BERITA

SERANG SPRM

Desakan serta kenyataan berbaur kecaman yang dilemparkan oleh pembangkang terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat sebagai usaha untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada isu sebenar.

Sehubungan itu, SPRM dituntut agar tidak berganjak atau ‘menarik brek’ dariapda terus menjalankan siasatan dan sekiranya terdapat bukti untuk mendakwa para pemim-pin pembangkang yang terbabit dengan rasuah.

Mengulas perhimpunan yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang di Kelana Jaya yang telah ‘menjatuhkan hukuman bersalah’ kepada SPRM, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Noh Omar berkata, SPRM mesti meneruskan siasatan terhadap beberapa ADUN dan Exco kerajaan pakatan pembangkang di Selangor.

Katanya, siasatan penyelewengan yang sedang dijalankan oleh SPRM itu tidak boleh dicampur adukkan dengan isu kematian pembantu kepada seorang Exco, Teo Beng Hock.

“Taktik mereka (pembangkang) jelas hendak menghentikan siasatan dan mengalaihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar (siasatan penyelewengan ke atas mereka),” ujar beliau.

Sementara itu Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, SPRM tidak perlu tunduk kepada ugutan pembangkang supaya menghentikan siasatan berhubung salah penyelewengan beberapa Exco Kerajaan Negeri Selangor selagi siasatan punca kematian Beng Hock tidak selesai.

Malah beliau menyifatkan, ugutan pihak pembangkang terhdap SPRM lebih berupa usaha mereka untuk menyembunyikan kebenaran di sebalik kematian Beng Hock daripada diketahui umum.

''Tindakan pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjelajah ke seluruh negara bagi 'membela' Beng Hock juga tidak munasabah.

(Berita ini dari Agenda Daily,20 Julai 2009)


----------------------------



TIADA SYARAT UNTUK CHUA JUI MING SERTAI PAKATAN RAKYAT - ANWAR
Muhammad Arif Ismail

BANDAR SUNWAY, 19 Julai (Hrkh) - Ketua Umum Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) yang juga merupakan Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada syarat yang ditawarkan untuk Dr Chua Jui Ming menyertai Pakatan Rakyat dan KeADILan.

"Perkara ini sangat penting untuk disahkan bahawa tiada tawaran yang dibuat kepada beliau untuk menyertai parti Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengumumkan kemasukan bekas naib Presiden MCA dalam satu forum yang diadakan di Hotel Sunway Resort dekat sini semalam.

Forum yang bertajuk 'Truth Behind Scandals' telah dianjurkan oleh parti KeADILan telah dihadiri oleh semua pemimpin tertinggi KeADILan.

Katanya "kita lihat beberapa kenyataan beliau, saya ucapkan terima ksih kerana menerima Pakatan Rakyat walaupun tanpa sebarang syarat ditawarkan".

"Oleh itu, tidak berbangkit soal Dr Chua akan diberikan kerusi tertentu sebagai satu syarat untuk beliau menyertai Pakatan Rakyat," jelas beliau.

Dalam sidang media yang sama, beliau ditanya adakah parti itu akan tawarkan satu jawatan dalam KeADILan kepada bekas menteri kesihatan itu.

katanya, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik dan majlis tertinggi parti sebelum mendapat kata putus dari Presiden KeADILan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail.
(Berita ini dari Harakah Daily, 20 Julai 2009).


------------------


Hindraf kecewa sikap Pakatan Rakyat?

HARAPAN HINDRAF TERHSADAP PAKATAN RAKYAT BERKECAI

Oleh G. MANIMARAN

KECEWA... Pemimpin Hindraf, P. Uthayakumar dengan berlatarbelakangkan buku beliau berjudul Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward yang menggariskan perjalanan wawasan politik pihaknya selepas ia diharamkan tahun lalu dan lima pemimpin Hindraf dibebaskan baru-baru ini. Buku itu dilancarkan di Klang pagi tadi. Beliau juga mengumumkan penubuhan Parti Hak Asasi Manusia. AP

KLANG: Harapan terhadap PKR, DAP dan PAS berkecai! Ini sebahagian daripada luahan perasaan pemimpin pertubuhan Hindraf, P. Uthayakumar dalam tulisannya yang dikeluarkan dalam bentuk buku setebal 114 halaman hari ini.

Kata beliau, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat itu kini mula mengabaikan kepentingan masyarakat India kerana dilihat sudah tiada kekuatan politik.

"Inilah hakikat politik yang kita lalui sekarang," kata beliau dalam bukunya bertajuk Malaysian Indian Political Empowerment Strategy: The Way Forward yang dilancarkan sempena pengumuman penubuhan Parti Hak Asasi Manusia.

Kandungan buku itu dihasilkan ketika beliau berada dalam tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama 514 hari di Kamunting, Taiping.

"Adalah jelas dan ketara bahawa apa yang PKR, DAP dan PAS mahukan daripada kita ialah hanya undi semata-mata.

"Ahli politik adalah ahli politik! Sejauh mana bezanya lima kerajaan negeri pimpinan PKR, DAP dan PAS berbanding bekas kerajaan negeri diterajui Umno ataupun kerajaan pusat Umno bagi (kepentingan) masyarakat India?" katanya.

Beliau memuatkan kekecewaan dengan prestasi Pakatan Rakyat yang didakwa tidak membantu masyarakat India dalam 10 halaman.

Katanya, selepas pilihan raya umum 2008 ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat yang sepatutnya dilihat sebagai "parti pelbagai kaum" telah mengabaikan kepentingan masyarakat India.

"Kini kita berhadapan dengan keadaan sebenar dan sudah bersedia untuk bercakap mengenai realiti politik.

"Kita perlu berhadapan dengan fakta ini. Sebagai contoh salah satu daripada 18 perkara yang dituntut ialah kesemua 523 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, kuil, krematorium, lokasi pengebumian dan kawasan setinggan diduduki masyarakat India diberikan tanah kerajaan dan diwartakan dengan sewajarnya," katanya sambil menambah, keadaan sebaliknya berlaku sekarang.

Tambah beliau, "nampaknya PKR, DAP dan PAS tidak berminat untuk menyelesaikan mana-mana perkara yang dituntut itu walaupun beberapa bidang terletak seratus peratus di bawah kerajaan negeri". Hindraf mengadakan perhimpunan di ibu negara dalam usaha mengetengahkan 18 tuntutan itu pada 25 November 2007 - lima bulan sebelum pilihan raya umum ke-12.

Gelombang kemarahan itu digunakan sebagai modal kempen oleh Pakatan Rakyat ketika pilihan raya umum Mac 2008 dan dilihat telah menyumbang kepada prestasi baik pembangkang yang menawan lima kerajaan negeri dan menidakkan majoriti dua pertiga BN di Parlimen.
(Berita ini diambil dari The Star Online, 20 Julai 200)


---------------------


UMNO TIDAK IKUT ISLAM

SHAH ALAM – Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib mendakwa pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun tidak mengamalkan prinsip asas keislaman kerana banyak banyak mencabar ayat-ayat suci al-Quran dan Sunnah.

Beliau berkata, ini dapat dilihat pelbagai masalah yang dihadapi kerajaan sekarang seperti keselamatan, jenayah, rasuah, penyalahgunaan kuasa, rompakan dan sebagainya.

“Masalah ini terjadi kerana kepimpinan BN tidak menghayati kandungan Islam yang sebenar. Jika pemimpin UMNO masih mengaku mempertuhankan Allah dan menabikan Muhammad SAW, landasan sebenar perlu dituruti.

“Kenapa UMNO boleh sembahyang mengikut ajaran Islam, mengapa tidak boleh mengikut Islam dalam memerintah negara? Adakah UMNO mengambil konsep beriman separuh kitab dan menolak separuh yang lain?” katanya, semalam.

Sekiranya dibandingkan dengan kepimpinan Pas, beliau berkata, Pas memperjuangkan Islam agar menjadi akidah kepada negara dari segenap segi sama ada dari sudut pentadbiran, kehakiman atau sebagainya.

“Pendek kata, apa sahaja yang terkandung dalam dua kalimah syahadah iaitu ‘tiada tuhan disembah melainkan Allah, Nabi Muhammad itu pesuruh Allah’ akan diaplikasikan oleh Pas bukan sahaja dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara,” katanya.

Menurutnya, situasi sebeginilah yang membezakan antara UMNO dan Pas memandangkan dasar serta matlamat perjuangan yang dibawa jauh berbeza.

“Kita dapat lihat kepimpinan negara, terang-terangan menolak hukum Allah,” katanya.

Beliau berkata, UMNO membenarkan ‘Riddah’ atau murtad: berleluasa di samping mengamalkan budaya “Hendonisme” budaya “akhlak bobrok” melalui agensi-agensi penyiarannya.

Harun berkata, sekiranya hanya menghebohkan soal pembinaan masjid, semua dunia membina rumah Allah itu, namun pentadbiran mereka sama juga tidak mengikuti ajaran Islam.

“Status kedudukan pemimpin di negara barat dan timur yang sekular, sama dengan kedudukan pemimpin UMNO di Malaysia ini,” katanya.

Menurutnya, sekiranya masih wujud benih keimanan dalam hati pemimpin UMNO, beliau merayu mereka kembali bertaubat ke jalan Allah SWT.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian, 20 Julai 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment