BERITA


Najib bangga kejayaan Petronas dapat kontrak di Iraq

PEKAN 12 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak bangga dengan kejayaan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) memenangi dua kontrak di Iraq, termasuk membangunkan medan minyak Majnoon yang merupakan lokasi minyak terbesar di negara itu.

Perdana Menteri berkata, perkembangan itu sangat menggalakkan kerana kawasan tersebut sudah terbukti mempunyai simpanan minyak yang agak besar.

Bagaimanapun beliau belum mendapat laporan secara rasmi dari Petronas mengenai perkara itu dan hanya mengetahuinya melalui media.

"Kalau itu yang sebenarnya, ia satu perkembangan yang sangat menggalakkan sebab ini merupakan kawasan yang sudah terbukti mempunyai simpanan minyak yang agak besar. Biasanya, kita dapat kawasan untuk eksplorasi (yang) kita tidak tahu akan berjaya temui minyak atau gas.

"Kali ini nampaknya tidak ada risikolah kalau itu sebenarnya seperti apa yang dilaporkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Sumber Pekan (PSP) di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan Petronas itu secara tidak langsung akan menambahkan lagi pendapatan syarikat terbabit dan juga negara amnya.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, Petronas sentiasa mencari peluang baru untuk membangunkan kawasan minyak.

Laporan agensi berita luar yang dipetik oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam, menyatakan projek medan minyak Majnoon itu merupakan kontrak bersama Shell yang berjaya diperolehi dalam pusingan kedua bidaan sejak 2003.

Kedua-dua syarikat berkenaan mencadangkan yuran sebanyak AS$$1.39 (RM4.71) setong dan menyasarkan pengeluaran sebanyak 1.8 juta tong sehari berbanding kadar semasa 46,000 tong sehari. Projek itu akan diasingkan sebanyak 60 peratus kepada Shell dan bakinya untuk Petronas.

Majnoon adalah medan minyak terbesar di selatan Iraq dan berhampiran dengan sempadan Iran, yang kini mengeluarkan 45,900 tong minyak sehari dan disahkan memiliki rizab sebanyak 12.58 bilion tong.

Petronas dan Shell memenangi pembidaan itu selepas bersaing rapat dengan syarikat minyak Perancis, Total dan firma minyak China, CNPC, dengan mengetepikan tiga pesaing lain.

Sementara itu di KUALA LUMPUR, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan kejayaan Petronas memperoleh hak membangunkan lapangan minyak di Iraq itu satu perkembangan yang sangat baik kepada syarikat tersebut.

Beliau yang merupakan Penasihat Petronas berkata, syarikat itu perlu meneruskan usaha baik itu bersama-sama Shell.

"Kalau benar dia (Petronas) dapat konsesi itu, saya fikir ia sesuatu yang baik. Tetapi keadaan di Iraq belum stabil lagi," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Alumni Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 13 Disember 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment