'PM pertama cermat, berpandangan jauh'
"ALMARHUM Tunku Abdul Rahman seorang yang jujur, cermat dan berpandangan jauh. Ia terbukti dengan penemuan 46 objek dalam peti besi yang menunjukkan Tunku cukup menghargai pemberian orang dan menyimpannya dengan baik supaya ia boleh dilihat oleh generasi akan datang.
"Mungkin orang lain akan terus menggunakan jam tangan bernilai RM50,000 yang diterima. Apatah lagi, bagi tanggapan kami, membabitkan jam tangan dilengkapi ciri kompas pertama dicipta pada zaman itu. Sudah pasti ia sesuatu yang membanggakan memakai jam seperti itu. Namun, bagi Tunku, cenderamata adalah cenderamata yang perlu dijaga dan dihargai, bukan digunakan."
Inilah persepsi Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Sidek Jamil, mengenai peribadi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan mengaitkan penemuan 46 objek dalam peti besi yang sejak sekian lama disimpan rapi di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra.
"Bayangkan, apa jadi jika Tunku tak simpan semua cenderamata itu dalam peti besi. Pasti semuanya tidak mungkin masih kekal elok sehingga sekarang. Mungkin ada yang hilang atau terlepas ke tangan orang lain kerana Tunku sememangnya dikenali dengan sifat pemurah.
"Mungkin juga kerana menyedari perkara sedemikian, menyebabkan Tunku menyimpannya dengan rapi," katanya.
Sidek berkata, berdasarkan latar belakang atau maklumat ringkas mengenai 46 objek itu, beberapa gambaran atau persepsi lain mengenai Tunku dapat dibuat seperti hubungan baiknya dengan beberapa negara luar seperti Amerika Syarikat, Taiwan, Jepun dan Thailand.
"Ia juga menunjukkan kaedah popular perasmian sesuatu acara atau bangunan baru ketika zaman Tunku yang kebanyakannya menggunakan potongan riben dengan gunting dan gunting berkenaan dihadiahkan kepadanya."
"Ada juga objek yang ditemui mempunyai nilai sejarah tinggi apabila dikaitkan dengan bangunan yang dirasmikan. Ini seperti replika pengaut simen yang diterima Tunku sempena peletakan batu asas bangunan Hotel Regent pada 2 Oktober 1967. Bangunan itu kini bukan setakat sudah ditukar pengurusannya, malah ia turut dipindah ke lokasi lain," katanya.
Justeru, bagi menjadikan pameran objek dalam peti besi itu menjadi lebih menarik, Sidek berkata, Arkib Negara akan cuba mengaitkan objek itu dengan punca sebenar dan ia pastinya akan menimbulkan memori bermakna jika bangunan atau ada individu terbabit masih wujud.
----------------
Chua Jui Meng sertai PKR
PETALING JAYA: Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng, hari ini mengumumkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan keluar daripada MCA.
Chua yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau membuat keputusan itu tanpa syarat yang sepatutnya diberikan oleh PKR kepada beliau dan juga kerana wawasannya untuk pembaharuan adalah sama dengan wawasan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Wawasan saya untuk pembaharuan yang terkandung dalam manifestonya semasa pemilihan presiden MCA tahun lalu adalah sama dengan wawasan Anwar," katanya ketika membuat pengumuman itu pada persidangan akhbar selepas menghadiri Forum Awam PKR: "Kebenaran Di sebalik Skandal Perak, Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Konspirasi Barisan Nasional" di sini, hari ini.
(Dua berita ini diambil dari Berita Harian online,19 Julai 2009)
------------------
Indonesia tuduh militan dalang serangan dua hotel
JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia semalam menamakan militan warga Malaysia, Noordin Mat Top sebagai dalang serangan dua hotel ternama di sini, kelmarin, JW Marriott dan Ritz-Carlton yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan lebih 55 yang lain.
Ketua Anti Keganasan Kementerian Keselamatan Indonesia, Ansyaad Mbai, berkata ada petunjuk jelas menunjukkan Noordin menjadi dalang serangan itu kerana bom yang digunakan buatan sendiri dan taktik pengebom pula ialah dengan membunuh diri dalam serangan itu.
Katanya, pasukan keselamatan turut menemui bahan letupan yang digunakan dalam kejadian di Hotel Marriot dan Hotel Ritz-Carlton menyamai bahan letupan yang dirampas di Jawa Tengah, minggu lalu ketika menahan isteri Noordin, seorang warga tempatan.
"Penyiasat setakat ini menemui beberapa bom dan bahan membuat bom dalam bilik 1808 di Marriott yang dipercayai pusat operasi penyerang," katanya.
Pengebom bunuh diri itu dipercayai tinggal dalam bilik terbabit dan menyamar sebagai tetamu sebelum meletupkan beg bimbit mengandungi bom di bilik mesyuarat dan restoran yang penuh sesak di Marriott dan Ritz-Carlton.
Bom berkenaan dipenuhi paku, bebola besi, skru dan kancing bagi memaksimumkan kesan kemusnahan. Ia berjaya dibawa masuk dan terlepas meskipun kawalan keselamatan ketat seperti di lapangan terbang.
Sementara itu, pihak keselamatan Indonesia berkata, bom dirampas itu 'menyamai' bom yang digunakan sebelum ini dalam serangan Jemaah Islamiah (JI) dan yang ditemui dalam satu serbuan minggu lalu di sebuah sekolah asrama Islam di Jawa Tengah, sebahagian daripada usaha kerajaan memburu Noordin.
"Memang ada petunjuk jelas kumpulan Noordin menjadi dalang serangan kerana bom yang digunakan dan taktiknya adalah pengeboman bunuh diri," katanya.
Ia serangan keempat di Indonesia yang didakwa didalangi Noordin selepas pengeboman Hotel Marriott di sini pada 2003, diikuti serangan terhadap Kedutaan Australia pada 2004 dan di pusat peranginan di Bali pada 2005 yang mengorbankan lebih 40 orang.
Noordin adalah pakar membuat bom dan pemimpin kumpulan serpihan kumpulan JI yang turut dipersalahkan atas pengeboman kelab malam 2002 di Bali yang mengorbankan 202 orang, majoritinya warga Australia.
Ketua Polis Negara, Jeneral Bambang Hendarso Danuri menggesa hotel dan pusat beli belah di seluruh Indonesia yang mempunyai penduduk 234 juta orang, memperketat kawalan keselamatan berikutan pengeboman terbaru itu.
Seorang jurucakap tentera berkata, 500 askar bersiap sedia untuk dikerahkan di Jakarta bagi membantu polis mengawal keselamatan.
(Berita ini diambil dari Berita Harian - AFP,19 Julai 2009)
*** ***
Hak Melayu …Muhyiddin bagi jaminan
Segala hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan Negara akan terus dipertahankan selagi Umno berkuasa, kata Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Umno sedar tanggungjawabnya sebagai parti yang membela orang Melayu," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Padang Rengas dekat Kuala Kangsar Sabtu.
"Itulah perjuangan kita dahulu, sekarang dan insya-Allah pada masa-masa yang akan datang. Ini adalah perkara yang cukup penting yang kita tidak boleh abaikan," katanya.
Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata dakwaan pihak tertentu bahawa langkah kerajaan meliberalisasikan ekonomi bagi menarik pelaburan asing ke negara ini sebagai mengabai dan menjejaskan kedudukan orang Melayu adalah tanggapan salah yang perlu diperbetulkan.
Beliau berkata asas yang diperjuangkan oleh Umno selama ini tidak pernah berubah dan menegaskan parti itu tidak pernah lari dan tidak akan berganjak dari tanggungjawabnya membela orang Melayu dari segi ekonomi, politik, kebudayaan, pendidikan, sosial dan perkara-perkara yang telah termaktub dalam perlembagaan.
"Banyak pihak memutarbelitkan bahawa pimpinan hari ini tidak lagi hendak mempertahankan hak Melayu. Kita membuka ruang yang terlalu luas sehingga Bumiputera tidak mampu untuk berhadapan dengan persaingan.
"Selama mana Bumiputera harus memegang tongkat, selama mana Bumiputera hanya bergantung dengan sebab ada perlindungan daripada kerajaan dengan tidak ada usaha dibuat dengan kesungguhan untuk kita berdikari pada satu masa yang akan datang," katanya.
Sehubungan itu Muhyiddin berkata pendekatan pucuk pimpinan dalam soal ekonomi negara dan juga usaha untuk melindungi kepentingan Bumiputera itu harus difahami oleh para pemimpin dan juga anggota parti Umno sendiri.
Beliau berkata langkah liberalisasi ekonomi itu diambil selepas mengambilkira situasi ekonomi dunia yang kini begitu mencabar di mana Malaysia akan jauh ketinggalan sekiranya tidak mengubahsuai struktur ekonominya mengikut keadaan ekonomi semasa.
"Saya nak tegaskan kita tidak sekali-kali meninggalkan atau mengabaikan tanggungjawab kita...bahawa dasar dan semangat dasar ekonomi baru (DEB) itu masih terus pada hari ini kita pertahankan," katanya.
Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mercu di sini, Muhyiddin berkata inisiatif perubahan yang digariskan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk mendekati rakyat tidak akan berjaya jika para pemimpin di peringkat akar umbi gagal melaksanakan perkara yang sama.
Beliau berkata para pemimpin Umno di peringkat akar umbi perlu bertindak turun padang menemui rakyat jelata mulai sekarang supaya Umno tidak dilihat sebagai parti yang angkuh, sombong, tidak berpijak di bumi nyata dan dan hanya memikirkan kelompok dan puak sendiri tanpa mengambilkira kepentingan rakyat.(Berita ini dari Agenda Daily,19 Julai 2009)
-----------------------
Tubuh suruhanjaya diraja
Oleh SITI MARIAM MD. ZAIN dan
AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 18 Julai - Keputusan sama ada perlu diwujudkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat insiden kematian Teoh Beng Hock kelmarin akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet akan datang.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pandangan dari pelbagai pihak penting bagi menentukan sama ada penubuhan suruhanjaya itu wajar atau sebaliknya.
"Kita akan bincang dalam mesyuarat Kabinet akan datang. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berada di luar negara.
"Kita akan teliti pandangan daripada pelbagai pihak sama ada wajar, perlu atau sebaliknya. Ini akan diputuskan oleh Kabinet," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Hari Koperasi Negara di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Muhyiddin diminta mengulas desakan beberapa pihak yang mahu sebuah suruhanjaya diraja atau badan bebas diwujudkan bagi menyiasat kematian Beng Hock, 30, yang mayatnya ditemui di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam kelmarin.
Beng Hock yang dipanggil ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan salah seorang saksi untuk membantu siasatan berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri Selangor.
Sementara itu, mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan digantikan dengan perundangan baru, beliau berkata, usaha itu kini dalam penelitian pihak kerajaan.
"Sebenarnya, Perdana Menteri telah membuat kenyataan bahawa perkara ini akan diteliti, ISA akan dikaji, (usaha meneliti dan mengkaji) sedang pun dibuat.
"Tentu ada beberapa perkara akan dilakukan. Maknanya ia tidak akan kekal dalam status yang ada sekarang (tetapi) sama ada pengubahsuaian, penambahbaikan atau ditukar kepada akta yang lain, itu akan dikaji oleh sebuah jawatankuasa.
Ditanya adakah kemungkinan ISA dimansuhkan, jelas Muhyiddin: "Saya tak boleh hendak buat andaian, perkara ini pastinya akan dikaji dan diteliti terlebih dahulu."
(Berita ini diambil dari Utusan Online, 19 Julai 2009)
*** ***
Polis tidak tolak ada unsur jenayah
KUALA LANGAT - Keputusan awal laporan bedah siasat yang dijalankan terhadap mayat Teoh Beng Hock mendapati dia mati disebabkan pelbagai kecederaan akibat terjatuh dari paras tinggi, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar.
Khalid bagaimanapun berkata, polis belum menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah dalam kematian Beng Hock, 30, yang juga Setiausaha Politik Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Beliau berkata, dua ahli patologi, masing-masing seorang dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Pusat Perubatan Universiti Malaya mengendalikan bedah siasat mayat Beng Hock, dan menjelaskan bahawa Kerajaan Selangor diberi pilihan untuk mendapatkan ahli patologinya sendiri tetapi tiada yang datang.
“Laporan awal bedah siasat dari ahli patologi menunjukkan Beng Hock setakat ini tidak mengalami kecederaan luaran. Bagaimanapun, kami akan tunggu laporan penuh daripada ahli patologi terbabit beberapa hari lagi. Buat masa ini, kematian Beng Hock disebabkan ‘pelbagai kecederaan akibat jatuh dari paras yang tinggi’,” katanya.
Khalid berkata demikian kepada media selepas melancarkan program Polis Komuniti dan Rakan Cop anjuran bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dan Persatuan Jaksa Pendamai di sini, semalam.
Beng Hock, 30, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada kira-kira pukul 1.30 petang Khamis lepas setelah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mendiang adalah seorang saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan kerajaan negeri melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Selangor.
Khalid berkata, berdasarkan laporan awal bedah siasata itu, polis masih mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai kematian mengejut.
“Ini hanya penemuan awal kami dan polis menyiasat kes ini secara menyeluruh daripada semua sudut. Polis juga telah mengambil kenyataan dari 23 saksi termasuk 17 pegawai SPRM, tetapi tiada tangkapan dibuat," katanya.
Khalid berkata, polis turut menyiasat cara SPRM mengendalikan soal siasat dan turut mengambil rakaman kamera CCTV dari kawasan lif dan tempat letak kereta Plaza Masalam.
Beliau berkata, satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan akan mengendalikan siasatan kes kematian Beng Hock.
“Polis akan mengambil keterangan daripada rakan sekerja Beng Hock, keluarga dan kawan-kawannya,” katanya.
(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 19 Juai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment