BERITA

Pengeboman di Jakarta : PAS utus takziah kepada Presiden Susilo
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - PAS menghantar perutusan takziah kepada Kerajaan Indonesia dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono berikutan kejadian pengeboman di Hotel Ritz-Carlton dan JW Marriot Jakarta hari ini.

Serentak dengan itu, Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad berkata, PAS mengutuk pengeboman yang mengorbankan sembilan nyawa dan mencederakan 53 yang lain.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat turut menyampaikan ucapan takziah dan simpati kepada keluarga mangsa yang terbabit dengan pengeboman tersebut.

"Tindakan (mengebom orang awam) tanpa perikemanusiaan bertentangan dengan ajaran Islam, membunuh serta mencederakan orang awam secara membabi buta adalah amat dikesali dan dikutuk oleh Islam," tegas beliau.

Sehubungan dengan itu, PAS katanya, menyeru seluruh umat Islam dan warga Indonesia supaya bersabar menghadapi cabaran besar tersebut.

"PAS sekali lagi menegaskan sikapnya bersama-sama dengan partai Islam lain di Indonesia seperti PKS dan PPP melahirkan kekesalan dan simpati kepada keluarga mangsa dari pelbagai negara," ujar beliau.


-----------------------


Dr Lo' Lo' lawat mangsa kemalangan bas Rapid di Pantai Baharu
Muhammad Arif Ismail

PETALING JAYA, 18 Julai (Hrkh) - Ahli Parlimen Titiwangsa yang juga merupakan Pengerusi Lujnah kebajikan dan kemasyarakatan, Dr Lo' Lo' Ghazali telah membuat lawatan ke atas mangsa kemalangan bas Rapid yang berlaku baru-baru ini.

Seramai 8 orang pesakit telah dilawati oleh Ahli Parlimen iaitu Musni Sumar, Siti Khadijah, Yong Yoon Kong, Noorul Nadira, Abdul Halim, Aiyub Ibrahim, v.Natason, Mat Saad, semua pesakit ini menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini, kelmarin.

Sebelum ini, seramai 28 orang penumpang dan pemandu bas nyaris maut apabila kenderaan dari hentian bas Shah Alam itu, terbabas dan jatuh ke laluan motosikal di susur keluar Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur, pada 14 Julai lalu dan semua pesakit telah dirawat ke PPUM.

Katanya ketika ditemui berkata, tujuan lawatan ini adalah untuk mendekati masyarakat bagi mereka yang menghadapi masalah seperti menghadapi kemalangan seperti ini dan juga mangsa jenayah.

"Program ini telah dilaksanakan sejak sekian lama bagi mendekati rakyat yang mengalami kesusahan. Tetapi sebelum ini, kita buat dalam keadaan yang sedikit sahaja.

"Namun, sekarang kita perlu memperbanyakkan usaha untuk turun kepada masyarakat yang menghadapi kesusahan terutamanya dalam kes seperti ini," katanya

Beliau mengharapkan di peringkat negeri-negeri juga, lajnah kebajikan dan kemasyarakatan juga proaktif kerana beliau tidak mungkin dapat turun ke negeri di seluruh Malaysia.

--------------------------


Pemuda PAS sokong tindakan berani Pemuda Gerakan
Nyza Ayob

KUALA LUMPUR, 18 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong tindakan berani Pemuda Gerakan yang secara terbuka menyatakan sokongan serta akan turut serta dalam himpunan membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1 Ogos depan.

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Kamaruzzaman Muhamad berkata, sokongan tersebut menunjukkan akta zalim tersebut turut ditentang komponen Barisan Nasional(BN).

"Ini merupakan satu perkembangan yang baik yang sangat kita alu-alukan. Wakil Pemuda Gerakan telah menghubungi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) serta menyatakan persetujuan untuk menyertai himpunan bagi mendesak kerajaan memansuhkan akta ini," katanya sewaktu dihubungi Harakah.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah Sekretariat Himpunan Mansuh juga menegaskan, bagi menggerakkan masyarakat menyertai perhimpunan tersebut, sekretariat Mansuh telah mengadakan siri jelajahya di seluruh negara.

Katanya, selain sekretariat Mansuh, siri jelajah tersebut turut disertai beberapa Badan Bukan Kerajaan(NGO) yang menyokong himpunan tersebut.

Baru-baru ini, Ketua Biro Khidmat Guaman dan Aduan Awam Pemuda Gerakan, Andy Yong menyatakan pihaknya akan menggerakkan sekumpulan ahli (Pemuda) untuk menyokong perhimpunan aman Mansuh itu.

Dalam kenyataannya, Yong menyatakan keputusan itu telah dimaklumkan dalam mesyuarat jawatankuasa pusat kebangsaan Gerakan.

Beliau juga berkata parti komponen BN itu beriltizam melindungi dan mempertahankan hak-hak asasi manusia dan kebebasan asas seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia (UHDR) 1948. - mns_

(Berita - berita ainmi dari Harakan Daily,19 Julai 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment