Pertimbangan adil untuk faedah semua kaum: Najib
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, pembaharuan yang dilakukan kerajaan dalam tempoh 100 hari beliau menjadi Perdana Menteri, tidak sesekali meminggirkan mana-mana kaum termasuk Bumiputera kerana ia adalah kerajaan rakyat.
Najib memberi jaminan yang kerajaan akan memberi pertimbangan yang adil dalam membentuk sebarang dasar supaya semua kaum menikmati faedahnya.
"Ucapan saya di Invest Malaysia baru-baru ini, saya nyatakan dasar mikro untuk mencapai sebuah masyarakat yang adil, saksama... maknanya Bumiputera terus terbela, tidak diketepikan, matlamat asal diperjuangkan, apa yang berbeza adalah kaedah atau jalan ke arah mencapai matlamat itu.
"Itu perubahan bersesuaian yang lebih tepat dengan keadaan semasa... bukan ketepikan matlamat yang menjadi impian Bumiputera," katanya dalam temu bual khas di RTM bertajuk '100 hari Perdana Menteri', yang disiar secara langsung, malam tadi.
Temu bual yang diacarakan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar selama sejam itu bermula jam 8.30 malam, memberi fokus kepada pencapaian dan hala tuju kerajaan selepas ini.
Najib memberi contoh yang Bumiputera banyak menjual saham, walaupun diberi bantuan oleh kerajaan dan kini hanya tinggal sedikit saham milik mereka.
"Jika kita meneruskan dasar yang ada, kita tidak akan mencapai matlamat Bumiputera menguasai 30 peratus. Kita kini menggunakan pendekatan membantu syarikat Bumiputera yang ada kemampuan berasaskan meritokrasi, yang ada potensi untuk menjadi syarikat lebih besar pada peringkat tempatan dan global. Bukannya yang terima saham dan terus jual," katanya.
Ketika ditanya mengenai slogan 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', sama ada sebelum ini terdapat rakyat dipinggirkan, Najib berkata, mungkin ada rakyat yang tidak dibantu kerajaan.
"Mungkin ada rakyat yang terpinggir dari segi pertimbangan kerajaan, ketidakadilan. Kerajaan hari ini adalah untuk semua, adil untuk semua dan ketepatan konsep 1Malaysia," katanya.
Najib juga tidak menganggap pembaharuan yang dilakukannya dalam tempoh 100 hari sebagai Perdana Menteri, terlalu pantas kerana Malaysia perlu melakukan transformasi besar dalam perjalanannya sebagai negara maju.
Beliau berkata, dasar liberalisasi yang diumumkan baru-baru ini adalah satu pendekatan yang selari dengan dasar yang diputuskan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (Afta).
"Liberalisasi perkhidmatan mesti ikut rentak Asean, kedudukan Malaysia lebih tertutup berbanding negara Asean lain. Ini keadaan yang sukar diterima, tamparan pada imej Malaysia. Sudah sampai masanya kita membuka sub sektor tapi ada yang kita tidak buka dan kita mengawalnya dengan lebih ketat.
"Kerajaan meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) membantu pengusaha Bumiputera untuk bersaing dengan sektor perkhidmatan. Juga mencari formula bagi mengimbangi Bumiputera dan bukan Bumiputera," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian online,13 Julai 2009)
*** ***
Islam jamin keadilan untuk bukan Islam
Harakahdaily
MARANG, 12 Julai (Hrkh) - Islam tetap akan memberi jaminan keadilan hak terhadap orang bukan Islam sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata hak orang bukan Islam di negara ini tetap dijamin dengan adil.
Oleh itu, katanya masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang dalam urusan kebebasan hak kehidupan, perkahwinan dan makanan.
"Kita (PAS) jamin boleh selesai kerana hak orang bukan Islam tetap dijamin dengan adil dalam keadaan kita memelihara masyarakat sekeliling.
"Apa lagi dalam suasana negara dilanda penyakit H1N1 pada hari ini dan itu perlu dipandang dengan serius.
"Kita tidak boleh haram (makan babi) walau itu membawa penyakit tetapi itu hak orang bukan Islam yang mesti kita beri kepada mereka," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Majlis Bandaraya Alor Star (MBAS) merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, Alor Star, Kedah.
Ustaz Abdul Hadi berkata hak orang bukan Islam dijamin oleh al-Quran dan Hadis dalam masalah kehidupan, perkahwinan dan makanan mereka.
"Dijamin oleh al-Quran, dijamin oleh Hadis Nabi s.a.w. supaya hak orang bukan Islam dalam masalah kehidupan mereka, perkahwinan mereka, makanan mereka hendaklah diberi kebebasan dengan kawalan-kawalan yang manasabah.
"Kita (PAS) serah kepada Kerajaan Negeri Kedah untuk melaksanakan kawalan yang munasabah dengan tidak menafikan hak orang bukan Islam," ujarnya ketika ditemui di rumahnya, baru-baru ini.
(Berita ini dari Harakah Daily, 13 Julai 2009)
*** ***
Wacana Pemuda UMNO, Pas tetap diadakan
KUALA KRAI – Dewan Pemuda Pas menyambut baik cadangan Pemuda UMNO untuk mengadakan satu forum berbentuk wacana bagi menjelaskan isu-isu semasa membabitkan Islam, hala tuju bangsa Melayu dan isu-isu berkaitan.
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata, Pemuda Pas sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dengan semua pihak, termasuk UMNO kerana ia baik untuk membudayakan sifat intelektual dan mencari kebenaran.
“Kita tetap akan adakan satu forum berbentuk wacana dengan Pemuda UMNO, bukan setakat sekali sahaja tetapi kita akan adakan banyak lagi wacana sedemikian selepas itu termasuklah dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain berdasarkan hujah dan ilmu,” katanya pada sidang media di Sekolah Menengah Rahmadiah di sini, semalam.
Ditanya jika Pemuda UMNO menarik balik penyertaan pada saat akhir, Nasrudin berkata, jika ia berlaku jelas membuktikan Pemuda UMNO berada di pihak ‘salah’ dan Pemuda Pas di pihak yang ‘benar’.
“Kenapa gerun berhujah sekiranya mereka berjuang di jalan yang sebenar? Kita ada asas kukuh untuk berbicara dengan mereka dengan tajuk ‘Benarkah Perjuangan UMNO Mengikut Syariah Islam?’”, katanya.
Mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mempelawa Pas untuk menyertai BN, Nasrudin menyifatkannya sebagai ‘lucu dan menjelikkan’.
“Dari kenyataan Khairy yang saya baca dari Sinar Harian mengatakan Pas tersisih dalam Pakatan Rakyat (PR), perkara sebenarnya berlaku adalah Khairy yang disisihkan UMNO.
“Sepatutnya Ketua Pemuda UMNO diberi jawatan Menteri atau sekurang-kurangnya Timbalan Menteri, tetapi Khairy tidak diberikan sebarang jawatan, jadi beliaulah sebenarnya disisihkan UMNO, bukannya Pas dalam PR,” katanya.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian online,13 Juai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment