BERITA


Kerangka ekonomi baru sudah siap

Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my


PERDANA Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak bergambar bersama Ketua-Ketua Media Cetak dan Elektronik pada Malam Bersama Media Kementerian Kewangan di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya, malam semalam. Antara yang hadir Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong. - Foto Bernama

Model rangsang pertumbuhan diumum akhir Februari: Najib

PUTRAJAYA: Kerangka utama model ekonomi baru negara sudah disiapkan dan perinciannya akan dibentangkan pada Februari ini bagi memastikan ekonomi negara lebih baik, terjamin dan hebat pada masa depan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, taklimat mengenai perincian kerangka utama model ekonomi itu sudah dibentangkan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara, Tan Sri Amirsham A Aziz kepadanya semalam.

Najib berkata, secara prinsipnya beliau sudah memberi persetujuan kepada kerangka utama itu dan bentuk penggarapan model berkenaan.

"Huraian mengenai bentuk model ekonomi baru ini akan dibentangkan selepas ini dan akan mengambil masa sebulan untuk disiapkan sebelum dibentangkan ke Kabinet untuk kelulusan.

"Perincian model ekonomi baru itu akan diumumkan pada akhir Februari," katanya pada majlis Malam Bersama Media anjuran Kementerian Kewangan di sini, malam tadi.

Mengulas lanjut, Najib berkata, model ekonomi baru ini juga akan menjadi landasan kepada pembangunan negara pada masa akan datang kerana ia adalah sebuah model yang komprehensif bagi membangunkan ekonomi sesebuah negara.

"Seperti yang saya bayangkan, model baru ekonomi itu akan menjadi landasan serta pengarahan baru kepada perjalanan dan pemacuan ekonomi kita," katanya.

Beliau berkata, model ekonomi baru itu akan lebih komprehensif bukan hanya menyentuh soal ekonomi, malah peranan sebuah negara secara keseluruhannya.

Majlis yang dihadiri lebih 300 wakil media cetak dan elektronik itu turut disertai Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Selain itu, Najib berkata, model ekonomi itu adalah satu daripada tiga bidang utama yang menjadi teras kepada agenda ekonomi negara mulai tahun depan.

Katanya, dua lagi bidang utama ialah memastikan dasar kewangan negara sama ada Dasar Fiskal dan Kewangan yang terkandung dalam Bajet 2010 berjalan lancar.

"Kita perlu memastikan segala peruntukan dalam aspek kewangan dan program serta insentif yang diluluskan kerajaan untuk merangsang ekonomi negara dijalankan dengan sempurna," katanya.

Pada masa sama, kerajaan perlu memastikan segala perkara yang dibentangkan untuk pengetahuan rakyat mengenai Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) negara dilaksanakan dengan berkesan mengikut sasaran iaitu sama ada pada 2010 atau 2012.

Beliau berkata gabungan Program Transformasi Negara (GTP) menerusi NKRA dan NKPI itu bukan saja akan menjadi pemacu pembangunan negara, malah akan memenuhi aspirasi dan jangkaan tinggi rakyat kepada kerajaan.

"Kerajaan mahu ia bukan saja membantu pembangunan negara, tetapi memenuhi aspirasi rakyat yang begitu memandang tinggi terhadap kerajaan," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 23 Disember 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment