BERITA

Mahfuz selar kenyataan Noh Omar
Intan Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menyelar kenyataan Menteri Pertanian, Dato' Noh Omar yang melarang pegawai-pegawai di kementerian berkenaan daripada menghadiri sebarang kursus, seminar ataupun mesyuarat yang diadakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

"Kita minta agar beliau benar-benar memahami bidang kuasa kerajaan negeri, kerajaan pusat termasuklah kementerian," ujarnya kepada Harakah.

Sambil menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai tidak bijak, Mahfuz menegaskan bahawa alasan yang diberikan oleh Menteri yang berkenaan tidak munasabah.

"Keputusan yang dibuat menteri ke atas pegawai agensi dan Kementerian Pertanian supaya tidak hadir ke program anjuran kerajaan Pakatan Rakyat adalah suatu keputusan yang tidak demokratik dan tidak munasabah," kata Mahfuz.

Dalam satu kenyataan Noh yang dikeluarkan Utusan Malaysia muka surat 3 pada 22 Julai lalu, beliau dilaporkan sebagai berkata alasan yang diberikan iaitu kegagalan kerajaan negeri memberikan dana dan sumbangan kepada jabatan serta kementerian.

"Jika dilihat kepada negeri selain yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, adakah mereka memberikan sumbangan yang lebih kepada kementerian tersebut berbanding negeri Pakatan Rakyat?" ujar Mahfuz.

Tegasnya, sumber yang dimiliki kerajaan negeri adalah terhad berbanding kerajaan pusat.

"Sebaliknya, kerajaan negeri telah memberikan sumbangan yang bermakna kepada kerajaan pusat khususnya berkaitan hal ehwal tanah.

"Mereka kena terima hakikat bahawa mereka memerlukan sumbangan kerajaan pembangkang kerana tanpa kerjasama kerajaan negeri yang memberikan tanah, sudah tentu kementerian tidak boleh menjalankan sebarang pembanguann pertanian," katanya lagi.

Ahli parlimen Pokok Sena itu turut menyifatkan kenyataan Noh itu sebagai seorang yang tidak berpendidikan.

"Ia kenyataan seorang pemimpin yang tidak bersekolah, nampaknya beliau perlu masuk belajar di Tadika Kemas semula," demikian ujarnya.

--------------------------------

Isu pegang lilin hanya bersifat politik - Nik Aziz
Salmah Mat Husain | Foto Rizal Tahi

KOTA BHARU, 23 Julai (Hrkh) - Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan mereka yang menghebohkan isu anggota parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Nizar Jamaluddin memegang lilin pada satu program di Ipoh lebih bersifat politik.

Mursyidul Am PAS itu berkata, tindakan Menteri Besar Perak, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir memintanya mengeluarkan fatwa mengenai perkara itu tidak lebih sebagai kenyataan politik.

"Zambry ni orang politik bukan orang yang kaji Islam, apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun dia tak pakai, lagi pun keluar fatwa ni tugas mufti," ujarnya ketika diminta mengulas kenyataan Zambry yang memintanya mengeluar fatwa berhubung isu memegang lilin.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kelantan 2009 di Dataran Warisan di sini, petang ini.

Menteri Besar Perak sebelum ini meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa berhubung tindakan Nizar memegang lilin ketika hadir pada satu majlis di Perak Jumaat lepas.Image

Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim hari ini menafikan majlis menyalakan lilin yang turut dihadiri beliau dan Nizar majlis berkabung memperingati kematian Teoh Beng Huat.

Menurutnya gambar tersebut merupakan majlis menyalakan lilin diadakan semasa sesi sidang media 17 Julai lalu bertempat di Wisma DAP Ipoh.

Idham juga menjelaskan amalan memegang lilin dan colok bagi orang Cina adalah budaya nenek moyang yang sudah turun temurun dan bukan amalan agama.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga berkata, sekiranya beliau dijemput masyarakat Hindu atau Cina ke tempat ibadat mereka, beliau akan bertanya terlebih dahulu adakah program keagamaan atau adat resam.

"Saya kata kalau soal agama saya tak boleh pergi, tetapi adat resam atau budaya saya boleh pergi.

"Tiap-tiap tahun anak cucu kita menyambut ulang tahun kelahiran mereka dengan memacak lilin atas kek mengikut umur.

"Kalau setahun sebatang lilin kemudian menghembuskan, jadi lilin ni digunakan sebagai satu perkara yang simbolik terhadap sesuatu perkara lain. Begitu juga dalam masalah yang diheboh sekarang ni," ujarnya.

Menurutnya Rasulullah saw menghantar surat pada raja-raja Mesir, Iran dan India menggunakan ayat al-Quran.

(Dua berita ini diambil dari Harakah Daily,24 Julai 2009)


*** ***


Dua beradik rempuh teksi ketika larikan beg tangan selepas dikejar wanita mangsa ragut

SHAH ALAM: Dua beradik maut apabila motosikal mereka merempuh belakang sebuah teksi ketika cuba melarikan diri selepas meragut beg tangan seorang eksekutif wanita di persimpangan lampu isyarat Persiaran Kerjaya, Glenmarie di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.45 petang, dua beradik berusia 25 dan 30 tahun itu memecahkan cermin kiri Mercedes-Benz wanita berkenaan dan melarikan beg tangan mangsa ketika kereta itu berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Bagaimanapun, Junaili Abdul Hamid, 43, bertindak nekad mengejar peragut terbabit dan ketika cuba melarikan diri, motosikal dua beradik itu merempuh belakang sebuah teksi di persimpangan Jalan Batu Tiga Lama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Noor Azam Jamaludin, berkata seorang peragut terbabit cedera parah selepas terperosok di bawah teksi dan meninggal dunia setibanya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Adik peragut terbabit pula terpelanting dan cuba melarikan diri dalam keadaan terhoyong-hayang serta badan berlumuran darah, tetapi rebah dan meninggal dunia kira-kira 50 meter dari tempat kemalangan.
KERETA yang dipandu mangsa terbabas dan terlanggar sebuah van selepas mengejar dua peragut, semalam.

Ketika ditemui pemberita, Noor Azam berkata, peragut yang meninggal dunia di tempat kejadian itu juga mungkin diserang asma kerana polis menemui alat bantuan pernafasan di tangannya.

Beliau berkata, kereta yang dipandu wanita itu turut melanggar sebuah van menyebabkan bahagian tayar di sebelah kanannya remuk, tetapi mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Beg tangan wanita berkenaan ditemui semula di tempat kejadian dan mangsa sudah membuat laporan polis," katanya. Dua beradik itu berasal dari Tali Air 3, Sungai Burung, Sekinchan.

Sementara itu, suami mangsa, Sheikh Feisal Sheikh Mohamed, 43, berkata beliau bergegas ke tempat kejadian dari pejabatnya di Petaling Jaya sebaik dihubungi isterinya.

Beliau berkata, isterinya memandu seorang diri dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen 13 di sini dari tempat kerjanya di Sungei Way.

Ahli perniagaan itu bersyukur kerana isterinya terselamat, walaupun keretanya rosak selepas cermin tingkapnya dipecahkan peragut terbabit sebelum terlanggar sebuah van.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online,24 Julai 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment