BERITA


Tiga pemimpin kena letak jawatan serentak

SHAH ALAM – Ketiga-tiga pemimpin tertinggi MCA iaitu Presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat, timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan naib presiden, Datuk Seri Liow Tiong Lai perlu meletak jawatan secara serentak bagai mengelak berlaku syak wasangka antara mereka.

Ahli Parlimen Tebrau, Teng Boon Soon berkata, ketiga-tiga pemimpin berpengaruh itu juga perlu berbuat demikian bagi mengelak ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap kemelut dalaman parti bagi menjayakan muslihat tertentu.

“Masing-masing perlu menunjukkan keikhlasan, jangan keras kepala dan mementingkan diri. Jadikanlah peringatan Timbalan Perdana Menteri supaya berkorban untuk parti sebagai iktibar kerana ini adalah jalan terbaik mengatasi krisis MCA

“Jika ketiga-tiga pemimpin tertinggi ini meletak jawatan secara serentak, berkemungkinan kesemua ahli Jawatankuasa Pusat (CC) mengikut jejak mereka berkorban demi parti bagi memberi peluang pemilihan semula diadakan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ketua Bahagian MCA Tebrau berkata, penetapan satu tarikh bagi penyerahan surat peletakan jawatan ahli CC penting bagi mengelakkan adanya pihak tertentu mengambil kesempatan di atas peletakan jawatan itu.

“Cari satu tarikh yang sama bagi mengelakkan ada yang ambil kesempatan. Ahli juga diingatkan menyerahkan surat perletakan jawatan kepada pemimpin yang boleh dipercayai,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian, jika kesemua ahli CC secara kolektif meletak jawatan, ia menunjukkan mereka lebih mengutamakan parti dari kepentingan peribadi.

“Hal ini amat sukar dilaksanakan di mana kita boleh dilihat sejauh mana anggota CC lebih mengutamakan parti berbanding kepentingan peribadi,” katanya.

Kelmarin, Soi Lek mengaku bersama 13 daripada 30 ahli CC telah menandatangani surat perletakan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

Malah, 12 lagi anggota CC yang berikrar akan meletakkan jawatan dipercayai terdiri daripada mereka yang menyokong Tiong Lai.

Perlembagaan parti memerlukan sekurang-kurangnya 20 (dua pertiga) anggota CC meletakkan jawatan bagi membolehkan jawatan bagi membolehkan pemilihan baru diadakan.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 9 Disember 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment