PAS akan lakukan post-mortem - Dato' Halim
Mohd Nor Yahya
KUALA KRAI, 14 Julai (Hrkh) - PAS akan membuat post mortem dalam masa terdekat ekoran kemerosotan ketara undi diperolehi pada pilihan raya kecil Dun Manek Urai hari ini.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato� Abdul Halim Abdul Rahman berkata, beberapa faktor antaranya janji untuk menyediakan jambatan baru di Manek Urai dan sogokan wang boleh mempengaruhi sikap pengundi luar.
"Namun saya ingin sampaikan tahniah kepada kebijaksanaan penduduk Manek Urai yang berjaya mempertahankan kerusi tersebut," kata beliau ketika ditemui selepas pengisytiharan kemenangan Mohd Fauzi Abdullah di Dewan Sekolah Sultan Yahya Petra.
Menurutnya janji yang ditaburkan Umno pada saat-saat akhir belum mampu memikat keseluruhan pengundi di Manek Urai.
Beliau juga berkata kemenangan tipis bukan satu persoalan memandangkan ia pernah berlaku di Pulai Chondong pada pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini.
"Ia juga ada kaitan dengan sikap SPR yang mengadakan pengundian pada hari kerja dan kepulangan pengundi luar walaupun ramai namun ada yang terpengaruh dengan janji dan sogokan wang," katanya.
Anggota jawatankuasa PAS Pusat, Dr Dzulkifli Ahmad berkata, terlalu banyak janji yang ditabur Umno di Manek Urai, namun kesetiaan kepada konsep Membangun Bersama Islam tetap dipertahankan.
Beliau yang juga anggota Parlimen Kuala Selangor berkata, PAS berdepan dengan seluruh jentera kerajaan.
(Berita ini dari Harakan Daily, 15 Julai 2009)
*** ***
Anak lelaki pengarah JSJK maut dalam kebakaran di rumahnya
KUALA LUMPUR - Anak lelaki Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun maut setelah terperangkap dalam kebakaran di kondominium milik pegawai kanan polis itu di Mont Kiara pagi ini.
Mayat Koh Keat Lee, 22, ditemui di balkoni unit kondominium tingkat 32, Mont Kiara Bayu Kondominium di Jalan Kiara 2, dalam keadaan melecur seluruh badan.
Kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi dan punca masih lagi dalam siasatan.
Ketika kejadian, bapa mangsa tidak berada di kediaman tersebut kerana sedang bertugas.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar yang berada di tempat kejadian mengesahkan mangsa yang terkorban itu adalah anak lelaki Koh selain merakamkan ucapan takziah kepada Koh.
“Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat,” katanya.
Enam jentera bomba iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul, Hang Tuah dan Segambut berada di lokasi bagi memadamkan kebakaran.
Menurut seorang saksi yang enggan dikenali berkata, beliau melihat seorang lelaki berdiri di balkoni di tingkat 32 itu sambil menjerit meminta tolong.
“Saya dengar dia jerit minta tolong setelah terperangkap di dalam rumah itu,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau yang tinggal di blok berhadapan dengan blok rumah mangsa kemudiannya turun, untuk memaklumkan tentang kejadian itu serta mendapatkan bantuan dari pihak keselamatan kondomonium tersebut.
Seorang lagi saksi, wanita Thailand berusia dalam lingkungan 20-an berkata, beliau terdengar bunyi letupan yang kuat dari atas rumah majikannya.
Dia yang baru 10 hari bekerja sebagai pembantu rumah, tinggal di tingkat 29 daripada 40 tingkat bangunan tersebut.
Katanya, sebaik melihat api dan asap beliau terus keluar dan menyelamatkan diri.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian - BERNAMA, 15 Julai 2009).
*** ***
RM61j disedia bagi bayar diskaun mulai Oktober
IPOH: Kira-kira 85,000 pengguna lebuh raya kelas satu atau kereta yang membayar tol 80 kali atau lebih sebulan dengan menggunakan Touch n' Go dan Smart Tag, layak menuntut rebat 20 peratus, mulai Oktober depan.
Menteri Kerjaraya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata kerajaan dijangka memperuntukkan RM61 juta bagi pembayaran rebat berkenaan dalam tempoh setahun.
Beliau berkata, pemberian rebat 20 peratus itu berkuat kuasa 1 September dan mulai 1 Oktober ini pengguna yang layak boleh menebusnya di 136 kaunter pusat jualan kad berkenaan di lebuh raya terpilih.
"Pengguna dibenarkan membuat tuntutan bagi tempoh tiga bulan sekali atau sebagainya kerana rebat berkenaan sah sehingga tempoh enam bulan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Laluan Terus Tanpa Henti Kuala Lumpur-Pulau Pinang di Plaza Tol Ipoh Selatan di sini, semalam.
Pemberian rebat itu adalah antara 11 hadiah mesra rakyat yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu lalu, sempena sambutan 100 hari sebagai Perdana Menteri.
Langkah berkenaan bertujuan mengurangkan beban rakyat yang terpaksa membayar tol yang tinggi setiap hari.
Difahamkan, jumlah pengguna dan peruntukan untuk subsidi program berkenaan dijangka bertambah apabila lebih ramai pengguna menggunakan Touch n' Go dan Smart Tag.
Shaziman berkata, pembayaran diskaun itu akan dibuat dalam bentuk nilai-tambah Touch n' Go atau Smart Tag yang dikredit ke dalam kad berkenaan.
"Tempoh sebulan dikira mengikut kalendar bulanan dan pembayaran rebat tidak dilakukan melalui tunai, sebaliknya dibayar dalam bentuk diskaun nilai-tambah kad," katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, pemberian rebat tol itu hanya sementara sehingga kajian menyeluruh mengenai keberkesanan program berkenaan disiapkan oleh pelbagai agensi termasuk Unit Perancang Ekonomi (EPU).
"Program ini dijalankan sebagai tanda keprihatinan kepemimpinan negara, Datuk Seri Najib bagi membantu mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan lebuh raya," katanya.
Shaziman berkata, pemberian rebat itu merangkumi penggunaan semua lebuh raya dan kerajaan akan memperkenal lebih banyak program pada masa depan untuk keselesaan rakyat seiring dengan konsep 1Malaysia, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan'.
Mengenai laluan terus Kuala Lumpur-Pulau Pinang, beliau berkata, ia akan menjadikan lalu lintas di kawasan berkenaan lebih lancar, sekali gus mengurangkan kemalangan.
Menerusi laluan itu, pengguna tidak perlu lagi membayar tol di Plaza Tol Ipoh Selatan dan Ipoh Utara untuk mengambil tiket transit dan boleh meneruskan perjalanan masing-masing tanpa banyak gangguan.
Laluan itu juga akan mengasingkan pengguna lebuh raya tempatan yang dianggarkan sebanyak 26,000 kenderaan sehari.
(Berita ini diambil dri Berita Harian online, 15 Julai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment