BERITA

SPRM mahu rampas kerajaan negeri Selangor?
Pimpinan Pakatan Rakyat

MAJLIS Pimpinan Pakatan Rakyat menyatakan rasa dukacita yang amat mendalam di atas kematian mendiang Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri Selangor.
Mewakili seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keadilan, pihak Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang.

Sebelum ini telah terdapat banyak kematian yang berlaku dalam tahanan pihak berkuasa seperti Allahyarham Rumie Azzan Mahlie dan mendiang Ananthan Kugan.
Kematian mendiang Teoh Beng Hock merupakan kemuncak kepada penyalahgunaan kuasa pihak berwajib dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan rakyat.
Sehingga kini pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah secara berterusan menjalankan siasatan dan membuat ancaman ke atas para pemimpin Pakatan Rakyat, sedangkan laporan demi laporan mengenai penyalahgunaan kuasa para pemimpin Barisan Nasional tidak diendahkan.
Ini adalah bukti kukuh bahawa suruhanjaya yang baru beroperasi selama enam bulan itu hanyalah dijadikan alat oleh Barisan Nasional dan Umno untuk melemahkan Pakatan Rakyat.

Jawapan tegas

Rakyat menuntut jawapan yang lebih tegas dari SPRM dan Perdana Menteri yang menjadikan SPRM sebagai kuda tunggangan Umno, dalam tindakan untuk merampas kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Rakyat.
Badan seperti SPRM seharusnya bertindak profesional dan menyelamatkan integriti mereka dengan mengambil tindakan ke atas laporan terhadap para pimpinan Barisan Nasional yang telah diketahui umum terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.
SPRM juga seharusnya memberhentikan teknik mendera dalam soal siasat mereka.
Dalam kes Mendiang Teoh, SPRM perlu mengenal pasti pegawai terlibat seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.
Kami percaya bahawa rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap SPRM dan institusi lain yang dtubuhkan oleh kerajaan.
Pakatan Rakyat akan terus menerus menentang kezaliman dan salahguna kuasa institusi ini dengan mengadakan kempen di seluruh negara.
Sehubungan dengan itu Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mendesak dan bertegas agar satu Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan bagi menyiasat kematian mendiang Teoh Beng Hock dan meneliti teknik dan kaedah siasatan SPRM selama ini. (17 Julai)
Kenyataan media ini dikeluarkan oleh:
Dato' Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum KeADILan
Dato' Seri Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
Lim Kit Siang
Ketua Ahli Parlimen DAP.

-------------------------------


Kemelut Selatan Thai perlu rencana tersusun
Arifin Mahmud

Selesai Jumaat kelmarin lapan mahasiswa ditahan polis berikutan demonstrasi yang mereka adakan selepas solat Jumaat dan laman Mahasiswakini.com melaporkan bahawa kumpulan mahasiswa berkenaan membuat aksi itu di depan Kedutaan Thailand.
Aksi itu dilakukan sebagai maklumbalas terhadap isu pembunuhan umat Melayu Muslim di Selatan Thai baru-baru ini di Kg Air Tempayan, Narathiwat pada 8 Jun lalu. Cara serangan itu dilakukan dengan begitu terlatih menyebabkan ramai pihak melihat bahawa tentera berkemungkinan melakukan keganasan tersebut.
Menurut laporan laman itu, antara siswa yang turut ditahan ialah Shazni Munir Ithnin yang dikatakan terlibat dalam kes 'anti-Rosmah'.
Daripada lapan siswa itu, antara lain yang turut ditahan ialah Mohd Shafie Hashim dan Lee Song Yong. Enam siswa dibawa ke Balai Polis Sentul manakala dua siswi lagi dibawa ke Balai Polis Dang Wangi untuk soal siasat, demikian menurut laman tersebut.
Dipercayai suasana demonstrasi bermula aman tapi situasi tegang dicetuskan polis apabila menarik kasar seorang mahasiswa. Dua mahasiswi berkenaan ditangkap tanpa usul periksa semasa mereka sedang berehat setelah demonstrasi berkenaan bersurai.
Sebagai yang dijangka, pihak penguatkuasa ketika membuat tangkapan akan menggunakan alasan bahawa perhimpunan tersebut tidak memiliki permit.
Ketua penyiasat kes ASP Aziz memberitahu bahawa kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 27 Akta Polis kerana menyertai perhimpunan haram, laman itu menjelaskan.
Disusuli forum pada sebelah malamnya
Sebenarnya, acara mereka tidak hanya terhenti di situ. Pada sebelah malamnya, kumpulan mahasiswa itu bercadang untuk mengadakan Forum Kesedaran Isu Pembunuhan Muslim Selatan Thailand yang dijadualkan berlangsung di Masjid ar-Rahman Universiti Malaya.
"Berlangsung atau tidak forum itu, tak dapat dipastikan dengan sebab insiden ini," isi kandungan laman itu dipetik.
Mahasiswa beri tempoh tiga hari
Demonstrasi yang bermula selepas solat Jumaat tadi disertai 200 mahasiswa daripada beberapa barisan mahasiswa seperti Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami).
Mahasiswakini melaporkan bahawa mereka menghantar memorandum kepada wakil konsulat kerajaan Thailand walaupun timbul keraguan kerana wakil konsulat yang menerima memorandum tersebut tidak mahu memperkenal diri.
Namun, ada riak dan nada serius di sebalik perhimpunan tersebut. Khasnya, ketika perkumpulan mahasiswa itu memberikan tempoh kepada pihak Kedutaan Thailand untuk menjelaskan situasi sebenar di sebalik peristiwa Kg Air Tempayan itu.
Jurucakap perkumpulan mahasiswa berkenaan, Mohd Idris berkata, mahasiswa beri tempoh tiga hari agar kerajaan Thailand dapat memberikan maklumbalas terhadap isu yang berlaku di wilayah berkenaan kira-kira sebulan yang lalu.
Hal ini bermaksud, pihak kedutaan perlu tampil memberikan penjelasan kepada perkumpulan mahasiswa tersebut pada Isnin depan. Namun, dengan keadaan mereka sendiri meragui wakil kedutaan yang menerima memorandum tersebut, adakah kedutaan dapat menunaikan permintaan mereka? Apakah memorandum tersebut benar-benar diteliti?
Demonstrasi dan forum kini seolah-olahnya telah menjadi tindakan biasa untuk menekan kedutaan. Yang paling utama kini, apakah sudah wujud suatu kumpulan pendesak yang bertugas membawa isu ini ke meja rundingan supaya selalu ada muhasabah untuk mengkaji di mana ruang kelemahan yang perlu diperbaiki dan di mana ruang kekuatan yang perlu diperteguhkan.
Hal ini juga yang sepatutnya turut diambil perhatian oleh kalangan lebih 200 mahasiswa yang prihatin terhadap masalah di Selatan Thai itu.
Seperti biasa, kita boleh juga mencatatkan betapa ramainya polis dan FRU bersama trak dan kereta peronda yang mengawal kawasan kedutaan berkenaan.
Tetapi, hal bersifat intelektual, mungkin usaha menubuhkan kumpulan mahasiswa universiti yang akan membuat penelitian terhadap perkembangan Selatan Thai dari semasa ke semasa adalah suatu yang penting.
Banyak maklumat yang kita kerap ketinggalan terhadap jejak-jejak tindakan sebelum ini, khasnya yang berkaitan dengan usaha-usaha memperbaiki masalah umat Melayu Muslim di Selatan Thai itu.
Misalnya, dengan tenaga mahasiswa, anak muda dan belia yang ramai ini, adakah boleh disusun usaha menemubual, membuat pungutan suara ke atas rakyat di wilayah bergolak itu, samada mereka bersedia untuk merdeka atau tidak daripada kuasa Thai dan lain-lain persoalan lagi.
Jika autonomi tak diberi, merdekalah jalan penyelesaiannya
Sementara itu, ada pendapat menyatakan bahawa autonomi untuk tiga wilayah bergolak di Selatan Thai dan pengagihan kuasa pusat kepada rakyat tempatan adalah cara terbaik untuk menyelesaikan konflik yang berpanjangan di situ.
Seorang cendekiawan Thai dan penyokong keamanan Praves Wasi, dari Institut King Prajadhipok berkata struktur kuasa pada masa ini yang berpusat di Bangkok tidak sesuai untuk masyarakat majmuk seperti Thai.
Tambah beliau, punca sebenar yang menyebabkan konflik di situ berpanjangan ialah penggunaan satu struktur kuasa di negara itu.
"Perlu ada pentadbiran bersama melalui pengagihan kuasa pusat. Bukan hanya di tiga wilayah selatan itu, tetapi juga di wilayah lain kerana kita mempunyai masyarakat yang pelbagai dengan budaya, agama dan bahasa yang berbeza," katanya.
Selain Praves Wasi itu, kita boleh meneliti kuasa-kuasa intelektual seorang ahli sejarah terkemuka, Charnvit Kasetsiri dari Universiti Thammasart, di Bangkok yang pernah membuat bantahan ke atas Perdana Menteri Thailand Abhisit Vejjajiva dan beberapa jawatankuasa politik lainnya untuk menukar nama negara Thailand kepada nama asalnya; Siam.
Sebetulnya, pengaruh intelektual kalangan cendekiawan Thai sendiri mungkin sedikit sebanyak dapat membantu kita dalam urusan menangani kemelut di Selatan Thai itu.
Pendekatan demonstrasi, forum dan bengkel ini boleh diterus dan kita perlu pelbagaikan rundingan, pertemuan dengan kalangan tokoh-tokoh cendekiawan Thai sendiri berhubung hal ini.
Sekali lagi, di atas bahu anak-anak muda, belia dan mahasiswa inilah terletaknya beberapa harapan besar ketika sejuta masalah yang terbelenggu di dada umat ini gagal diselesaikan melalui jalan politik dan politikus yang tidak jujur.
Jadikanlah ujian ditahan polis baru-baru ini sebagai suatu langkah permulaan untuk menyusun batu-bata perjuangan pada mada hadapan.
(Dua berita ini diambil dari Harakah Daily,18 Julay 2009)

*** ***

Pelakon Kairel Khamis meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan pelakon era 80-an, Khairuddin Khamis atau lebih dikenali sebagai Kairel Khamis (kanan), 53, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), kira-kira jam 5.20 pagi, semalam.

Abang kepada penyanyi Azizul Khamis itu yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi meninggal dunia akibat sesak nafas.

Kairel yang tidak pernah berkahwin dan tinggal bersama anak angkatnya, Suhairil Sunari, 21, di Taman Melawati mengadu sesak nafas kira-kira jam 4.20 pagi selepas pulang dari bertemu seorang rakan di Sungai Buloh.

Jenazah Allahyarham Kairel dibawa ke rumah abangnya di Kampung Malaysia Tambahan dan disembahyangkan di Masjid Madrasah Nahdatuddiniah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan, Sungai Besi selepas solat Jumaat.
Suhairil berkata, ketika menghantar bapanya ke Klinik Izham dia masih sedar dan boleh berjalan. Tetapi keadaannya kembali teruk dan pihak klinik menghantar arwah bapanya itu ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Sebaik sampai di klinik, doktor memberikan oksigen kepada arwah tetapi keadaannya menjadi semakin teruk dan dia dihantar ke HKL pada jam 5.20 pagi dan meninggal dunia dalam perjalanan. Bagaimanapun saya hanya memaklumkan mengenai berita kematiannya kepada kaum keluarga dan rakan terdekat Allahyarham pada jam 6.15 pagi,” katanya.
Jenazah Allahyarham Kairel dibawa ke rumah abangnya di Kampung Malaysia Tambahan dan disembahyangkan di Masjid Madrasah Nahdatuddiniah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Salak Selatan, Sungai Besi selepas solat Jumaat.
Allahyarham Kairel yang menceburi dunia hiburan ketika pertengahan tahun 80-an pernah memiliki sebuah album dan lagunya yang popular adalah Pura-Pura Malu Tapi Mahu. Antara drama lakonannya ialah Laukku Cukup Masin dan Gosok yang dikeluarkan dalam bentuk VCD.
Anak kelima dari tujuh beradik itu juga baru saja muncul di dalam album kompilasi Anugerah tahun lalu yang membariskan 12 penyanyi seperti Salwa Abdul Rahman, Ayati Tasrip, Ani Maiyuni, Akma, Salima dan ramai lagi.
Allahyarham juga baru menyiapkan sebuah skrip berjudul Akhirnya Semua Gigit Jari yang bakal dibintangi Nassier Wahab, Salwa dan Siti Fairuz tetapi hasratnya untuk melihat drama itu diterbitkan tidak kesampaian.
Antara rakan artis yang hadir ialah Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, Datuk Aziz Satar, Datuk A Rahman Hassan, Datuk M Daud Wahid, Salwa Abdul Rahman, Didie Alias, Liza Abdullah dan Ziela Jalil.
(Berita ini daimbil dari Berita Harian online, 18 Julai 2009)

----------------------

Jangan buat tuduhan - PM

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Teo Beng Hock dan bakal isterinya, Soh Cher Wei, di atas kematian mendiang semalam.

“Saya rasa amat sedih dan simpati kepada keluarga Beng Hock dan bakal isterinya apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Madinah hari ini.

Beliau berkata, polis akan menyiasat kematian tersebut dengan menyeluruh dan profesional agar semua pihak dapat kepastian apa yang berlaku sebenarnya.

Najib turut meminta agar semua pihak tidak membuat kenyataan atau tuduhan yang boleh mengelirukan masyarakat umum sepanjang proses siasatan dijalankan.

“Kerajaan harap semua pihak akan bertenang dan bersabar sehingga selesai siasatan dibuat,” katanya.

Semalam, Beng Hock, 30, ditemui mati di koridor luar tingkat lima bangunan di Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Tingkat 14.

Beng Hock, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, merupakan seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan SPRM berhubung kes salah guna peruntukan kerajaan negeri.

Yong merupakan antara tujuh wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri Selangor yang sedang disiasat SPRM yang turut melakukan serbuan di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan bagi mencari dokumen berhubung cara peruntukan negeri itu dibelanjakan pada Rabu.(Berita ini diambil dari Utusan Online – BERNAMA, 18 Julai 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment