BERITA

Skandal PKFZ: Ramai diheret

Oleh Saufi Hamzah dan Rafidah Mat Ruzki
bhnews@bharian.com.my


STEPHEN Abok dan Tan (kiri) keluar dari Mahkamah Sesyen Klang selepas mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan membuat tuntutan palsu membabitkan jumlah wang RM5.417 juta.

Tuntutan palsu RM5.417j; Pecah amanah RM254.8j;

PUTRAJAYA: Skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) belum ditutup dan ramai lagi individu akan didakwa, kata Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Beliau berkata, pendakwaan terhadap tiga orang semalam, termasuk bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka Phang Oi Choo, bukan penghujung kepada skandal berkenaan tetapi ia cuma satu permulaan.

Phang, 63, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang atas tiga tuduhan pecah amanah berjumlah RM254.8 juta berhubung projek PKFZ. Turut didakwa di mahkamah sama, Ketua Pegawai Operasi Kuala Dimensi Sdn Bhd, Stephen Abok, 51, dan seorang arkitek, Bernard Tan Seng Swee, 48, berhubung dua tuduhan membuat tuntutan palsu RM5.417 juta.

Tan juga didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas, membuat 24 lagi tuntutan palsu bernilai RM116.85 juta. Ketiga-tiga tertuduh tidak mengaku salah.

Pada sidang media di pejabatnya di sini, Abdul Gani berkata, seorang jurutera anak syarikat Kuala Dimensi, Law Jenn Dong, pula akan didakwa Isnin ini di mahkamah sama.

PHANG dibenar ikan jamin RM350,000 dengan seorang penjamin.

Ditanya kemungkinan individu lain seperti Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Dimensi, Datuk Seri Tiong King Sing dan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy, akan turut didakwa, beliau berkata:

"Siasatan sedang dijalankan terhadap individu lain. Saya tidak boleh berikan butiran kerana siasatan sedang dijalankan. Lagipun banyak aspek siasatan dijalankan seperti jenayah komersial, penyelewengan, wang haram dan salah guna kuasa."

Beliau berkata, sesiapa saja, termasuk ahli politik, ahli perniagaan, kakitangan kerajaan dan orang awam yang disyaki terbabit dalam skandal itu, akan didakwa.

"Saya memutuskan untuk mendakwa tiga individu itu hari ini (semalam) kerana saya tidak dapat menunggu pihak berkuasa menamatkan penyiasatan mereka kerana ia akan mengambil masa yang lama.

"Pendakwaan ke atas individu lain akan dilakukan secara berperingkat. Ikan besar atau ikan kecil, semuanya dikira sebagai ikan besar. Mereka mesti bertanggungjawab di atas segala peranan dan tindakan mereka," katanya.

Abdul Gani berkata, pihaknya bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah empat bulan menyiasat skandal itu.

"Banyak isu yang terbabit sama ada perundangan atau fakta... ia bukan hanya kompleks tapi memerlukan jumlah masa yang banyak untuk mengumpulkan bukti," katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed.

Beliau berkata, siasatan turut mengambil kira aspek bagaimana PKFZ ditubuhkan, cara pengendalian perniagaan itu serta perjanjian yang dimeterai termasuk jual beli tanah.

Ditanya mengapa Law tidak didakwa semalam, Abdul Gani berkata, tertuduh tidak dapat dihubungi tetapi dia akan menyerah diri dan didakwa, Isnin ini.

Di KLANG, Hakim Mahkamah Sesyen Yong Zarida Sazali membenarkan Phang diikat jamin sebanyak RM350,000 dengan seorang penjamin. Suami tertuduh, Datuk Lim Twee Yong, membayar jaminan itu.

Mahkamah turut menetapkan 12 Januari ini sebagai sebutan untuk penyerahan pasport antarabangsa tertuduh.

Phang yang memakai baju biru muda, didakwa mengikut Sekyen 409 Kanun Keseksaan atas tuduhan melakukan pecah amanah terhadap dana dalam akaun perbelanjaan di RHB Bank Berhad, Plaza OSK, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu antara 1 Oktober 2004 hingga 9 Mei 2006 di premis LPK di Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

Terdahulu, Ketua Unit Pelucuthakkan Harta dan Pengubahan Wang Haram, Datuk Dzulkifli Ahmad, menawarkan jaminan sebanyak RM2 juta kepada Phang dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ng Aik Guan, membantah dengan alasan jumlah jaminan itu bersifat menghukum tertuduh sebelum perbicaraan dijalankan.

Ng berkata, anak guamnya juga sepatutnya ke Amerika Syarikat pada 14 Disember ini hingga 9 Januari depan.

Sementara itu, Stephen dan Tan didakwa mengikut Seksyen 420 kanun sama atas tuduhan membuat tuntutan palsu dengan memperdaya LPK untuk mempercayai kerja pemasangan infrastruktur elektrik bagi sistem 33kv ke Precint 2 dan 8 projek PKFZ di Pulau Indah sudah dilaksanakan sehingga mendorong LPK mengesahkan pembayaran kepada Kuala Dimensi.

Kedua-duanya didakwa melakukan kesalahan itu pada 31 Julai dan 28 September 2007.

Tan yang menghadapi 24 tuduhan lain bersama seorang lagi individu, melakukan kesalahan sama antara 30 Jun 2006 hingga 30 Mei 2008.

Yong Zarida membenarkan Stephen diikat jamin RM200,000 manakala Tan sebanyak RM250,000. Mahkamah juga menetapkan 4 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan turut dibantu Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Hashley Tajudin manakala Stephen diwakili Tan Hock Chuan dan Tan oleh George Vanghese.

(Berit ini diambil dari Berita Harian Online, 11 Disember 2009)


*****

Kerajaan kaji cadangan swasta


Najib Tun Razak (tiga dari kanan) sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama pelabur dan usahawan terkemuka Malaysia di Bangunan Perdana Putra, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA


KUALA LUMPUR 10 Dis. – Kerajaan akan mengkaji pelbagai saranan yang disuarakan oleh sektor swasta, seperti ketelusan dan penswastaan kompetitif, pasaran modal yang lebih menarik serta mengurangkan kadar jenayah dan rasuah, dalam usaha meningkatkan pelaburan.

Untuk itu, kerajaan juga akan mengkaji tadbir urus yang baik oleh kerajaan dan sektor swasta, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Jaminan ini dibuat selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menemui pelabur dan usahawan terkemuka Malaysia bagi membincangkan strategi untuk menambah pelaburan domestik dan merangsang ekonomi.

“Objektif pertemuan itu ialah untuk merangsang pelaburan domestik dan meningkatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak dua peratus selain mendapatkan pandangan sektor wasta mengenai cara untuk merangsang pelaburan,” kata kenyataan itu.

Usaha lain yang dilakukan oleh sektor swasta bagi menarik pelaburan ke negara ini, termasuk lebih banyak pendekatan bersepadu di kalangan kementerian dalam menangani kebimbangan sektor swasta, penembusan jalur lebar yang lebih tinggi dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta melaksana kecekapan tenaga dan teknologi hijau.

Sektor swasta juga mencadangkan supaya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diberi bantuan untuk meningkatkan rangkaian nilai, menubuhkan pusat sehenti untuk pelabur domestik dan projek penswastaan yang sudah diluluskan, dilaksana segera.

Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) akan menjadi pusat sehenti untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan manakala Unit Perancang Ekonomi akan menjadi pusat sehenti untuk projek-projek penswastaan.

Untuk 2010, kerajaan mengunjurkan pertumbuhan KDNK antara 2-3 peratus.

Malaysia meluluskan pelaburan bernilai RM19.9 bilion dalam sektor pembuatan antara Januari dan September tahun ini.

Daripada jumlah itu, pelaburan langsung asing (FDI) bernilai RM12.5 bilion atau 62.8 peratus dan pelaburan domestik (DDI) bernilai RM7.4 bilion atau 37.2 peratus.

Pada 2008, pelaburan bernilai RM62.8 bilion diluluskan, dengan RM46.1 bilion (73.4 peratus) membabitkan FDI dan RM16.7 bilion (26.6 peratus) DDI.

Kenyataan itu menyebut sudah menjadi dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat menarik untuk pelabur asing dan tempatan menerusi pelbagai langkah yang diperkenal, termasuk konsep 1Malaysia, model ekonomi baharu, liberalisasi sektor perkhidmatan dan memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing.

Langkah lain yang diambil setakat ini ialah suntikan dua pakej rangsangan bernilai RM67 bilion, pengurusan kewangan berhemat dan peruntukan insentif khas serta meningkatkan persekitaran perniagaan.

“Kerajaan akan terus melaksanakan inisiatif baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10),” kata kenyataan itu.

Dalam memperkenalkan insentif baru, kerajaan menyambut baik idea daripada pelabur dan komuniti perniagaan bagi memudahkan dan meningkatkan pelaburan, dengan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan.

Kenyataan itu juga menyebut kerajaan akan mengambil kira pelbagai isu dan cadangan yang diketengahkan oleh sektor swasta.

Berdasarkan peranan sektor swasta yang semakin meningkat sebagai enjin pertumbuhan ekonomi Malaysia, kerajaan akan terus membantu komuniti perniagaan bagi memastikan persekitaran pelaburan yang menarik serta berusaha menangani pelbagai isu dan kebimbangan yang disuarakan.

Menerusi pelbagai langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan, diharapkan sektor swasta akan terus menyokong kerajaan serta meningkatkan pelaburan domestik, katanya. (Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online – Bernama, 11 Disember 2009)








No response to “BERITA”

Post a Comment