PILIH PEMIMPIN BERMANAH - PRESIDEN PAS
Sazali Mansor
KUALA KRAI, 14 Julai (Hrkh)- PAS mengingatkan para pengundi dalam pilihan raya kecil di N41 Manek Urai agar membuat pilihan yang tepat dengan memilih pemimpin beramanah.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata para pengundi di Manek Urai yang akan keluar mengundi hari ini agar memilih pemimpin yang amanah.
Ia kerana katanya, mengundi serta memilih kerajaan adalah satu amanah yang akan dipersoalkan di hari akhirat kelak.
Beliau berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda 'peniaga yang amanah bersama kebenaran' dengan merujuk kepada calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah (Abe Uji) sebagai seorang peniaga yang amanah.
"Peniaga-peniaga ikan percaya kepada dia (Abe Uji), peniaga-peniaga kecil percaya kepada dia (Abe Uji), kalau (para peniaga) tidak percaya kepada dia, 'mapuhlah' (tutuplah) perniagaannya.
"Dia (Abe uji) telah berniaga beberapa lama, ini (bukti) kejayaan amanahnya,"tegas Ustaz Abdul Hadi ketika berucap pada satu ceramah di Kampung Sungai Rek, Laloh, dekat sini.
Katanya, para pengundi mesti memilih kerajaan yang amanah bukan parti yang khianat dan Umno adalah parti yang khianat kerana mengamalkan rasuah.
Menurutnya, rasuah yang berlaku dalam pemilihan pemimpin Umno diakui oleh pemimpin mereka sendiri dan rasuah berleluasa pada waktu pilihan raya ini.
Ustaz Abdul Hadi berkata antara wang yang diperolehi oleh pemimpin Umno bagi memberi rasuah adalah dari tauke-tauke besar.
"Pemimpin Umno, bila dia (pemimpin) jadi kerajaan bagaimana dia (BN) nak naikkan harga getah, macam mana nak turunkan harga gula, macam mana nak turunkan harga minyak.
"Kerana tauke-tauke ini beri 'pitih' (duit) kepada dia (pemimpin Umno), untuk menang pilihan raya, untuk jadi pemimpin. Macam mana dia (BN) nak tunaikan amanah," soalnya.
Menurutnya, kerajaan Kelantan telah menunaikan amanah dengan mentadbir negeri dengan baik dan memberikan tanah kepada penduduk di Manek Urai.
Oleh itu, katanya, pengundi Manek Urai mesti menunaikan amanah dengan memilih pemimpin yang amanah dan kerajaan yang amanah.
Justeru itu, katanya menjadi harapan dari pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat agar ibu bapa dan waris-waris melaksanakan amanah memanggil anak-anak dan saudara mereka yang berada di luar pulang menunaikan amanah untuk mengundi.
*** ***
Laporan polis terhadap Muhyiddin Yassin
Muhammad Yusri Amin
Tue | Jul 14, 09 | 9:27:16 am MYT
MANEK URAI, 14 Julai (Hrkh) - Satu laporan polis telah dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri Tan Seri Muhyiddin Yassin kerana telah melakukan kesalahan di bawah Akta Pilihan Raya 1954 menjelang Pilihan Raya Kecil Manek Urai.
Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS Negeri Dato' Haji Abdul Rahim Wan Abdullah berkata laporan itu dibuat di Balai Polis Laloh semalam
"Laporan itu dibuat berhubung dengan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang menjajikan pembinaan jambatan baru bagi merentangi Manek Urai Lama dengan Manek Urai Baru.
"Selain itu Muhyiddin juga menjanjikan Manek Urai akan dijadikan sebuah kota agropolitan sekiranya Barisan Nasional memenangi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai pada 14 Julai 2009,"katanya pada satu sidang media.
Dalam laporan itu bahawa janji Muhyiddin itu dibuat dan jambatan itu mula dibina sehari selepas pengundian sekiranya BNmemenangi Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai 14 Julai, katanya.
Dato' Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata perkara ini rasuah untuk mempengaruhi dirinya dan juga pengundi-pengundi lain di Manek Urai supaya mengundi BN.
"Jadi oleh itu kita memohon supaya pihak polis menjalankan siasatan dan juga mengambil tindakan seberapa segera. Pihak Jentera Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai juga menyatakan rasa dukacita di atas peristiwa tersebut.
"Dan dengan ini memohon supaya bukan saja pihak polis, bahkan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan laporan yang dibuat, kami mengharapkan semoga SPRM dan SPR dapat menjalankan siasatan secara telus untuk meyakinkan rakyat," katanya.
(Berita - berita ini dari Harakah Daily, 14 Julai 2009)
*** ***
KUBANG PASU: Datuk Seri Najib Razak menolak andaian beliau akan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 dalam masa terdekat.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak nampak keperluan mengadakan pilihan raya umum sekarang kerana mandat kerajaan yang ada masih panjang, selain banyak tugas penting yang perlu dilaksanakan.
Najib berkata, beliau menerima e-mel memetik kenyataan pemimpin pembangkang yang meramalkan beliau akan mengadakan pilihan raya umum dalam tempoh terdekat berikutan sokongan rakyat yang semakin meningkat kepada Barisan Nasional (BN).
"Saya tertarik kenyataan pemimpin pembangkang menerusi blog dan e-mel yang mendakwa saya mungkin akan mengadakan pilihan raya umum mengejut kerana kedudukan kita (BN) bertambah baik dan ada momentum untuk kita berbuat demikian.
"Jadi mengikut penilaiannya, mungkin disebabkan perkara itu saya terdorong untuk mengumumkan pilihan raya mengejut... saya berasa pandangan itu agak melucukan," katanya pada sidang media pada Majlis Bersama Rakyat di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam blognya mengenai kemungkinan Najib akan membubarkan Parlimen lebih awal bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan sebelum mandat tamat.
Lim yakin Najib akan mengadakan pilihan raya umum lebih awal berikutan kajian yang mendapati tahap populariti kerajaan pimpinannya mencapai tahap 65 peratus.
Lim juga tidak menolak kemungkinan sokongan rakyat terhadap kepemimpinan Najib meningkat kepada 80 hingga 85 peratus dalam tempoh dua bulan lagi.
Najib ketika ditanya sama ada pandangan pemimpin pembangkang itu adalah perangkap berkata, perkara itu tidak menjadi masalah kerana beliau tidak akan membuat keputusan dengan terburu-buru.
(Berita ini dari Berita Harian Online, 14 Juloai 2009)
*** ***
Sistem kupon beli beras ST15
PUTRAJAYA 13 Julai – Sistem kupon mungkin diperkenalkan oleh kerajaan untuk membolehkan golongan berpendapatan rendah membeli beras jenis ST15.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar berkata, kaedah itu bertujuan mengelakkan peruncit dan pendatang asing tanpa izin (PATI) membeli beras tersebut sehingga menyebabkan kekurangan bekalan di pasaran.
Menurutnya, kerajaan memberi insentif RM750 kepada pengilang bagi setiap satu tan metrik beras ST15 yang dikeluarkan.
Pada masa sama, kata beliau, kerajaan juga terpaksa membayar subsidi hampir RM30 juta setiap bulan kerana pengeluaran beras 15 peratus hancur itu mencecah 40,000 tan metrik sebulan.
‘‘Ini bermakna sehari lebih RM1 juta subsidi diberikan oleh kerajaan untuk beras ST15 tetapi ramai yang mengeluh tidak memperoleh beras itu kerana PATI dan pengusaha restoran pun beli.
‘‘Justeru, melalui sistem kupon yang mungkin diperkenalkan September ini, kita harap bantuan subsidi ini benar-benar sampai kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pelaburan Pertanian Untuk Usahawan dan Syarikat Swasta 2009 anjuran Jabatan Pertanian Persekutuan dan Biro Pertanian dan Industri Asas Tani, Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.
Pelaksanaan sistem kupon yang bakal diperkenalkan itu mengambil contoh amalan di Indonesia apabila lebih lapan juta rakyatnya menikmati beras murah daripada subsidi kerajaan.
Noh berkata, melalui sistem tersebut, beliau berharap taktik pemborong yang melakukan perbuatan ‘tukar baju’ atau membungkus semula beras hancur ST15 kepada ST5 dan ST10 untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda dapat dikekang.
‘‘Kita sedang buat kajian macam mana hendak sampaikan kupon ini kepada kumpulan sasar sejajar dengan matlamat rakyat didahulukan,” katanya.
Menurutnya, kementerian akan bekerjasama dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mendapatkan senarai nama penerima melalui rangkaian e-Kasih.
(Berita ini dari Utusan Online, 14 Julai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment