Rundingan Malaysia-Thailand berjaya
|
|
BANGKOK 8 Dis. – Rundingan Tahunan ke-4 Malaysia Thailand yang diadakan di sini disifatkan sebagai sangat berjaya apabila kedua-dua negara mencapai kata sepakat dalam pelbagai aspek kerjasama.
Ia termasuk dalam isu ekonomi, pembangunan, perhubungan, isu penyeludupan, keselamatan sehingga ke konflik di selatan Thailand.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva berpuas hati dengan tahap hubungan setakat ini.
Kedua-dua pemimpin itu juga yakin ia boleh diperkukuhkan lagi terutama dalam bidang perdagangan, keselamatan, pembangunan dan inisiatif baru sehingga menjadi model hubungan antara dua negara jiran.
Pada sidang akhbar bersama selepas rundingan tersebut, Najib berkata, selain isu dua hala, Malaysia turut mengulangi pendiriannya bahawa isu di selatan Thailand adalah masalah dalaman negara itu tetapi sedia membantu jika diminta oleh Thailand.
Katanya, Malaysia memahami bahawa isu itu adalah satu cabaran kepada Thailand dan hanya boleh diselesaikan jika rakyat di wilayah itu menolak keganasan, bekerjasama serta setia kepada kerajaan dan raja mereka.
Abhisit pula berkata, Thailand sudah mengambil pelbagai langkah untuk menamatkan konflik di wilayah itu termasuk pembinaan keupayaan menerusi pendidikan dan peluang pekerjaan, pilihan raya kerajaan tempatan dan banyak lagi dengan kerjasama dan perkongsian maklumat dengan Malaysia.
Katanya, pendekatan yang diambil itu yang kebanyakannya dalam bidang ekonomi dan pendidikan diyakini tepat untuk menangani masalah di wilayah itu walaupun ada pihak menyatakan pendekatan politik lebih diperlukan bagi menyelesaikan konflik tersebut.
“Tidak tepat menyatakan pendekatan ekonomi tidak membantu mewujudkan perdamaian di wilayah tersebut walaupun kita mengakui pendekatan politik juga diperlukan supaya rundingan damai boleh diadakan.
“Namun, setakat ini, tiada pihak yang mahu mengaku bertanggungjawab dan berikutan itu, kita perlu bercakap terus dengan rakyat di sana,” katanya.
Kata Abhisit, kerajaan pimpinannya perlu menangani masalah itu dengan segera tetapi dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan hubungan antara komuniti di selatan Thailand.
Sementara itu, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Rundingan Tahunan itu, kedua-dua negara menyatakan komitmen dalam banyak perkara termasuk meningkatkan usaha memerangi penyeludupan manusia, dadah dan senjata di sempadan dan juga di perairan.
Malaysia dan Thailand juga mengukuhkan komitmen untuk meningkat perhubungan antara rakyat dan juga perhubungan fizikal, belia dan sukan, pendidikan tinggi dan juga melihat potensi produk dan pasaran barangan halal.
Pelbagai badan dan jawatankuasa yang diwujudkan antara kedua-dua negara juga dilihat sebagai sangat berkesan untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama.
------------------
Label Dr. M rasis agak terlampau
TOKYO 8 Dis. - Tindakan melabelkan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai rasis hanya kerana bekas Perdana Menteri itu mempertahankan modul Biro Tata Negara (BTN) adalah agak terlampau, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berpendapat kenyataan sedemikian terutama daripada anggota kerajaan patut dielakkan supaya tidak terjebak dengan mainan politik pembangkang yang sememangnya cuba memperlekehkan pemimpin negara dan agensi kerajaan di mata rakyat.
Apatah lagi katanya, Dr. Mahathir merupakan pemimpin negara yang banyak berjasa malah pemikiran dan idea beliau masih diterima.
"Kita hendak mengelakkan timbul buruk sangka kerana dalam suasana politik negara sekarang, banyak yang boleh disalah tafsir.
"Jadi sebaik mungkin, saya rasa tidak perlulah berdebat atau berpolemik mengenai agensi-agensi kerajaan seperti BTN," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis ramah mesra dengan pelajar dan profesional Malaysia di Jepun di sini hari ini.
Muhyiddin berada di bandar raya kosmopolitan ini sejak semalam bagi mengetuai Misi Galakan Pelaburan Khas Ke Tokyo dan Osaka. Beliau bertolak ke Osaka malam ini.
Beliau mengulas tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menuduh Dr. Mahathir sebagai rasis atau bersifat perkauman kerana menolak pandangannya supaya modul kurikulum BTN dirombak bagi menggambarkan konsep 1Malaysia.
Dr. Mahathir sebelum itu mempertahankan modul BTN yang sudah lama diguna pakai kerana ia berkesan untuk rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Dalam hal ini, Muhyiddin mengingatkan memang menjadi strategi pembangkang sejak berkuasa di beberapa buah negeri untuk memperlekehkan semua institusi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), institusi diraja mahupun BTN supaya semua rakyat akan buruk sangka terhadap kerajaan dan pemimpin.
"Ini strategi mereka. Selama ini kita tidak berdebat soal-soal begitu. BTN adalah untuk kepentingan negara dan bukan bertujuan membawa kesan buruk kepada negara.
"Jadi kalau kita terperangkap dengan agenda pembangkang, saya rasa ia mungkin membawa kesan yang tidak baik seperti kes ini sehingga pemimpin terpaksa berlaga sesama sendiri dan mereka tersenyum sahaja apabila agenda mereka berhasil," katanya.
Muhyiddin berkata, beliau bimbang dengan gerakan tertentu yang dibuat secara halus oleh pembangkang untuk melaga-lagakan pemimpin dan memperlekehkan institusi dan agensi kerajaan.
Beliau berkata, rakyat sudah bosan dengan politiking terlampau dan pemimpin sepatutnya menghentikan debat politik dan menumpukan soal-soal yang lebih penting seperti pembangunan.
"Tapi kita kadang-kadang terperangkap dan bergaduh sesama sendiri yang bagi saya ia tidak berfaedah," katanya.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 9 Disember 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment