua hala kedua-dua negara, beliau berkata ia mencapai tahap yang kukuh dan semakin berkembang.

"Abhisit memegang kuasa pada Disember tahun lalu manakala Najib pula memasuki tahun pertama sebagai Perdana Menteri. Jadi, saya boleh katakan (hubungan ini) juga (satu) era baru. Saya nampak hubungan ini ada keakraban," katanya.

Di pihak Abhisit, katanya, Kerajaan Thailand kini memperkukuhkan pendekatan perhubungan (connectivity) untuk meningkatkan kerjasama. Ini termasuk perhubungan antara rakyat dengan rakyat serta perhubungan infrastruktur kedua-dua negara seperti Jambatan Persahabatan menghubungkan Bukit Bunga (Malaysia) dengan Ban Buketa (Thailand) yang akan menjadi antara lokasi dilawati kedua-dua Perdana Menteri, Rabu ini

(Berita aini diambil sari Berita Harian online, 6 Disember 2009)

----------------------


Nik Aziz yakin Allah makbulkan doa rakyat yang dizalimi



Dzulfikar Mashoor
GOMBAK, 6 Dis: Menteri Besarnya Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam melahirkan rasa yakin bahawa Allah akan memakbulkan doa rakyat Kelantan yang dizalimi disebabkan kerajaan pusat enggan memberi wang royalti minyak pada kerajaan negeri.

"Kalau orang kafir (berdoa) pun, Allah janji akan makbulkan doanya kerana dizalimi, inikan pula orang Islam dan berjuang Islam di Kelantan," jelasnya dalam Himpunan Perpaduan Ummah 'PAS For All.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS menegaskan bahawa beliau tidak kecewa jika ada pihak tertentu mengkritik saranannya bahawa rakyat Kelantan akan berdoa agar Najib dibinasakan.

Beliau juga melahirkan rasa tidak kisah dengan laporan negatif beberapa media massa, sebaliknya suka dengan beberapa kritikan tersebut.

"Hari-hari surat khabar (arus perdana) caci saya, saya sengeh (kerana) suka."

Baginya, berdoa sama ada memohon sesuatu hajat atau menolak sesuatu kezaliman merupakan sesuatu yang digalakkan oleh Rasulullah s.a.w.

"Bila kita ikut Nabi, jadikan doa sebagai senjata mukmin, maka ada orang yang marah."

Dalam ceramah selama 20 minit di Markaz Tarbiyyah Taman Melewar, Beliau turut melafazkan doa khusus kepada Najib.

"Ya Allah ya Tuhanku, tolong buka hati Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Najib Tun Razak) supaya Perdana Menteri Malaysia perbetulkan fikirannya (lalu) beri (royalti minyak) petrol (milik) Kelantan)," doa Nik Aziz

"Minta perbetulkan pandangan Najib kalau dia berniat baik (dan) kalau berniat jahat (maka) musnahkannya."

"Kalau kamu (Najib) jahat, takkan nak suruh saya doa ya Allah, kau tolonglah orang yang jahat."

Sebelum pada itu, Kelab Penyokong PAS berbangsa India, Bala Subramaniam berpendapat bahawa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu melahirkan rasa terkejut dengan saranan doa Nik Aziz agar Najib dibinasakan disebabkan kezaliman Perdana Menteri itu.

Ujarnya lagi, sepatutnya Muhyiddin menasihatkan Najib agar segera bertaubat dari melakukan kezaliman.

Nada yang sama turut ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

"Saya orang bukan Islam pun percaya bahawa Tuhan akan membantu rakyat yang dizalimi, kenapa Muhyiddin dan Najib tidak percaya doa Tok guru," ujarnya.


-----------------


Kerajaan Negeri P. Pinang iktiraf penghafaz al Quran


Ali Hashim
PULAU PINANG, 6 Dis: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus memberi pengiktirafan kepada para penghafaz Al-Quran di negeri ini dengan memberi pengiktirafan yang sewajarnya kepada mereka.

Sejajar dengan itu seminar Huffaz yang telah diadakan di Dewan Sri Pinang baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) adalah salah satu tindakan kearah pengiktirafan tersebut.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, Abdul Malik Abul Kassim setakat ini 137 para hafiz dan hafizah telah mendapat pengiktirafan sebagai salah satu cara menghargai sumbangan mereka yang berjaya menghafaz Al Quran di negeri ini.

"Kita juga berhasrat untuk mewujudkan satu keluarga satu huffaz serta usaha kearah ini sedang giat dilaksanakan bagi mencapai aspirasi tersebut."

Dalam pada itu Ketua Menteri, Lim Guan Eng turut menyokong usaha yang diambil bagi memartabatkan para huffaz ini.

"Kerajaan Negeri memberi pengiktirafan kepada mereka ini adalah kerana kita berkeyakinan golongan seperti ini adalah mereka yang mempunyai komitmen tinggi dan memerlukan disiplin serta keperibadian mulia untuk melaksanakannya.

"Kita juga yakin degan adanya golongan hafiz dan hafizah ini maka masalah sosial dikalangan masyarakat seperti krisis moral, kemungkaran dan pelbagai masalah sosial akan dapat dihindari sebagaimana yang menjadi konsep amalan Kerajaan Negeri kearah 'Amar Makruf Nahi Munkar."

Para huffaz kali ini diberi penghargaan dengan pemberian sijil dan sumbangan sebanyak RM500 setiap orang.

Penghargaan ini telah dimulai sejak kepimpinan Kerajaan Negeri diterajui oleh Pakatan Rakyat sejak 2008 lagi.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 6 November 2009)



No response to “ ”

Post a Comment