BERITA


Rakan tulen isu ekonomi, sempadan

Daripada Mior Kamarul Shahid dan Kamal Ahmad di Bangkok
bhnews@bharian.com.my


NAJIB diiringi Abhisit memeriksa barisan kawalan kehormat ketika kunjungan hormat ke Rumah Kerajaan di Bangkok, semalam.

Malaysia, Thailand setuju selesaikan masalah bersama

MALAYSIA dan Thailand akan membuktikan dua negara berjiran itu menjadi model rakan tulen dalam bidang ekonomi dan keselamatan sempadan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata beberapa inisiatif yang akan dilaksanakan kedua-dua negara akan dijadikan contoh untuk menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.

Katanya, kedua-dua negara bersetuju menyelesaikan beberapa masalah, khususnya isu sedia ada yang membelenggu kedua-dua negara, diselesaikan hingga ke akar umbi walaupun terpaksa mengambil sedikit masa.

"Ini termasuk usaha mengeratkan kerjasama membanteras penyeludupan manusia, dadah dan senjata," katanya pada sidang akhbar bersama rakan sejawatnya, Abhisit Vejjajiva di Rumah Kerajaan, di sini semalam.

Terdahulu Najib dan Abhisit mengetuai delegasi masing-masing pada Perundingan Tahunan Keempat Malaysia-Thailand. Ini lawatan rasmi pertama Najib ke Thailand dan esok mereka melawat Narathiwat.

Najib menjelaskan Malaysia menghormati kedudukan Thailand mewujudkan keamanan di selatan negara itu dan menyifatkan pergolakannya sebagai masalah dalaman Thailand.

Katanya, Malaysia akur sebarang penyelesaian mesti tidak menjejaskan kesetiaan rakyat terhadap negara itu dan Raja Thailand.

Mengenai dua kerakyatan, Najib berkata kedua-dua pihak berkuasa akan mengumpul data dan membuat perbandingan untuk mengenali serta menjejaki mereka terbabit serta yakin isu itu dapat diselesaikan segera.

Abhisit yang menyifatkan Malaysia sebagai jiran yang mempunyai kepentingan signifikan, memberi jaminan membina hubungan berasaskan kepercayaan dan saling menghormati.

Beliau juga memberi jaminan menyelesaikan masalah membabitkan kedua-dua negara dengan mengambil kira kepentingan dan keadilan rakyat pelbagai agama.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama dikeluarkan selepas rundingan menjelaskan kedua-dua negara berharap memeterai perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) membabitkan kepentingan mereka sebelum perundingan kelima di Malaysia tahun depan.

Ini termasuk memerangi penyeludupan manusia, perjanjian seberang sempadan, MoU dalam pendidikan tinggi, bidang belia dan sukan.

Kedua-dua negara itu juga akan memulakan rundingan membincangkan kerangka baru transit barang dan penumpang dari Thailand melalui Malaysia ke Singapura dan dari Malaysia melalui Thailand ke Kemboja, Laos dan Myanmar pada Februari depan.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 9 Disember 2009)



One response to “BERITA”

Isma Ae Mohamad said...

keamanan tidak akan dicapai tanpa rundingan dengan pemisah!

Post a Comment