BERITA



Selangor tuan rumah sidang saintis Islam sedunia
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 15 Dis: Selangor menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Akademik dan Saintis Islam (IAS) 2009 ke-17 yang menghimpunkan saintis-saintis Islam seluruh dunia bermula 14 Disember lalu.

Persidangan itu telah disempurnakan pelancarannya oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj di sebuah hotel terkemuka di bandaraya ini.

IAS2009 kali ini dianjurkan oleh Universiti Industri Selangor (Unisel) bersama World Academy Of Science (IAS), International Islamic Academy For Life Sciences and Biotechnology (IIALSB) yang disertai lebih 300 saintis dengan 105 daripadanya adalah ahli IAS sendiri meliputi 35 buah negara Islam seluruh dunia.

(Gambar: Sebahagian peserta yang menyertai persidangan)

Persidangan empat hari ini dihadiri pakar-pakar saintis dalam dan luar negara antaranya daripada Negara-negara OIC seperti Arab Saudi, Turki Jordan, Parkistan, Indonesia dan lain-lain bertemakan “Towards Knowledge Society In The Islamic World”.

Turut berucap di dalam majlis perasmian adalah Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Puan Hajah Dr Halimah Ali, Dato’ Seri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Presiden IAS dari Jordan, Prof Abdul Salam Majali.

Sementara itu, dalam sidang media selepas majlis perasmian, Tan Sri Abdul Khalid berkata, persidangan ini membuktikan Selangor mampu menganjurkan program berprestij bertaraf dunia dan sekaligus menjalinkan hubungan baik dengan negara luar.

Persidangan ini juga, jelasnya, bertujuan untuk menjalankan kajian dalam bentuk pendidikan dan mempertingkatkan usaha penggabungannya dengan keusahawanan.

“Sekarang kita perlu mempertingkatkan usaha kepada aspek pembelajaran pengetahuan dan menggabungkan dengan usahawan, maknanya bagaimana ilmu dan kajian tersebut dapat dijadikan panduan berguna untuk kegunaan masyarakat,” katanya.

Tan Sri Abdul Khalid yang turut menyatakan perasan sangat gembiranya dengan pencapaian cemerlang Unisel khususnya di dalam menganjurkan persidangan sangat berprestij itu yang berjalan lancar.

Antara isu yang mendapat perhatian sidang kali ini adalah tentang belia, wanita dan sains, peranan sains dan teknologi di Negara OIC, masyarakat bermaklumat dan sektor perniagaan, perundangan dan peranan media.

Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) turut menyampaikan pandangannya ketika membahaskan tajuk ‘The Leadership and Policy Components For The Knowledge Society: A Proposed Best Practice for OIC Countries di dalam sesi pertama selepas acara perasmian.

Tun Mahathir mengingatkan kepada semua pemimpin supaya memperoleh ilmu pengetahuan yang tinggi bagi memacu perkembangan sesebuah organisasi pentadbiran.

Dalam memartabatkan ilmu, jelasnya, pemimpin mesti memahami kepentingan penguasaan ilmu kerana ia merupakaan kunci membawa masyarakat serta negara ke hadapan.

Jelasnya lagi, kegagalan seseorang pemimpin itu memahami kepentingan penguasaan ilmu pengetahuan akan menyebabkan bangsa dan negara akan ketinggalan.

“Jika tiada pengetahuan, kita akan jauh ketinggalan di belakang dan akan dijajah orang, sebab itu kita perlu kuasai ilmu pengetahuan,” katanya.

Dalam sidang media selepas itu, Tun Mahathir menyalahkan Kerajaan Malaysia ekoran menukar semula pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kepada Bahasa Melayu.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily Online, 16 Disember 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment