BERITA


KL beri harapan baru



NAJIB mengaminkan doa oleh imam masjid selatan Thailand selepas beliau bersama Abhisit selesai merasmikan majlis penamaan Jambatan Muhibah, semalam.

Lawatan Najib tinggal kesan kepada umat Islam

selatan Thailand


LAWATAN singkat dan bersejarah Datuk Seri Najib Razak ke wilayah ini semalam, memberi harapan baru kepada penduduk Islam di selatan Thailand yang berhadapan dengan pergolakan sejak sekian lama.

Dalam lawatan muhibah itu, Perdana Menteri yang diiringi rakan sejawatnya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva, memberi jaminan Kuala Lumpur bukan saja menyokong usaha membawa keamanan di wilayah terbabit, malah akan membantu membangunkan sekolah agama serta program sosiobudaya penduduknya.

"Lawatan ini walaupun singkat, tetapi akan meninggalkan kesan berpanjangan kepada masa depan sekolah dan masyarakat Islam di selatan Thailand.

“Atas galakan Perdana Menteri Thailand, kerajaan Malaysia menimbang membantu sekolah agama di selatan Thailand,” katanya ketika berucap sempena kunjungannya ke Institut Islamiah Attarkiah (IIA) di sini pada hari terakhir lawatan kerja tiga hari ke Thailand.

Ini adalah lawatan pertama dilakukan Perdana Menteri Malaysia ke wilayah bergolak itu, yang menyaksikan hampir 4,000 orang terkorban sejak tercetus semula persengketaan pada Januari 2004.

Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, mempunyai jadual ketat sepanjang kunjungannya ke wilayah ini termasuk menghadiri majlis penamaan Jambatan Muhibah menghubungkan Ban Buketa dengan Bukit Bunga di Tanah Merah dan melawat Ban Rotunbatu yang menempatkan keluarga ibu tunggal yang kematian suami akibat keganasan di selatan Thailand.

Dalam ucapan di hadapan kira-kira 5,000 pelajar dan pengajar institut itu, Najib mengumumkan Kementerian Pelajaran Malaysia akan menaja lima guru IIA untuk menjalani kursus pengajaran bahasa Inggeris setiap tahun, mulai tahun depan.

"Atas permintaan juga, saya bersetuju tiga biasiswa disediakan oleh kerajaan Malaysia menerusi Petronas untuk lulusan sekolah ini melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Petronas (UTP) setiap tahun," katanya.

Perdana Menteri berkata, IIA yang mempunyai 4,500 pelajar dengan 250 guru boleh disifatkan sebagai sebuah sekolah contoh yang tersohor di Thailand kerana menerima pelajar Islam dari seluruh pelusuk negara itu.

Katanya, pencapaian sekolah itu juga membuktikan bahawa kerajaan Thailand menggalakkan Islam diajar di sekolah agama di wilayah terbabit.

"Saya yakin, sekolah ini boleh menjana pelajar cemerlang dalam erti kata lengkap dengan ilmu dan akhlak yang mulia serta dapat berjasa kepada agama, bangsa dan negara.

"Jika kerajaan Thailand tidak menggalakkan Islam diajar, mereka tidak akan mengundang saya ke sekolah ini. Saya yakin pengajaran dan pembelajaran mengenai Islam di wilayah ini akan diteruskan. Ini adalah dasar kerajaan Thailand. Perdana Menteri (Abhisit) memberi jaminan kepada saya bahawa dasar ini akan diteruskan.

“Saya juga berpuas hati terhadap hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Thailand yang saya yakin mempunyai pendekatan dan dasar yang boleh menjurus kepada keamanan dan kedamaian di kawasan ini,” katanya.

Perdana Menteri berkata, apa yang berlaku ketika ini adalah ujian yang ditentukan Allah.

Beliau berkata, penduduk selatan Thailand seharusnya menjadi pendukung kuat kepada falsafah hidup ‘di mana bumi di pijak, di situ langit dijunjung’.

"Dalam bahasa ringkasnya, penduduk perlulah menunjukkan taat setia kepada negara, Raja dan Perlembagaan Thailand, selagi ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

"Marilah kita sebagai umat Islam, tunjukkan contoh yang baik dengan amalan, perbuatan dan akhlak yang terbaik kerana kalau ia berjaya dilakukan, kita akan lebih dihormati di mana juga kita berada.

“Saya difahamkan, kini ada 3,494 masjid di seluruh Thailand dan daripada jumlah itu, 2,257 ada di Pattani, Narathiwat dan Yala. Ini bererti amalan beragama adalah bebas di Thailand.

“Marilah kita sambut dengan menunjukkan kita adalah umat Islam yang mulia. Walaupun umat Islam majoriti di wilayah ini dan minoriti di Thailand, kita boleh tunjukkan kemuliaan untuk hidup aman damai dengan bukan Islam," katanya.

Najib juga meminta pertubuhan bukan kerajaan dari selatan Thailand menjalin kerjasama dengan rakan di Malaysia dalam usaha membangunkan baitulmal, zakat dan kemudahan haji yang mampu memberi faedah kepada umat Islam wilayah ini.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 10 Disember 2009)


*** ***


Umat Islam perlu tunjuk teladan baik

JELI 9 Dis. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, umat Islam di negara ini dan Thailand perlu menunjukkan teladan yang baik dalam kehidupan seharian agar ia selari dengan tuntutan Islam yang mencintai keamanan dan menolak keganasan.

Menurut Perdana Menteri, pada masa yang sama, umat Islam di kedua-dua negara terutama di selatan Thailand perlu belajar untuk hidup bersama dengan bukan Islam secara harmoni tanpa sebarang masalah yang besar bagi membawa perubahan.

Katanya, ia amat penting bagi memastikan keamanan di wilayah tersebut terlaksana dan secara tidak langsung akan dapat memastikan kehidupan yang lebih baik pada masa akan datang.

"Kita mesti menjadi ummah yang cemerlang dari segi akhlak dan pegangan, kita menolak keganasan dan kita adalah ummah yang cinta pada keamanan, inilah antara prinsip yang dikehendaki oleh Islam.

"Oleh itu, mari kita tunjukkan bahawa sebagai umat Islam kita boleh hidup bersama-sama dalam keadaan harmoni dengan orang yang bukan Islam.

"Inilah satu cubaan dan ujian bagi kita kerana kalau kita boleh lakukan perkara ini terutama sekali di selatan Thailand, saya percaya rakyat Thailand yang beragama Islam akan menikmati masa depan, satu era yang lebih baik dan bermakna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada hampir 2,000 penduduk sekitar Jeli selepas bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva menghadiri Majlis Menamakan Semula Jambatan Bukit Bunga-Ban Buketa sebagai Jambatan Persahabatan di jambatan itu di sini hari ini.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 10Disember 2009)




No response to “BERITA”

Post a Comment