BERITA

Tragedi pengantin baru

Oleh Rashidi Karim



TEH Affifah Shahirah Abd Hamid tidak dapat menahan sebak ketika menziarahi jenazah suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir yang maut bersama tiga lagi dalam kemalangan di Kangar tengah hari semalam, selepas pulang dari majlis akad nikah di rumahnya, di Alor Setar. Beliau sempat bersalaman dengan suaminya dan menerima kucupan pada dahinya pada majlis membatalkan wuduk selepas pernikahan pada jam 10 pagi sebelum kemalangan pada jam 1.05 minit tengah hari.


Bakal pensyarah bersama bapa, ibu dan rakan maut nahas dengan bas

KANGAR: Penuntut universiti, Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, hanya sempat bergelar isteri selama tiga jam selepas suami yang dinikahinya pagi semalam, meninggal dunia dalam kemalangan ngeri sejurus majlis akad nikah di rumahnya, di Taman Berlian, Alor Setar.

Suaminya, Mohd Ariff Ab Kadir, 23, lulusan Ijazah Kejuruteraan Mekanikal universiti di United Kingdom, meninggal apabila kereta yang dinaikinya untuk pulang ke rumah di Taman Melati Indah, Beseri, dekat sini bertembung dengan bas persiaran di Kilometer 7 Jalan Kangar-Padang Besar pada jam 1.05 minit tengah hari, selepas bernikah kira-kira jam 10 pagi.


Lebih menyedihkan kemalangan turut mengorbankan bapa Mohd Ariff iaitu Ab Kadir Awang, 55, yang memandu kereta dan ibunya, Apsah Othman, 58, serta rakannya, Mohd Farhan Musa, 18 tahun.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Zull Aznam Haron, berkata semua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah

Katanya, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara yang dipandu Ab Kadir, pembantu makmal di Sekolah Menengah Sains Syed Putra, di sini dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas berkenaan.

MOHD Ariff dan isteri pada majlis akad nikah mereka, semalam.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk bedah siasat.

Zull Aznam berkata, pemandu dan 27 penumpang bas persiaran dari Klang, Selangor yang dalam perjalanan pulang dari Padang Besar tidak cedera.

"Kita sudah mengambil keterangan pemandu serta beberapa penumpang bas persiaran terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, abang Mohd Ariff, Mohd Hazly Ab Kadir, 32, berkata beliau bersama rombongan pengantin lelaki menaiki empat kereta untuk majlis akad nikah Mohd Ariff yang juga anak bongsu tiga beradik itu dengan Teh Affifah, 23 tahun.

ORANG ramai melihat kereta yang remuk bertembung dengan bas mengorbankan tiga beranak (Ab Kadir Awang, Apsah Othman, Mohd Ariff) dan seorang rakan (Mohd Farhan), semalam.

"Saya menaiki kereta lain dan sampai ke rumah terlebih dulu. Tidak lama selepas itu, saya menerima panggilan daripada bapa Mohd Farhan memaklumkan kemalangan itu," katanya.

Beliau berkata, keluarga pengantin lelaki sudah mengadakan persiapan untuk majlis kenduri esok, manakala pihak perempuan hari ini di Taman Berlian.

Katanya, Mohd Ariff mendaftar untuk memulakan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara Arau, pada Rabu depan.

Mohd Hazly berkata, Mohd Ariff dan Teh Affifah Shahirah, seorang penuntut di sebuah universiti di Australia, berkenalan sejak di bangku sekolah sebelum mengambil keputusan berkahwin.

"Selepas majlis akad nikah, saya melihat arwah adik serta ibu dan bapa begitu ceria dan tidak menduga keriangan mereka berakhir dengan tragedi," katanya.

Kenduri kahwin bertukar majlis tahlil

ALOR SETAR: Majlis kenduri meraikan perkahwinan Teh Affifah Shahirah Abd Hamid, 23, bersama suaminya Mohd Ariff Ab Kadir, 23, yang maut dalam nahas di Kilometer 7 Jalan Kangar-Padang Besar bertukar majlis tahlil dengan pengurusan diambil alih Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Anak Bukit, bermula malam tadi.

Setiausaha Jawatankuasa Surau Taman Berlian, Abd Jabir Mokhtar, 50, berkata pada mulanya pihak pengantin perempuan berhasrat mengadakan majlis khatam al-Quran pada sebelah malam diikuti kenduri kahwin hari ini, namun kedua-duanya terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.

"Perkara berlaku tanpa diduga dan kami sebagai jiran mengambil alih pengurusan majlis yang tetap perlu diteruskan.

"Kita jalankan majlis seperti biasa dengan menerima 1,500 tetamu yang sudah dijemput selain pihak perempuan juga mengeluarkan belanja besar sekitar RM12,000 untuk majlis ini.

"Sekarang menjadi tugas kami untuk menjayakan majlis tahlil itu dan memastikan semua tetamu dilayan dengan baik.

"Kami bersimpati dengan Teh Affifah dan keluarga kerana mereka memang dikenali sebagai orang yang baik dan mempunyai hubungan akrab dengan jiran.

"Teh Affifah juga seorang gadis yang lemah lembut dan baik budi pekerti," katanya ketika di temui di sini, semalam.

Sementara itu, tinjauan Berita Harian di tempat persiapan kenduri di homestay G Glamour di Taman Kancil 3, Anak Bukit semalam mendapati segala persiapan termasuk pelamin dan bilik pengantin sudah disiapkan dengan rapi oleh pihak pengantin perempuan.

Bagaimanapun tiada ahli keluarga di situ kerana berada di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis berikutan kejadian tidak diingini itu.

Kelihatan lapan daripada sembilan dulang hantaran pengantin lelaki kepada pengantin perempuan di homestay itu yang tersusun dengan kemas untuk majlis yang bakal berlangsung hari ini.


-----------------

PKFZ bukti kerajaan telus

Oleh Amirullah Andi Nur dan Jalal Ali Abdul Rahim
arullah@bharian.com.my


MUHYIDDIN memperkatakan sesuatu kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (kiri) bersama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika melihat bungkusan dodol di pameran SDSI di Ayer Keroh, semalam.

Tidak tolak ansur terhadap sesiapa terbukti rasuah: TPM

MELAKA: Pendakwaan tiga individu berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), kelmarin, adalah manifestasi ketelusan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan tindakan itu juga menunjukkan kerajaan tidak akan bertolak ansur terhadap kes berkenaan, termasuk tidak melindungi sesiapa pun sekiranya ada bukti jelas berlaku penyelewengan atau elemen rasuah.


"Ini adalah manifestasi kepada apa disebutkan Perdana Menteri dan kerajaan kita berkaitan PKFZ. Kita bersikap telus... kalau ada laporan disampaikan pihak berkuasa iaitu Peguam Negara, sudah ada bukti sahih ataupun ada asas kukuh untuk ambil tindakan sesiapa sekali pun, maka tindakan harus diambil.

"Kita tidak mahu langsung melindungi, tapi kita juga tidak mahu menghukum pada peringkat awal. Hanya kerana sudah ditahan seolah-soal sudah disabitkan, itu tidak adil.

"Sekarang terserah kepada bidang kuasa mahkamah untuk menentukan kes dibawa ini," katanya selepas merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh dekat sini, semalam.

Kelmarin, tiga individu termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka Phang Oi Choo didakwa di mahkamah berhubung skandal PKFZ. Turut didakwa, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok dan seorang arkitek, Bernard Tan Seng Swee.

Muhyiddin juga berkata, siasatan berhubung kes itu belum selesai selepas pendakwaan tiga individu terbabit, sebaliknya ia adalah langkah pertama Pejabat Peguam Negara terhadap mereka yang disyaki terbabit dalam skandal berkenaan.

"Kita tunggu perbicaraan nanti, bolehlah kita dengar apa yang sebenarnya berlaku. Laporan yang disediakan pihak akauntan yang membuat pemeriksaan, maka itulah yang digunakan sebagai asas untuk melihat sama ada berlaku penyelewengan atau sebaliknya.

"Soal sama ada ia membabitkan jumlah besar atau kecil, biar pada peringkat mahkamah tentukan," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mengesahkan beberapa individu lain terbabit dalam skandal PKFZ akan ditahan dalam masa terdekat.

Beliau mengesahkan polis menjalankan siasatan dan penangkapan berhubung kes itu.

"Saya yakin mereka yang terbabit dalam jenayah ini akan ditahan dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi, semalam.

Difahamkan, seorang jurutera anak syarikat Kuala Dimensi Sdn Bhd akan didakwa Isnin ini.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 12 Disember 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment