BERITA


HUJAH PERGI JAHANAM UMNO 'WAJAR' - Nik Aziz

Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahir

KETEREH, 29 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menarik kenyataannya sebelum ini yang menyebut 'pergi jahanamlah dengan Umno' kerana ia dianggap wajar.

Menteri Besar Kelantan berkata, pemimpin Umno kelihatan kalut dengan kenyataan itu tanpa memikirkan tindakan pemimpin parti itu sendiri yang mencerminkan perkara tersebut.

"Umno langsung tidak pernah fikir ketika pemimpin parti itu memburukkan nama saya sebelum ini.

"Namun setelah pemimpin mereka ditegur sedikit riuh rendah jadinya," katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 215 mangsa ribut di Kampung Buloh Poh dan Kampung Lancang petang tadi.Image

Beberapa pemimpin Umno termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Dr Awang Adek Hussin sebelum ini dilaporkan kesal dengan kenyataan Mursyidul Am PAS berkaitan isu terbabit.

"Takkan saya mengeluarkan kenyataan yang agak keras tanpa sebarang sebab," ujarnya.

Beliau turut mempersoalkan kenyataan pemimpin Umno yang mendakwa seorang tok guru yang bergelar ulama tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Siapa ajar tok guru tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sedangkan Allah sendiri dalam al-Quran menyumpah manusia macam binatang.

"Ada juga ayat di mana Allah mengumpamakan manusia ini pekak, tuli, buta.

"Jadi sekiranya ada orang menghina kita, kita senyap tak berbuat apa-apa itu bukan merendah diri, tetapi menghina diri sendiri," tambahnya.


------------------

PERHIMPUNAN BUBAR DUN PERAK
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Sempena memperingati kemelut pencabulan demokrasi di Perak, Pemuda PAS Perak akan mengadakan satu program Himpunan Pemuda PAS Perak bertemakan '1 Hitam Perak-Bubarkan Dun Perak'.

Program tersebut akan diadakan pada 2 Ogos, jam 11 pagi sehingga 6 petang di Markas PAS Kawasan Bagan Serai.

Antara pimpinan yang bakal menyampaikan pidato pada sebelah siangnya adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Dato' Seri Ir Mohamed Nizar Jamaludin.

Kemudian, pada sesi malamnya, terdapat beberapa ceramah yang diadakan di zon-zon tertentu.

Di Zon 1 iaitu sekitar Larut, ceramah akan disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu; Penolong Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohammad; AJK DPPP, Adram Musa; Salman Saleh, Ustaz Nazri Din serta beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Manakala di Zon 2, Sungai Siput pula, barisan penceramahnya terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Azman Shapawi; Exco DPPP, Suhaizan Kaiat; Tengku Ahmad Al-Hiss serta Zairul Tambun selain beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi pula dijangka menyampaikan ceramah di Zon 3 yakni Lumut bersama exconya yang lain iaitu, Ustaz Kamal Shaari, Tan Sri Zawawi Hassan dan Ustaz Akmal As-Syriyun.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof bersama exconya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ustaz Mohd Nur Amin, Aminudin Lawyer dan ahli parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar di Zon 4 iaitu di Tanjung Malim selain beberapa exco pemuda PAS Perak.

Program ini adalah bertemakan pakaian hitam sebagai tanda era kegelapan pada sistem demokrasi di Perak.


(Dua berita ini diambil dari Harakah Daily, 30 Julai 2009)


**** ****

JANGAN SERTAI DEMONSTRASI BANTAH,

SOKONG ISA: Hishammuddin

KUALA TERENGGANU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi bagi membantah atau menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu ini.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan itu sejajar dengan matlamat KDN sendiri yang tidak mahu isu itu memberi kesan negatif terhadap keselamatan dan kepentingan negara.

"Jika mereka melanggar undang-undang sedia ada, tidak kira sama ada mereka pro-ISA atau anti-ISA, tindakan tegas akan tetap diambil.

"Saya tidak akan berkompromi mengenai perkara ini bagi memastikan keselamatan dan kepentingan negara sentiasa terjamin," katanya selepas menyampaikan cek sumbangan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat (1948-1962) di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Majlis Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pembelaan Negara (Magaran) yang memberi tempoh sehingga jam 5 petang ini kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membatalkan hasrat mengadakan demonstrasi untuk mendesak kerajaan memansuhkan ISA, Sabtu ini.

Sekiranya GMI gagal berbuat demikian, maka Magaran yang dianggotai 56 badan bukan kerajaan membabitkan lebih 100,000 penyokong akta berkenaan tidak teragak-agak untuk turut sama berarak ke Istana Negara, bagi menyatakan sokongan kepada pelaksanaan ISA.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi berkenaan.

"Saya juga sudah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman supaya memantau secara dekat perhimpunan itu," katanya.

Hishammuddin menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan demonstrasi itu kerana kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan untuk meneliti dan mengkaji ISA.

"Apa sebenarnya niat dan matlamat mereka untuk adakan perhimpunan itu... hanya untuk hura-hara dan menjejaskan keadaan? Saya rasa tidak sesuai dalam konteks apa yang kita umumkan selama ini (teliti dan kaji ISA)," katanya.


PERDANA MENTERI LAWAT KELANTAN SABTU INI

KOTA BHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan melawat Kelantan, Sabtu ini.

Perdana Menteri yang diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dijangka tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra jam 9.20 pagi, demikian menurut kenyataan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, hari ini.

Sebaik tiba, beliau dijadual merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kota Bharu di Dewan Putera, Kompleks Sekolah-Sekolah Wakaf Mek Zainab, di sini.

Selepas itu, Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Jamuan Rakyat di tempat yang sama.

Beliau dan isteri kemudiannya akan berlepas ke Kuantan.

(Dua berita ini diambil dari Berita Harian Online - Bernama, 30 Julai 2009)

**** ****

Al-QAEDA AKUI LETUP 2 HOTEL

JAKARTA 29 Julai - Sebuah kumpulan yang menggelarkan diri sebagai al-Qaeda Organisation in Indonesia atau Tandzim al-Qaeda Indonesia mengaku bertanggungjawab meletupkan bom di Hotel-hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada 17 Julai lalu.

Pengakuan itu disiarkan di laman web www.mediaislam-bushro.blogspot.com pada Ahad lalu tetapi hanya dikesan hari ini dan dilaporkan dalam media Indonesia.

Mesej dalam bahasa Indonesia dan Arab itu ditandatangani oleh 'Abu Muawwidz Nur Din bin Muhammad Top' dan memuji dua 'saudara mujahidin' yang meletupkan diri di kedua-dua hotel mewah tersebut di kawasan Mega Kuningan, tengah Jakarta.

Kenyataan itu menggambarkan serangan tersebut sebagai 'operasi syahid untuk jihad yang dilancarkan dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap tindakan Amerika serta ejen-ejennya ke atas umat Islam dan mujahidin di seluruh pelosok dunia'.

Mesej tersebut turut menyifatkan mangsa serangan sebagai 'konco-konco Amerika' dan 'pencuri dan perompak kekayaan umat Islam di negara ini'.

Mesej itu juga mahu serangan itu dijadikan pengajaran kepada umat Islam mengenai perkara kesetiaan dan permusuhan, khususnya dengan kedatangan kelab bola sepak Manchester United yang menginap di hotel tersebut.

''Para pemain itu terdiri daripada para salibis. Maka tidak pantas umat Islam memberi kesetiaan dan penghormatannya kepada musuh-musuh Allah ini,'' kata blog itu.

Jurucakap polis Indonesia, Sulistyo Ishak berkata, penyiasat masih mengkaji sama ada pengakuan tersebut sahih atau palsu.

"Kami akan mengesahkannya dengan pasukan penyiasat. Terpulang kepada mereka untuk memastikan sama ada serangan itu benar-benar dilancarkan oleh kumpulan ini," kata Sulistyo.

Penganalisis keganasan di Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG), Sidney Jones berkata, beliau tidak dapat memastikan sama ada dakwaan itu benar atau tidak, tetapi menjelaskan blog 'sering digunakan oleh beberapa kumpulan militan'.

Dua pengebom berani mati membunuh diri dan tujuh orang lain termasuk enam rakyat asing dalam dua letupan hampir serentak di hotel-hotel yang terletak bersebelahan itu.

Polis berkata, serangan itu menunjukkan tanda-tanda angkara ketua militan rakyat Malaysia, Nordin Mat Top.

Jones menganggap sebagai suatu yang menarik bahawa kali ini Nordin, jika benar dia yang membuat pengakuan itu, hanya mendakwa dia mengetuai al-Qaeda bagi Indonesia dan bukan seluruh Nusantara.

Nordin pernah berkata, dia mengetuai kumpulan yang dikenali sebagai al-Qaeda untuk Nusantara.

Dia disyaki mendalangi serangan bom di Indonesia pada 2003, 2004 dan 2005 yang membunuh sejumlah 42 orang dan mencederakan puluhan yang lain.

(Berita ini dari Utusan Online- AFP,30 Julai 2009)


DADAH RM10j: DATUK ANTARA DIREMAN

PULAU PINANG 29 Julai - Tujuh lelaki termasuk seorang bergelar Datuk direman bagi membantu siasatan penemuan pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM10 juta awal pagi semalam.

Kesemua suspek ditahan kira-kira pukul 12.45 pagi bersama dadah jenis ekstasi dan eramin 5 yang disembunyikan dalam kotak di sebuah gudang di Sungai Dua di sini.

Rampasan dadah itu dipercayai yang terbesar pernah dilakukan di Pulau Pinang.

Majistret Firdaus Abdul Wahab membenarkan mereka yang berumur di antara 24 dan 52 tahun itu ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 4 Ogos ini mengikut peruntukan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Kesemua mereka dibawa ke mahkamah kira-kira pukul 3.30 petang dengan dikawal beberapa anggota polis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan S. Batumalai ketika dihubungi mengesahkan kesemua tujuh lelaki itu telah direman tetapi enggan mengulas lanjut.

Difahamkan, dalam serbuan berkenaan, polis merampas sejuta biji dadah jenis ekstasi dan eramin 5.

''Kesemua dadah itu diletakkan dalam kotak dan disembunyikan di dalam kontena di gudang berkenaan.

''Turut dirampas sejumlah wang tunai dan sebuah kereta mewah. Dipercayai salah seorang lelaki yang ditahan juga bergelar Datuk,'' katanya.

(Berrita ini dari Utusan Online, 30 Julai 2009)


--------------


BEKAS IMAM MASJID NEGARA MENINGGALO DUNIA

KUALA LUMPUR- Bekas Imam Besar Masjid Negara Datuk Ahmad Shahrir Daud meninggal dunia semalam dan selamat dikebumikan di Kubang Kerian, Kota Baharu, Kelantan pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Aishah Alkharib Shah berkata allahyarham meninggal dunia pada pukul 5.30 petang semalam di Kubang Kerian akibat barah usus.

Ahmad Shahrir pernah menjadi Pegawai Agama Istana Negara, telah bertugas sebagai Imam Besar Masjid Negara dari 1975 hingga 1980 dan dari 1984 hingga 1992. Allahyarham adalah juga bekas pegawai kanan Jakim.

"Seluruh warga Jakim mengucapkan takziah kepada anggota keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat," kata Aishah.

(Berita ini daimbil dari Sinar Harian Online -- BERNAMA, 30 Julai 2009)






No response to “BERITA”

Post a Comment