BERITA

Kerjasama bantu kemajuan anggota NAM: Najib

MALAYSIA semalam mencadangkan supaya Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) meningkatkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai sektor ekonomi bagi membolehkannya terus maju dalam persekitaran global yang tidak menentu ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dalam menghadapi krisis ekonomi global yang mencabar, negara anggota NAM perlu bergabung sumber dan tenaga untuk memastikan daya saing dan rakyatnya tidak terjejas.

"Ketika pasaran di negara maju kini semakin mengecil kerana kebanyakan pengguna enggan berbelanja, kita boleh cuba meneroka cara dan kaedah memperkukuh kerjasama ekonomi sesama sendiri.

"Di kalangan kita, ada negara mempunyai potensi besar, dianggotai banyak negara yang kaya dengan pelbagai sumber serta kemahiran untuk manfaat bersama," katanya berucap pada Sidang Kemuncak NAM ke-15 di sini, semalam.

Najib tiba di sini kelmarin bagi menghadiri sidang itu dengan diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil.

Perdana Menteri berkata, sejajar tema sidang kemuncak kali ini iaitu 'Kesepakatan Antarabangsa Ke Arah Pembangunan dan Keamanan', NAM perlu maju setapak lagi ke depan dengan mencari peluang yang memberi manfaat bersama.

"Kita perlu bersama mengambil peluang sebagai satu pasukan. Persekitaran mencabar memerlukan kesepakatan bukan saja di kalangan kita negara anggota NAM, malah juga masyarakat sejagat," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, krisis ekonomi global yang membongkar kelemahan dalam tata cara sistem kewangan dunia juga sebenarnya mengetengahkan hakikat bahawa sektor perkhidmatan kewangan Islam boleh menjadi penyelesaian yang baik.

"Sehubungan itu, sebagai pelopor industri perkhidmatan kewangan Islam, Malaysia mencadangkan masyarakat antarabangsa menimbangkan dengan serius kemungkinan menjadikannya sebagai asas rangka kerja dan kawal selia kewangan global," katanya.

Mengenai masa depan NAM sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan kepentingan negara anggotanya, beliau berkata, badan itu perlu sentiasa bersedia membuat perubahan bagi menyesuaikannya dengan cabaran baru.

Sementara itu, pada sidang media dengan wartawan Malaysia, Najib berkata, Kuala Lumpur berpendirian NAM perlu membuat perubahan sistematik bagi mengelak terlalu terikat dengan dasar lapuk yang tidak sesuai.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online 16 Julai, 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment