BERITA

Azizan minta rakyat tegur kesilapan kerajaan negeri

Nazri Abdullah

ALOR SETAR, 8 Dis: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Razak meminta rakyat negeri itu menegur dan memberitahu tindakan silap dan boleh dianggap zalim yang dilakukan kerajaan negeri.

Berucap pada himpunan bulanan bersama kakitangan kerajaan negeri di Wisma Darul Aman semalam beliau memberitahu, kerjasama rakyat itu sangat perlu bagi memudahkan kerajaan negeri bertindak segera bagi membetulkan segala kesilapan demi kesejahteraan rakyat negeri itu.

"Saya mintak semua rakyat tolong tunjuk di mana kerajaan sekarang buat zalim supaya kita dapat baiki.

"Kita mengaku tak semua kita buat adil, kita tak mahu nak jawab depan Tuhan," katanya ketika berucap dihadapan kakitangan dan pegawai kerajaan negeri semalam.

Pada perhimpunan tersebut beliau turut mengingatkan kesemua kakitangan kerajaan negeri cermat dalam menunaikan tanggungjawab pentadbiran agar tidak menzalimi rakyat.

Beliau tidak menolak kemungkinan, kerajaan negeri tidak terlepas dari melakukan perkara tersebut dalam urusan pentadbiran.

"Kita ni pegawai kerajaan. Saya menteri besar, ni ketua jabatan dan exco, kadang-kadang kita buat perkara zalim kat orang, sengaja dan tidak sengaja.

"Saya tekan sangat jangan buat zalim pada orang," katanya .

Lebih lebih lagi katanya, doa orang dizalimi langsung tidak terhijab dan akan dimakbulkan Allah.

Sehubungan itu semua kakitangan di semua peringkat ujarnya perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam melakukan tindakan yang boleh disifatkan sebagai zalim.







--------------------

Nik Aziz lawat tempat kejadian kemalangan KB Mall


Rizal Tahir

KOTA BHARU, 8 Dis: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, meluangkan masa kira-kira 25 minit di tempat kemalangan yang meragut dua nyawa dan satu parah dalam kejadian kereta terjunam dari parkir di KB Mall kelmarin.

Beliau yang diiringi Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan diberi taklimat oleh kakitangan Pasaraya New Pasiffic berhubung kejadian yang telah berlaku.

Turut meninjau perkembangan itu, anggota-anggota exco kerajaan negeri, Datuk Anuar Tan Abdullah, Meja (B) Md AnizamAbdul Rahman, Yang Dipertua MPKB, Haji Ahmad Mahmood, serta para pegawai kanan MPKB-BRI.

Ketika memberitahu pemberita selepas itu beliau berkata, kejadian berkenaan sesuatu yang diluar jangka dan tidak tidak terfikir oleh sesiapapun.

“Benda ni (kejadian itu) berlaku payah nak fikir, semuanya kuasa Allah, bagaimana kemalangan boleh berlaku dengan merempuh dinding yang begitu tebal, kemudian merempuh pula orang di bawah,”ujarnya.

Sementara itu, mesyurat khas yang berlangsung 11.15 pagi tadi memutuskan pasaraya berkenaan boleh beroperasi sebagaimana biasa bermula pukul 2.00 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata ianya diambil kira selepas mesyuarat memutuskan struktur bangunan berkenaan masih dalam keadaan baik.

“Bukan itu sahaja, pembinaannya juga tidak menyalahi peraturan MPKB-BRI seperti dengan mencampuri bahan-bahan yang tidak baik sehingga menjejaskan struktur bangunan,”ujarnya.

Bagaimanapun, menurutnya pihak Bomba dan Penyelamat meminta factor keselamatan sentiasa diambil kira bagi memastikan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Pada kejadian yang berlaku petang 6 Disember lalu, dua pelajar perempuan sebuah kolej kejururawatan Masterskill Cawangan Kota Bharu maut, manakala seorang lagi parah dan seorang lagi cedera ringan dihempap sebuah kereta yang terjunam dari tempat parkir tingkat atas.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Nor Amira Samsuddin, 19 dan Siti Nor Diana Azman, 18, manakala mangsa yang cedera parah ialah Rashidah Ahmad Latfi, 24, juga pelajar kolej yang sama.

Pemandu kereta terbabit, Nor Ain Said, 19, hanya mengelami cedera ringan setelah kereta jenis Ford Laser TX3 yang dipandu mangsa dikatakan rosak di Tingkat 3 parkir itu, tiba-tiba hilang kawalan lalu merempuh dinding lubang angin pasar raya itu.



----------------
PDF | Print | E-mail

Selangor Persoal PERMATA Pintar


Harakahdaily

SHAH ALAM, 8 Dis: Kerajaan Negeri Selangor mempersoalkan kewajaran langkah Kerajaan Persekutuan dalam memperkenalkan Program PERMATA Pintar untuk memberikan pendekatan pembelajaran yang berbeza kepada pelajar pintar cerdas sedangkan mutu pendidikan secara keseluruhan merosot.

Perdana Menteri Najib Razak kelmarin menyatakan hasrat kerajaan pusat mewujudkan Program PERMATA Pintar untuk memberi tumpuan kepada pelajar pintar, misalnya mengadakan tadika pintar dan sekolah pintar.

“Sebenarnya BN telahpun memperkenalkan 300 buah Sekolah Kluster atau Kelompok Sekolah Cemerlang (KSC) sejak tahun 2007, jadi kami tidak jelas apa perbezaan Sekolah Kluster dengan Program PERMATA Pintar yang terbaru ini,” kata Exco Pendidikan Selangor, Dr Halimah Ali dalam satu kenyataan media hari ini.

Halimah berkata, secara keseluruhan mutu pendidikan negara kita bertambah merosot, malah jurang taraf sekolah semakin melebar di antara kawasan maju dengan mundur.

“Sejauh manakah peluang terbuka kepada murid-murid dari sekolah-sekolah kampung, estet atau kawasan setinggan untuk menyertai program itu?”

“Dengan curahan wang yang banyak ke dalam program PERMATA Pintar yang bersifat ekslusif dan elitis, ianya mungkin boleh membantu segelintir pelajar yang mempunyai kecerdasan luar biasa, akan tetapi ia tidak akan memperbaiki keadaan pendidikan negara seluruhnya.”

“Sebaliknya menambahlebarkan lagi jurangnya dengan sekolah-sekolah terbiar di kawasan mundur,” ujar Adun Selat Klang itu.

Halimah menyarankan agar Kerajaan Persekutan fokus pada usaha mempertingkatkan infrastruktur sekolah khususnya sekolah bantuan modal sepertimana dilakukan di Selangor di mana RM16 juta diperuntukkan untuk Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Tamil dan Sekolah Persendirian Cina.

Berhubung dengan isu pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dibenarkan mengambil tambahan dua mata pelajaran tetapi keputusan keseluruhan akan tetap mengambil kira 10 mata pelajaran teras, Halimah berpendirian keputusan kementerian itu jelas bercanggahan dengan konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri sendiri iaitu memberi tumpuan kepada pelajar pintar.

“Apa gunanya untuk mengadakan Program PERMATA Pintar jika kerajaan sendiri menghadkan potensi mereka yang pintar ini?,” soal Halimah.

Katanya, kerajaan sewajarnya mengambil kira semua mata pelajaran yang diambil bagi menggalakkan pelajar yang cemerlang dalam pelajaran berpeluang untuk terus maju ke depan.


(Beritra ini diambil dari Harakan Daily, 8 Disember 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment