Mahoharan minta maaf isu songkok
Ahli Dewan Undangan Negeri DAP kawasan Kota Alam Shah,Selangor yang mahu tunjuk jaguh menuntut status bumiputra baru nak pakai songkok telah memohon maaf menerusi sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican Rabu.
''Saya sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa niat terselindung dan ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa menyoal hak-hak orang Melayu seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan”katanya dalam surat berkenaan yang diserahkan di Ibupejabat GPMS di Sentul,Kuala Lumpur.
GPMS telah membuat laporan polis ekoran kenyataan yuang dibuatnya di luar Dewan Undangan Negeri Selangor pada 8 Julai- 15/7/2009
*** ***
Songkok: Kenapa Manoharan begitu berani?
Sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Kota Alam Shah , Selangor M. Mahoharan terhadap amalan rasmi memakai songkok di sidang Dewan Undangan Negeri tidak boleh dipandang sebagai satu isu sepintas lalu.
Agendadaily mendapat tahu ramai yang merasa keceluparannya membuat kenyataan kepada para wartawan Rabu bertapa kurang senangnya mengenai songok yang dipakai oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chang Khim juga dari DAP semasa menjalankan tugasnya pada persidangan itu - sudah melangkau batas keterlaluan.
Apa yang mahu ditunjuk dan mesej yang hendak disampaikan oleh aktivis Hindraf yang dibebaskan oleh ISA Mei lalu itu? Ini yang menjadi persoalannya bilamana beliau secara terang-terang memberi syarat bagi dulu status bumiputra kepada bukan Melayu di negara ini baru dia mahu pakai songkok.
Ingat kes ADUN DAP kawasan Bentayan,Johor , Gwee Tong Hiang yang diarah oleh Speaker Datuk Mohamad Ali Hassan meninggalkan dewan kerana tidak memakai pakaian seragam rasmi termasuk songkok pada majlis perasmian pembukaan DUN Johor pada tahun lalu sejurus sebelum Sultan Johor masuk.
" Di sini kelmarin, ada yang tunjuk jaguh tak nak pakai baju . Kalau nak,keluar dari sini sekarang," titah baginda yang murka menyentuh mengenai insiden berkenaan.
Manoharan mungkin merasa selamat beliau bercakap mengenai hal itu di Selangor yang dikuasai pakatan pembangkang.
Juga mungkin Manoharan merasa beliau selamat untuk kata apa saja kerana beranggapan undi kaum India selepas tsunami Mac 2008 kini sangat-sangat berharga hingga semua orang sanggup ‘ jual’ apa jua bagi merebutnya.
Segala hal melibatkan kaum India tiba-tiba telah menjadi isu besar termasuk Kampong Buah Pala di Pulau Pinang selepas pilihanraya 2008 seolah-olah orang Melayu di negara ini tidak ada masalah langsung.
Kalau tidak mana mungkin Hindraf berani gertak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng nak tarik balik sokongan kaum India pada DAP jika tidak dapat selesaikan masalah 23 keluarga India di kampong itu.
Dari sudut politik semua orang boleh baca apa yang tersirat disebaliknya bila Guan Eng cuba ‘ cuci tangan’ nak tolak bala yang sedang beliau hadapi itu kepada kerajaan pusat.
Manoharan dan rakan-rakannya mungkin boleh ketawa riang ria melihat gelagat semua orang jadi kelamkabut nak selesai isu yang dibawa oleh mereka.
Gambaran yang cuba diberikan oleh Hindraf dan mereka yang sewaktu dengannya seolah kaum India selurunya di negara ini hidup merempat,tertekan,dipijak dan merana setiap saat jauh lebih teruk dari rejim junta tentera Myanmar.
Bagi Exco Pemuda UMNO Malaysia , Lokman Nor Adam tindak tanduk Manoharan adalah serius dan telah mengguris perasaan orang Melayu
Katanya ADUN DAP itu harus memohon maaf secara terbuka di atas kebiadaban dan sikap keterlaluan itu.
‘‘Kami Pemuda UMNO memandang serius dan menolak sekeras-kerasnya sebarang tuntutan bersentimen perkauman dan melampau yang dibuat oleh Manoharan atau mana-mana pihak yang lain.
Beliau berpendapat keengganan Manoharan memakai songkok dan berbaju kebangsaan menunjukkan beliau sudah lupa sejarah dan asal kewarganegaraannya.
Katanya, tuntutan supaya status bumiputera diberikan kepada semua kaum terlebih dahlu sebelum mengenakan pakaian itu bukan sahaja bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial malah menghina semua orang Melayu khususnya di kawasan beliau.
Lokman berkata, tindakan sedemikian bukannya baru kerana itulah pendekatan pembangkang dengan menuduh UMNO dan Barisan Nasional (BN) memainkan isu-isu perkauman sedangkan merekalah yang sering membangkitkan tuntutan sedemikian.
Rakan sejawatnya Megat Zulkarnain Omardin yang turut kesal mengingatkan kesabaran orang Melayu ada hadnya.
Beliau berkata, orang Manoharan itu tidak harus dibiarkan kerana tindakannya terus mempertikaikan status bumiputera dan sengaja mencetus kontroversi pada persidangan DUN Selangor kelmarin boleh mengundang kemarahan masyarakat Melayu.
"Manoharan cuba bermain api kerana sengaja menyentuh hak keistimewaan golongan bumiputera yang selama ini dipelihara Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Apa yang menjadi tandatanya besar sekarang bagaimana pendirian PAS dan orang-orang Melayu dalam PKR sendiri terhadap tindak tanduk seumpama ini.
Ada andian yang mengatakan mereka ini semua semakin berani membuat kenyataan-kenyatan yang tidak pernah didengar dulu kerana ‘ diberi muka’ oleh Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang bergelut dengan cita-cita besar nak jadi Perdana Menteri.
Golongan Erdogan dalam PAS yang diketahui tidak akan berani langgar cakapnya juga main lagu senada dan seirama dengannya juga dikatakan tidak berani berbunyi kerana takut hilang sokongan bukan Melayu.
Sebab itu bagi mereka PAS tidak harus bercakap langsung dengan UMNO soal perpaduan.
Bukan rahsia lagi muslihat politik yang tersirat ialah perpaduan Melayu akan menghancurkan keutuhan pakatan pembangkang yang sekaligus punahkan impian Anwar nak ke Putrajaya yang dirasa sudah terlalu hampir.
Soalnya sekarang dimana orang Melayu nak bersandar dalam menghadapi gelagat ala-Manoharan dan mereka yang sewaktu dengannya?-12/7/2009
*** ***
Syarat nak pakai songkok…
Baru melangkah masuk hari pertama ke sidang Dewan Undangan Negeri Selangor selepas dibebaskan dari ISA Mei lalu,ADUN DAP Kota Alam Shah M.Manoharan yang juga aktivis Hindraf sudah mahu tunjuk belang dengan mempersoalkan pemakaian songkok.
Katanya beliau kurang senang melihat Speaker Dewan Negeri Teng Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) memakai songkok semasa menjalankan tugasnya pada persidangan itu.
"Saya tengok Tuan Speaker memakai songkok. Saya tidak bersetuju .. kita berjuang atas prinsip bahawa kita tidak akan memakai songkok kerana tidak diiktiraf sebagai Bumiputera," katanya kepada para wartawan.
Manoharan berkata jika bukan Melayu diberikan status Bumiputera, beliau akan menjadi orang pertama memakai songkok dan Baju Melayu kerana ia bukan pakaian keagamaan tetapi pakaian kebangsaan.
Katanya semua rakyat Malaysia perlu berbangga memakai pakaian kebangsaan tetapi buat masa sekarang bukan Melayu tidak berasa bangga untuk memakainya kerana mereka tidak dilayan sebagai Bumiputera.
"Saya tidak akan gunakannya sehingga saya diberi status Bumiputera," katanya.
Katanya status Bumiputera perlu diberi kepada bukan Melayu yang lahir selepas Malaysia mencapai kemerdekaan.-8/7/2009
(Berita ini dari Agenda Daily, 8, 12, 15 Julai 2009)
ARTIKEL
Analisis Manek Urai: PAS menang tipis walau diasak hebat
Wan Nik Yusof Ngah
Kemenangan akhirnya berpihak kepada PAS dan Pakatan Rakyat. Umno yang mewakili Barisan Nasional terpaksa mengiktiraf kuasa rakyat Manek Urai.
Keputusan awal pada 6.30 petang 14 Julai lepas, memberi jawapan penuh kebenaran bagi rakyat Manek Urai sama ada jelas menerima atau menolak janji-janji BN atau menerima hakikat tindakan kerajaan BN yang menggelapkan wang royalti minyak untuk Kelantan.
Maknanya, rakyat Manek Urai masih menaruh harapan kepada PAS untuk menunaikan hak dan kepentingan mereka. Isu royalti minyak adalah terlalu singkat ia dibangkitkan. Banyak rakyat yang masih tidak memahaminya. Ada yang menganggapkan sebagai mainan PAS kerana kononnya terdesak.
Walaupun begitu, kemenangan tipis 65 undi adalah suatu realiti yang membuktikan PAS diasak kuat oleh BN dan agensi kerajaan Pusat serta kapasiti Timbalan Perdana Menteri yang hadir mengetuai jentera kempen bukan atas sifat Timbalan Presiden Umno.
Kesungguhan pemimpin BN untuk menang sanggup menyalahgunakan kuasa dan ruang demokrasi sehingga tawaran jambatan dan pembangunan Manek Urai sebagai pusat agropolitan adalah isu bernilai tinggi dapat memukau perggantungan pengundi atas pagar kepada BN.
Ia suatu cetusan masa depan yang bunyinya retorik tetapi itulah impian pengundi yang berstatus atas pagar. Cetusan itu tidak dapat diimbangi oleh PAS, meskipun PAS adalah mewakili kerajaan Pakatan Rakyat di sebuah negeri yang terpinggir sejak sekian lama.
Begitu juga sedikit sebanyak permasalahan semasa rakyat Manek Urai nampaknya belum selesai dan agak rumit diselesaikan. Permasalahan hidup itu ada kaitannya dengan kepayahan hidup mereka sekian lama.
Ia berkaitan dengan isu tanah, air, jalan, input pertanian dan jaminan mengatasi beban kemiskinan. Kesemuanya hanya dilihat secara spesifik setelah berlaku pilihan raya kecil. Mana mungkin ia dapat diselesaikan kesemuanya.
Apa yang ketara, kesemua permasalahan kepayahan rakyat Manek Urai telah dijadikan modal bagi kempen BN untuk merendah-rendah jasa dan bakti PAS yang telah memerintah Kelantan hampir 20 tahun. Jelingan isu-isu tersebut telah memukau pemikiran logik mereka yang sedia berdepan dengan permasalahan tersebut.
Selain itu, ia turut menyentuh jiwa dan pengharapan masa depan golongan pengundi muda. Justeru itu, sebahagian pengundi muda telah beralih sikap kepada BN. Ia mungkin disokong dengan keyakinan terhadap calon PAS berbanding calon BN yang mewakili kumpulan muda atas faktor jawatannya sebagai ketua pemuda bahagian. Meskipun, asas nilai 'kepemudaan' boleh dianggap jurang antara dua calon, jentera PAS dilihat lebih memahami.
Oleh kerana itu, didapati banyak aktiviti kempen PAS banyak terkhusus kepada golongan muda. Tetapi ia belum memadai untuk menampilkan imej calon PAS sebagai tokoh sebenar mewakili golongan muda. Sedangkan pengundi muda di Manek Urai agak besar iaitu melebih 47 peratus.
Atas kekuatan itu, pengundi muda agak rapat dengan kempen BN.
Walau apapun, kemenangan tipis PAS turut disempurnakan oleh kesediaan pengundi PAS yang berada di luar Manek Urai sanggup balik mengundi, meskipun berdepan dengan masalah cuti dan beban kewangan ketika ekonomi mendesak sekarang. Sumbangan pengundi dari luar cukup besar, jika tidak PAS pastinya kalah besar.
Menyedari hakikat inilah, taktik PAS pada saat akhir adalah bermain taktik psikologi dengan meyebar luas peluang kemenangan besar berpihak kepada PAS. Menyebabkan jentera BN kalut dan kucar-kacir.
Tambahan pula tersebar cepat berita kepulangan awal (pada jam 3.30 petang) Muhyidin Yasin ke Kuala Lumpur. Turut menyakinkan sebahagian pengundi betapa BN sudah kalah besar, kerana pemimpin besar telah mundur lebih awal.
Inilah nilai kemenangan tipis PAS yang nostalgik kepada PAS dan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku peneraju rakyat Kelantan sekarang.
Semoga Tuhan Yang Esa, memberi kemenangan tipis ini bakal membuahkan nilai-nilai koreksi ikhlas semua peringkat parti dan kerajaan negeri di dalam mengolah tanggungjawab dan amanah kepada rakyat Kelantan, khususnya di Manek Urai. Amin. -azm
(Penulis adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat)_
(Artikel ini diambil dari Harakan Daily,16 Julai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment