PM umum perincian cegah jenayah dalam KRA 27 Jun ini
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan perincian usaha mencegah dan membasmi jenayah pada Isnin depan yang menjadi Bidang Keberhasilan Utama (KRA) kepada kerajaan.
Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika berucap merasmikan Inisiatif Bandar Selamat Ara Damansara di sini, pagi ini.
Hishammudddin berkata, sehingga ini, polis sudah mengenal pasti kawasan panas dan jenis jenayah yang perlu ditangani di seluruh negara.
------------------
Kerajaan tingkat prasarana elak jurang pendidikan kota, desa
SEPANG: Lebih 125,000 kanak-kanak yang mencapai umur persekolahan tercicir daripada alam persekolahan di luar bandar dan pedalaman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Berikutan itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, banyak lagi usaha perlu dilakukan bagi memastikan semua rakyat berpeluang dan keupayaan yang sama untuk mencapai akses kepada pendidikan.
"Kementerian Pelajaran juga perlu melipatgandakan usaha menyediakan infrastruktur, terutama kepada sekolah luar bandar untuk merapatkan jurang kerana pendidikan di Malaysia sudah mencapai tahap kemajuan yang memberangsangkan," katanya pada perasmian Bengkel Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010, di sini semalam.
Bengkel yang dihadiri 140 pegawai kanan kementerian antara lain menumpukan kepada cadangan strategi pelaksanaan, pelan tindakan dan program Bidang Keberhasilan Utama Negara (N-KRA), Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran, kementerian dan Ketua Setiausaha kementerian serta perubahan dasar pendidikan negara.
Ia membabitkan penambahbaikan PIPP, termasuk cadangan berkaitan dasar yang perlu dikekalkan atau digugurkan serta dasar baru pelan strategik dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata usaha kerajaan merapatkan jurang pendidikan selaras matlamat Pendidikan Untuk Semua yang disasarkan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik, dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
"Teras merapatkan jurang pendidikan amat penting bagi usaha melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggung jawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri seterusnya menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat serta negara," katanya.
Mengenai kemajuan PIPP, Muhyiddin berkata sehingga Disember lalu, 6,386 projek berjaya disiapkan daripada sasaran 13,014 projek pembangunan membabitkan peruntukan RM25.2 bilion.
Selain itu, 2,348 kelas prasekolah diwujudkan di luar bandar, pembinaan 2,257 makmal komputer dan 3,600 Pusat Akses di luar bandar yang memberi manfaat kepada 2.8 juta pelajar.
Beliau juga berkata, Malaysia berada pada tangga ke-45 daripada 129 negara dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua (EDI) mengikut Laporan Global Pemantauan Pendidikan Untuk Semua 2009 yang dikelolakan Unesco.
Muhyiddin berkata penyediaan prasarana pendidikan yang baik adalah kunci kepada peningkatan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan luar bandar yang juga antara keutamaan kerajaan.
Justeru, beliau berkata pembangunan infrastruktur pendidikan perlu diteruskan memandangkan masih ada sekolah daif dan usang serta tidak mempunyai bekalan elektrik, air terutama di pedalaman.
Selain itu, satu dasar penempatan guru yang memenuhi keperluan rakyat perlu disediakan dalam usaha memberi penekanan kepada melahirkan guru berkualiti dan mencukupi untuk ditempatkan terutama di pedalaman dan luar bandar.
Beliau berkata dasar berkenaan selaras perkembangan pendidikan global, mengurangkan jurang pendidikan bandar dan luar bandar, menepati gagasan 1Malaysia serta merealisasikan KPI kementerian.
(Berita - berita ini diambil dari Beritra Harian Online, 21 Julai 2009)
*** ***
ISA 'penyelamat' pemimpin pemerintah, bukan keselamatan negara - Presiden PAS
Izwan Abdul Halim
ALOR SETAR, 21 Julai (Hrkh) -Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah.
Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung akta 'tanpa bicara' yang telah mendapat bantahan seluruh masyarakat sekaligus menggesa kerajaan memanmsuhkannya serta-merta.
Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.
"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.
"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini semalam
Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.
"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.
"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.
Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.
9berita ini diambil dari Harakan Daily, 21 Julai 2009)
---------------------
Siasatan sudah capai 60%
Oleh AZIAN AZIZ
pengarang@utusan.com.my
Musa Hassan dikerumuni wartawan sewaktu keluar dari IPK Selangor diiringi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan di Shah Alam, semalam.
SHAH ALAM 20 Julai - Siasatan kes kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco kerajaan negeri, Teoh Beng Hock, 30, di Plaza Masalam di sini, Khamis lalu, kini tinggal 40 peratus lagi untuk disiapkan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya yakin kes tersebut dapat diselesaikan dalam masa terdekat ekoran perkembangan itu.
"Kes ini telah 60 peratus selesai disiasat. Saya telah arahkan siasatan ini terus dijalankan dan kita akan buat pengumuman hasil siasatan kita nanti," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat perkembangan siasatan kes mendiang Beng Hock di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Taklimat sejam itu disampaikan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.
Ditanya sama ada polis telah membuat sebarang tangkapan dalam kes itu, Musa memaklumkan tiada penahanan dilakukan setakat ini.
Kes Beng Hock yang merupakan Setiausaha Politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah mendapat perhatian umum berikutan kematiannya yang menimbulkan tanda tanya.
Ini kerana beliau ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di sini, selepas dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Polis yang menjalankan siasatan sehingga kini masih mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai kematian mengejut (SDR).
(Berita ini diambil dari Utusan Online, 21 Julai 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment