BERITA


Ketua kerajaan boleh dibicarakan

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Ketua-ketua kerajaan atau negara boleh dibicarakan atas kesalahan jenayah perang kerana mereka tidak kebal dan tidak dilindungi oleh undang-undang antarabangsa.

Perkara tersebut diputuskan pada Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) hari ini sejajar dengan Artikel 1A, B, C, D Piagam KLWCT.

Dengan keputusan itu, menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) mempunyai tempoh dua bulan untuk menyediakan semua dokumen pertuduhan dan mengemukakan notis kepada pihak yang didakwa penjenayah perang.

“Maka kini terpulanglah kepada pihak suruhanjaya bagi mewujudkan kes dan memberi notis kepada mereka yang dituduh terlibat dalam jenayah perang untuk hadir pada pendengaran tribunal itu nanti,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Pengerusi Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana (PGPO) - pertubuhan yang bertanggungjawab mengambil inisiatif mengadakan persidangan antarabangsa bertemakan “Menjenayahkan Perang”.

Ia akhirnya membawa kepada penubuhanTribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) bagi membicarakan mereka yang didakwa sebagai penjenayah perang.

Menurut Dr. Mahathir, tribunal tersebut akan berlangsung mengikut prosedur dan undang-undang antarabangsa seperti yang dilaksanakan oleh tribunal-tribunal jenayah perang lain.

Pengerusi KLWCT, Hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman ketika membacakan keputusan itu berkata:

‘‘Tribunal berpendapat ketua-ketua kerajaan dan negara tidak boleh secara sebelah pihak mengatakan ia kebal dan tidak boleh didakwa di bawah undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva ataupun undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.’’

Turut bersidang Hakim Datuk Abdul Kadir Sulaiman (Malaysia), Hakim Tunku Sofiah Jewa (Malaysia), Hakim Francis Boyle (AS), Hakim Profesor Salleh Buang (Malaysia), Hakim Profesor Niloufer Bhagwat (India), Hakim Alfred Lambremont Webre (AS) dan Hakim Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi (Malaysia).

Tribunal bersidang berikutan permohonan Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCC) untuk mendapatkan keputusan sama ada ia mempunyai kuasa untuk mendengar kes yang membabitkan ketua-ketua kerajaan atau negara berkaitan dengan jenayah perang.

Persoalan lain yang dibangkitkan KLWCC adalah sama ada ketua-ketua kerajaan ataupun negara boleh menarik diri dari mematuhi sebarang peruntukan perjanjian atau undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva yang diterimapakai oleh dunia.

Abdul Kadir menegaskan, tribunal berpendapat ketua-ketua kerajaan atau negara juga diliputi oleh undang-undang antarabangsa seperti Konvensyen Geneva dan undang-undang hak asasi manusia.

Tambah beliau, tribunal juga membuat keputusan bahawa ketua-ketua kerajaan atau negara tidak boleh membebaskan diri mereka dari perjanjian ataupun undang-undang antarabangsa.

Katanya, keputusan penuh dan sebab-sebab perkara itu diputuskan oleh tribunal akan dibuat secara bertulis dan boleh diperoleh pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

(Berita ini diambil dari Mingguan Malaysia, Online, 1 November 2009)


BERITA


Ikut suara rakyat

Oleh Rohaniza Idris
roha@bharian.com.my


DATUK Seri Najib Razak merasmikan buku kenang-kenangan Ulang Tahun LLN/TNB ke-60 sambil diperhatikan Tan Sri Leo Moggie (kanan) dan Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh (kiri) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.

Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksana jika semua kaum sepakat: PM

KUALA LUMPUR: Dasar sekolah satu aliran hanya akan dilaksanakan apabila rakyat mahu dan bersedia menerimanya sesuai dengan semangat 1Malaysia, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan hanya akan mengubah dasar itu berdasarkan kepada kehendak masyarakat demi kepentingan mereka.

"Kalau masyarakat bersedia untuk membuat perubahan, kita (kerajaan) akan ubah, selagi masyarakat tidak bersedia kita akan kekalkan seperti sedia ada. Tidak ada gunanya kerajaan mengubah dasar kepada sekolah satu aliran jika keputusan itu boleh menyebabkan perbalahan dan ketegangan dalam politik, masyarakat dan sosial.

"Kalau kita nak ubah dasar kepada sekolah satu aliran, tujuan kita hanyalah untuk perpaduan semua kaum. Kita tidak mahu keputusan itu menyebabkan perbalahan dan ketegangan. Tujuan kita untuk membawa perpaduan selaras semangat 1Malaysia tetapi jika keputusan itu sendiri membawa ketegangan antara kaum, apa maknanya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perhimpunan Perdana Menteri bersama warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan TNB, di sini, semalam.

Isu sekolah satu aliran dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh beberapa Ahli Parlimen yang mahukan kerajaan mewujudkan sekolah sedemikian seperti dicadangkan tokoh sejarah dan akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, minggu lalu.

Khoo mencadangkan sistem pendidikan negara disusun semula, termasuk melaksanakan sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai kerana sistem pendidikan yang mengamalkan sekolah pelbagai aliran ketika ini tidak membantu rakyat menyelami makna sebenar gagasan itu.

Najib berkata, kerajaan perlu mengambil kira pandangan rakyat terlebih dulu sebelum membuat sebarang keputusan bagi menjaga sensitiviti kaum di negara ini.

"Kerajaan akan hanya mengubah sesuatu dasar jika dipersetujui rakyat dan jika sebaliknya, dasar sedia ada dikekalkan. Kita memberi warga Malaysia daripada kumpulan etnik hak memilih jenis pendidikan yang mereka mahu, jadi perubahan kepada sistem pendidikan satu aliran memerlukan anjakan besar daripada segi dasar dan ia juga menimbulkan persoalan sama ada masyarakat negara ini bersedia untuk menafikan hak memilih jenis pendidikan.

"Saya fikir perkara ini belum ada kata putus dalam masyarakat, ada yang fikir baik diadakan sekolah satu aliran, malah ada yang fikir bahawa mereka nak juga hak untuk memilih. Jadi selagi kita (kerajaan) tidak putuskan mengenai perkara ini, saya tidak mahu berlaku perbalahan dalam masyarakat kerana soal pendidikan ini amat sensitif," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 1 November 2009)

BERITA



Masih ada berharap Pas-UMNO bergabung


KUALA LUMPUR - Walaupun Pas sudah menutup pintunya untuk bekerjasama dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, masih ada suara yang berharap dua parti Melayu itu mencari persamaan dan berdamai atas dasar agama dan silaturrahim.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mahu Pas menamatkan pakatannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dikatakan tidak sesuai dengan parti berteraskan Islam itu, katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009.

“PKR ini parti koboi, Pas tidak sesuai dengan dia. DAP pula memang ‘tidak boleh tidur satu selimut’ dengan Pas.

“UMNO kita sebangsa, seagama, senadi, sekiblat, semengucap...rapat...kita carilah persamaan, jangan kita cari perbezaan. Atas sifat sillaturrahim mari kita berdamai,” katanya.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk di negara ini dan mendapat soko- ngan beberapa pemimpin parti itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga Menteri Besar Kelantan itu baru-baru ini mencadangkan supaya diadakan Muktamar Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada pemimpin pro-Kerajaan Perpaduan itu.

Semasa menjawab pencelahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) mengenai cara untuk mengatasi halangan untuk merealisasikan harapan itu, Mohamad berkata, kedua-dua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada dalam menghadapi sebarang cabaran.

“Yang baik tetap baik...memang yang baik cabarannya besar, hebat. Marilah dengan lapang dada kita hadapi segala cabaran demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

(berita ini diambil dari Sinar Harian Online - Bernama, 1 November 2009)

BERITA

10 resolusi perkukuh Pakatan di Perak
Dzulfikar Mashoor
IPOH, 31 Okt: Kepimpinan PAS, DAP dan PKR peringkat negeri sebulat suara bertekad memperkukuhkan Pakatan Rakyat melalui 10 resolusi bersama demi menumbangkan Barisan Nasional melalui pilihanraya akan datang.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menegaskan bahawa usaha mengukuhkan Pakatan Rakyat itu termasuk menghapuskan segala prasangka dan prejudis sesama rakan-rakan parti dalam Pakatan.

"Kita juga akan terus mengamalkan prinsip membuat keputusan secara kolektif melalui meja rundingan untuk menyelesaikan apa juga cabaran, kerana Umno senantiasa mengintai peluang untuk memecahkan Pakatan yang mendapatkan mandat rakyat," jelasnya.

Ujarnya lagi, semua parti dalam Pakatan bersetuju untuk menubuhkan Majlis Muafakat Pakatan di setiap peringkat.

"Kita (Pakatan) kalau boleh disetiap ranting, ditubuhkan jawatankuasa...di setiap cawangan dan kawasan ditubuhkan sekretariat untuk semua pemimpin setiap peringkat berusaha bergerak dengan Majlis Muafakat Pakatan," tegas Nizar lagi.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat menegaskan bahawa Majlis Pakatan yang dibentuk itu mesti sedaya upaya menghapuskan doktrin perkauman sempit (oleh) Umno dengan meningkatkan hubungan sesama rakyat, kakitangan kerajaan, ahli politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak istana sendiri.

ImageKetiga-tiga parti juga diminta fokus memilih calon yang lebih berwibawa dan berintegriti demi memastikan calon-calon tersebut kelak mampu menang majoriti di peringkat Dun dan Parlimen.

Pakatan Rakyat Perak juga bersetuju menjadikan prinsip 5K - Keadilan, Kewibawaan, Ketelusan, Kebajikan dan Kebebasan sebagai asas bekerja dan amalan sekiranya diberi peluang memerintah kerajaan Perak kelak.

Untuk memenangi pilihanraya peringkat negeri kelak, Majlis Muafakat Pakatan juga bertekad turut menjelajah ke seluruh kawasan untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat, di mana usaha mengadakan program penerangan secara bersama dipertingkatkan.

Jelas Nizar lagi, Pakatan Rakyat Perak mencadangkan gagasan Pakatan Rakyat segera didaftarkan di peringkat nasional dengan menggunakan suatu logo.

Bercakap dalam kenyataan media itu, Pengerusi DAP Negeri Ngeh Koo Ham dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Mustafa Kamil Ayub.

Dipercayai 10 resolusi tersebut dibuat sebagai persiapan awal Pakatan Rakyat untuk menempuhi pilihanraya kecil yang boleh berlaku bila-bila masa.

Gagasan 10 resolusi itu juga menjadikan Pakatan Rakyat Perak sebagai model pada Pakatan de negeri-negeri lain dan nasional kelak.


-----------------------


18 bulan Pakatan tadbir P. Pinang dengan jayanya

Dzulfikar Mashoor
IPOH, 31 Okt: Walaupun baru 18 tahun memerintah kerajaan Pulau Pinang, Pakatan Rakyat berjaya melakukan pelbagai perubahan.

Ianya termasuk menangani kemiskinan tegar rakyat yang gagal diselesaikan sejak 51 tahun Umno memerintah kerajaan negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pagi tadi menjelaskan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat telahpun melaksanakan insentif RM500 kepada setiap keluarga miskin di negeri itu.

"Umno perintah Pulau Pinang 51 tahun dengan dasar pecah (dan) perintah...mereka gagal selesaikan isu kemiskinan tegar. Kita perintah, kita pastikan setiap keluarga miskin tegar dapat RM500," tegas.

Ujarnya, Umno dan BN memperlekah dasar itu akan kerana ia akan menjadikan kerajaan bankrup.

"Mereka kata kerajaan kita akan bankrup kalau terus beri duit kepada rakyat. Kalau beri rasuah kepada mereka tak apa. Inilah dasar Umno," jelasnya lagi.

ImageKetika membentangkan kertas kerja Pengalaman Pulau Pinang: Perpaduan Kaum dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Perak, Guan Eng juga menjelaskan bahawa kerajaan negerinya mengamalkan prinsip ketuanan rakyat.

"Saya lebih suka guna perpaduan rakyat dari guna perpaduan kaum seperti Umno...kerana perpaduan kaum akan menjadikan semua kaum lebih mementingkan (dari) nilai Malaysia," tegas.

Beliau juga menjelaskan bahawa kerajaan Pulau Pinang membangunkan prasarana wireless secara percuma agar rakyat diperkasa dengan maklumat.

Tambahnya lagi, kerajaan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang juga melaksanakan beberapa dasar kebajikan untuk kepentingan rakyat.

"Di Pulau Pinang beri elaun kepada Huffaz (penghafal al-Quran)...iktiraf lebih 100 Huffaz dengan beri sijil dan elaun tertentu kerana mereka penting untuk jaga rakyat."

"Kita (kerajaan negeri) jalankan skim pinjaman mikro kredit Islam kepada ibu-ibu tunggal."

Beliau yang juga Setiausaha Agong DAP menegaskan kerajaan boleh melaksanakan kebajikan kepada rakyat kerana kerajaan negeri mengamalkan penjimatan, ketelusan dan amanah.

"Kerajaan juga boleh kongsi kekayaan dengan rakyat kerana kerajaan dapat jimat RM38 juta...12 peratus...kita tak kebas (curi), kita bagi pada rakyat."

"Kita laksana tender terbula dengan e-tender. Kalau dulu (Umno) guna kabel politik, kita (Pakatan) guna kabel komputer secara adil dan amanah."

Beliau juga menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan kerajaan negeri pertama mendapat pengiktirafan dari Agensi Transperansi Antarabangsa (TI).


------------------------


Kerjasama penuh kepada siasatan Lembaga Disiplin
Harakahdaily
SHAH ALAM, 31 Okt: Ketika Lembaga Disiplin PAS mula bermesyuarat hari ini, Pemuda PAS Selangor menyeru semua ahlinya agar memberikan kerjasama sepenuhnya kepada lembaga ini.

Dalam kenyataannya, Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Hasbullah Ridzuan turut menyeru semua peringkat khasnya para blogger menulis untuk mencari titik penyelesaian dalam konflik yang ada.

"Kami menyeru agar semua ahli dan blogger yang cintakan PAS sebagai sebuah jemaah Islam serta harakah Islamiyyah yang sedang berjuang untuk mendaulatkan islam menulis dengan pendekatan mencari titik pertemuan, merapatkan jurang perbezaan bukan menjarakkan lagi jurang penyelesaian dan ukhwah," kata Hasbullah dalam kenyataannya itu.

Hasbullah dipercayai mengulas keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini yang mengarah Lembaga Disiplin PAS menyiasat PAS Selangor.

Ini ekoran dari beberapa dakwaan yang melibatkan aktiviti, kenyataan dan tindak tanduk kepimpinan PAS negeri itu yang dianggap merugikan PAS.

Dalam kenyataannya kepada Harakahdaily semalam, Ketua Lembaga Disiplin PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, lembaga itu akan memulakan sidangnya jam 10.30 pagi hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menyebutkan di mana sidang itu akan berjalan dan menegaskan tidak akan ada sebarang kenyataan kepada media sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

Menurut Hasbullah, Dewan Pemuda PAS Selangor menerima keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung di Pejabat Agung PAS pada 28 Oktober 2009 bagi menangani persoalan dan kemelut dalam PAS yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Dewan Pemuda PAS Selangor, katanya, juga meraikan keputusan menyelesaikan permasalahan dalaman melalui siasatan oleh Lembaga Disiplin parti. Dengan ini, tidak berbangkit lagi soal EGM (mesyuarat agung luarbiasa) kecuali jika ada keperluan dan menepati syarat yang ditetapkan.

"Kami juga berbangga dengan kepimpinan PAS Selangor kerana telah akur dengan keputusan mesyuarat khas itu dan telah menyatakan kesediaan untuk disiasat serta memberi jaminan kerjasama yang baik demi membersihkan parti dari segala salah faham dan fitnah yang berlaku," katanya.

Sehubungan dengan itu, Pemuda PAS Selangor berharap dan menggesa ahli pemuda semua peringkat agar turut mematuhi keputusan mesyuarat khas tersebut dengan tidak membuat sebarang spekulasi, kenyataan peribadi atau menyalakan kembali api fitnah menerusi apa jua media terbuka yang tidak sepatutnya seperti blog dan lain-lain.

"Kami berharap, jika ada sebarang kes yang difikirkan perlu ditangani, hendaklah didahului dengan kaedah yang terbaik mengikut adab-adab berjemaah serta ukhwah islamiyyah yang telah digarap sekian lama. Sekiranya perlu, kumpul bukti untuk dikemukakan aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Parti, agar jelas adakah ianya tuduhan yang berasas atau sekadar sangkaan yang keliru.

"Kami juga bersetuju dengan gesaan PAS Selangor agar Jawatankuasa Disiplin Parti membuat penyiasatan secara menyeluruh dan membersihkan PAS daripada anasir yang membarahi PAS seperti mengambil tindakan yang tegas terhadap ahli-ahli yang mendedahkan rahsia parti kepada umum melalui ceramah, penulisan, saluran media dan blog mahupun ulasan dalam akhbar dan lain-lain.

"Jika ada sepuluh orang yang bermesyuarat, jangan ada orang kesebelas yang mengetahui isi kandungan mesyuarat yang bersifat rahsia tersebut," katanya.

Dewan Pemuda PAS Selangor menyeru kepada semua ahli parti agar menumpukan gerakerja dakwah dan pengukuhan dalaman serta tidak membicarakan isu ini bagi mengelak berlaku salah faham dan kekeliruan yang berpanjangan sehinggalah proses penyiasatan dan pendakwaan selesai. _

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 1 November 2009)




SISIPAN SEJARAH



MAFILINDO DAN MALAYSIA


Cita – cita mula bangsa Melayu yang telah berjuang mati – matian untuk mencapai kemerdekaan atau dalam lain erti, melepaskan negeri (belum bertaraf negara) dan rakyat daripada belenggu penjajah secara isi kulit, termasuk untuk membentuk sebuah kerajaan Melayu yang ada tali menalinya dengan Melayu Raya, iaitu sebuah Ikatan Kerajaan Melayu yang menghubungkan semula negara – negara jiran tetangga, iaitu Indonesia, Filipina dan Selatan Thailand.

Oleh kerana pejuang – pejuang Melayu ditekan oleh beberapa anar dan pengaruh, maka, cita – cita itu terpaksalahtinggal terpendam begitu sahaja dan hanya berkubar – kubar dalam hati masing-masing.

Sejak pada zaman belum melepaskan negeri ni lagi, Kerjajaan In ggeris memang mencurigai hal itu (Melayu Raya). Inggeris khuatir akan penubuhan Melayu Raya itu, kerana dengan penubuhan Melayu Raya itu pengaruh Inggersi akan hilang langsung dari Asia Timur ini dan kerajaan Melayu dari tiga atau empat negara ini akan menguasai segala bidang siasah (politik) dan ekonomi di rantau ini.

BOLEH DIPULAS TELINGA

Inggeris lebih takut lagi kalau Melayu Raya itu meliputi negara – negara lain yang termasuk dalam istilah Melayu, iaitu Thailand, Burma, Kebodia dan Indocina.

Kalau ini benar – benar belaku, Inggeris benar – benar tercekek dan benar – benar terbelenggu pengaruhnya di tengah rahang bangsa yang besar di Asia Tenggara.

Di mana – mana Inggersi menjadi penghalang dalam hal ini.

Keinsafan timbul lagi dalam hati bangsa Melayu. Mereka terus menerus berusaha untuk mencipta negara kumpulan yang baru itu. Negara yang merupakan kesatuan yang kukuh sebagai mana Asia – Afrika - Afro - Asia - dan beberapa badan di dunia,

Dalam gelora penubuhan Malaysia yang diusahakan oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra (salah seorang dari beberapa pemimpin di dunia ini yang boleh dipulas telinga oleh Inggeris) dengan kehendak dan persetujuan Kerajaan Inggeris untuk membebaskan Sabah, Sarawak dan Singapura dan dimasukan ke dalam Malaysia, maka di (peringkat) permulaan hingga pertengahan tahun 1964 timbullah usaha menubuhkan MAFILINDO (Malaysia, Filipina , Indonesia) dan akhirnya MAFILINDO lahir dalam bulan– bulan dalam tahun tersebut.

KACA MATA POLITIK

Pembentukan MAFILINDO ini dicapai dalam pertemuan antara tiga negarawan di Manila, iaitu Tunku Abdul Rahaman, Presiden Soekarno dan Presideen D.Makapagal.

MAFILINDO ini juga terbentuk benar – benar dalam gelora pemerintah Indonesia dan rakyatnya melaung – laung kepada dunia untuk mengganyang Malaysia yang dibentuk oleh Tunku Abdul Rahman yang dipandang di segi kaca mata politik Indonesia merupakan penjajahan bentuk baru dan alat Inggeris.

Walau Bagaimanapun persetujuan pembentukan MAFILINDO ini telah berlaku. Ketiga – tiga negarawan itu telah menanda tangani persetujuan itu. Istiada menandatanganinya dilakukan di Manila.

Pada hari – hari kebelakangan dari peristiharan terbentuknya MAFILINDO itu, dunia buka mata dan penjajah telah begitu runsing dan pegawai – pegawai tanah jajajahan menggaru – menggaru kepala dan mereka nyata dalam kegelisahan.

MELAUNG KEPADA DUNIA

Oleh kerana Malaysia diistiharkan sebelum masa yang ditentukan atau disetujui oleh dua negarawan lagi – Soekarno dan D. Makapagal, maka MAFILNDO yang begitu menakutkan semua pegawai penjajah Inggeris itu ibarat pokok yang kepanasan tanpa hujan membasahinya dan MAFILINDO pupus. Failnya disingkirkan ke tepi dan timbullah permusuhan antara dua buah negara, iaitu Malaysia yang baru dibentuk dengan Republik Indonesia yang tidak menyetujui Malaysia, gagsasan Tunku Abdul Rahman (dengan kehendak Inggeris?).

Filipina juga menggunakan kesempatan dalam api kemarahan Indonesia itu dengan melaung kepada dunia yang mereka mahu bertindak untuk menuntut Negeri Sabah daripada Kerajaan Malaysia dan hal ini, oleh Filipina mahu membawa ke Mahkamah Dunia. Atas tujuan ini Filipina pun menyifatkan Malaysia sebagaimana yang disifatkan oleh Indonesia.

Apabila dunia mengetahui tentang kegagalan MAFILINDO, maka negara penjajah gembira dan pegawai – pegawai Pejabat Tanah Jajahan ketawa berdekah – dekah.

Sebenarnya MAFILINDO merupakan corak dan bentuk dan tujuan Melayu Raya, iaitu menyatukan semua kerajaan negara – negara yang ditentukan itu dalam satu ikatan persahabatan yang kuat dan kukuh serta menegakkan Kerajaan Melayu yang kuat dan utuh.

WILAYAH DI SELATAN THAILAND

Inggeris pula khuatir, MAFILINDO akan mengancam harta bendanya dalam semua negeri dan negara yang termasuk dalam MAFILINDO ini. Hilangnya harta benda itu bererti melumpuhkan tenaga ekonomi Inggeris, sementelah pula negara – negara Afrika menggugatnya.

Soekarno dan D. Makapagal mempunyai idea yang bersendirian, iait, menakala terbentuknya MAFILINDO, maka gabungan negara – negara itu akan menggugat Kerajaan Siam agar memberi kemerdekaan kepada empat wilayah di Selatan Thailand.

Dua tujuan lagi, ialah untuk menyatukan negara – negara dalam wilayah ini seperti Kambodia dan Indochina masuk dalama ikatan MAFILINDO dan ikatan negara ini akan tinggal sebagai negara blok berkecuali, iaitu tidak ke barat yuang terkenal dengan kapitalismenya dan kee timur yang tekenal dengan sosialisme dan komunismenya,

Manakala MAFND berdiri dengan utuhnya. Bangsa Melayu akan merupakan satu bangsaa yang benar – benar berdaulat dan akan berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa – bangsa di dunia.

Bangsa Melayu akan dapat bertegak dalam bidang politik, ekonomi, kebudayaan dan perikemanusiaan. Dan kerajaan Melayu yang masyhur sebagaimana kerasjaan Melayu pada zaman silam akan lahir dengan megah melalui MAFILINDO.

MAFILNDO telah punah dan wujud Malaysia. Individu – individu Melayu yang sedar dan insaf akan maruah diri, masih tertanya; sesungguhnya kita ini siapa?


(Dipetik dari buku (Jawi), Bangsa Melayu Menggugatr Dunia (1966), oleh : Mokhtar Petah)

SASTERA MELAYU



HATI YANG MENJERIT


Pagi Ahad akhir bulan Februari 2005.

Taman Mawar – Rose Garden, berselimut kabus dingin.Embun manja pada dedaun dan bebunga seperti liat untuk berpisah.Harum mawar berbaur dengan kabus dan udara pagi suci itu.

Rose Garden masih belum ramai pengunjungnya.i Biasanya pada pagi minggu ramai orng yang berkunjung ke situ. Mereka datang menyaksikan beraneka jenis bunga mawar dalam taman tersebut.Harum taman itu menyegarkan fikiran mereka yang lesu.

Namlatun Sa’adiah berjalan tunggal dalam Taman Mawar itu. Kedatangannya ke situ untuk melagakan resah dan gelisahnya.Dalam cuaca dingin yang menyelubungi taman itu, dia memerhatikan kuntum-kuntum bunga mawar di kiri kanannya. Kuntum-kuntum itu berwarna merah. Samar. Merah tua. Kuning. Jingga. Putih dan warna-warna lain lagi.

Sepasang mata Namlatun Sa’adiah terpaku kepada sekuntum bunga mawar merah tua bergayut di tangakainya. Hatinya lantas teringat kepada Mustafa. Pada hari dia dan Mustawa datang ke taman itu dulu, kekasihnya telah memegang dan mengusap-usap sekutum bunga mawar merah tua di situ.

“Atun, bunga mawar merah darah ni lambang cinta kita,” kata Mustafa.

Namlatun Sa’adiah merenung kuntum bunga itu.

“...ngapa, abang?” Dia bertanya.

“Merah tua..., warna darah kita..., darah Atun..., darah saya...,”jawab Mustafa.

“Ia, abang, biasanya warna darah berubah bila kena cahaya matahari...,”kata Namlatun Sa’adiah.

“Ia, warna darah berubah, jadi hitam..., macam cinta kita juga...,”kata Mustafa.

“Ngapa abang kata begitu?”Namlatun Sa’adiah bertanya.

“ Cinta kita akan jadi hitam, gelap kalau gagal di tengah jalan...,”jawab Mustafa.

“Apa, abang ingat cinta kita akan gagal?”Namlatun Sa’adiah bertanya.

“...mungkin gagal, mungkin tidak..., Allah Maha Mengetahui, Aton,”jawab Mustafa.

“Sungguh, kita di bawah kuasa Tuhan,”kata Namlatun Sa’adiah.

Mustafa merenung wajah Namlatun Sa’adiah. Senyum. Sepasang biji matanya bersinar. Sinaran dari hatinya yang amat menyayangi kekasihnya.

“Atun...,”

“Ia, abang”

“Bunga ros ni cantik, tapi tangkai, dahannya berduri.”

“Orang yang tak takutkan duri saja yang berani petik bunga ni.”

“Berani..., tabah...”

“Ia, abang, ros lambang cinta kita, kata abang.”

“Sungguh, ...kalau berani bercinta, berani kecewa kerana cinta...”

“Atun berani, abang.”

“Sunguh?”

Namlatun Sa’adiah mengangguk.Mustafa senyum.

Pada pagi itu Namlatun Sa’adian tidak berteman. Tiada Mustafa di sampingnya. Yang ada bersamanya, hanya duka dan lara. Lara seorang gadis yang ditinggalkan kekasih.

Setelah penat berjalan dalam taman itu, Namlatun Sa’adiah mengatur langkahnya ke sebuah bangku panjang di situ, lalu melabuhkan punggungnya atas bangku itu.Beberapa buah bangku di sekitar lorong taman itu diduduki oleh pengungjung-pengunjung lelaki dan perempuan. Mereka itu, ada yang sedang membaca buku. Majalah. Ada yang bercakap-cakap sesama mereka.

Namlatun Sa’adiah mengeluarkan dua helai kerta dari tasnya.Kertas itu telah diberi oleh Mustafa kepdanya pada beberapa bulan lalu. Dia telah membawa kertas itu ke mana-mana. Kertas itu menjadi seperti azimat membetah duka laranya. Pada kertas itu tercatat baris-baris sajak ‘Ratib Bahasa’. Sajak itu tidak tercatat nama penulisnya. Dengan berbisik Namlatun Sa’adiah membacanya.

Tahun keramat empat puluh lima,

‘Satu bangsa, Bangsa Melayu,

Satu negara, Negara Melayu,

Satu bahasa, Bahasa Melayu,

Islam agama negara,

Gema ratib para pejuang kita,

Melayu Nusantara,

Ibrahim Yaakob, Ishak Haji Muhammad,

Burhanuddin Helmi, Abu Bakar Al Baqir,

Ahmad Boestamam,

Semua perjuang bumi bertuah.

Ratib bahasa, Bahasa Melayu,

Bahasa ibunda, bahasa berdaulat,

“Melayu tak hilang di dunia”.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ratib kita, jerkah kita, pekik gempita,

‘Bangsa Melayu gugat dunia’.

Empat lapan dan lima puluhan,

Tahun-tahun penjajah menggila,

Ratib mereka, ratib kita,

Bangsa kita, negara kita, bahasa kita,

Jeriji besi, tembok batu, kawat berduri,

Dera mental, dera pasaikologi.

Khemah tahanan di mana-mana,

Belenggu pejuang-pejuang bangsa,

Ratib mereka, ratib kita, ratib wali.

Tahun keramat lima puluh enam,

‘Biduk lalu kiambang bertaut’

Kongres bahasa dan Persuratan Melayu,

Ratib bahasa ibunda, ratib berdaulat,

Wajud DBP, gedung keramat ratib bahasa,

Ratib pencinta bahasa ibunda,

Bahasa Melayu, Bahasa Negara,

Bahasa Jiwa Bangsa!

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Ratib anak Melayu setia,

Bahasa kita laksana pohon di rimba,

Musuhnya bahasa asing,

Bahasa dunia,

Ibarat rambung, jerai,dendalu,

Menumpang setia,

Akibatnya, pohon mati, hilang nama.

Ratib insaf, ratib waspada,

Hilang bahasa, peradaban kita,

‘si buta hilang tongkat’, ialah kita,

‘menang sorak kampung tergadai, adalah kita,

“dagang merempat di bumi sendiri, kita jua.

Ratib bernekad, ratib iktikad,

Jika Islam di tepi-tepikan,

Quran tidak jadi pegangan,

Sunah rasul diabaikan,

Ratib keramat ‘Allahu Akbar’,

Sekelip mata cuma,

Melayu hilang di dunia.

Air jenih membenak dalam dua telaga mata Namlatun Sa’adiah.Tangan kanannya menghurut-hurut dadanya. Rungga dadanya sebak. Bagai sauk dilanda banjir dalam alur. Sedih. Pilu memamah dirinya. Sedih kerana mengenangkan Mustafa. Teringatkan Ibunya. Menginsafi nasib bangsanya.

Namlatun Sa’adiah telah membaca banyak kisah dalam sejarah umat manusia di dunia. Kisah sejarah yang dikemukakan oleh Allah dalam Quran.Kejatuhan, kemusnahan dan ghaib sesuatu bangsa di dunia ini kerana mereka mengingkari hukum-hukum Tuhan.Mengabaikan agama Tuhan. Menghina dan meninggalkan agama yang dibawa oleh para rasul Allah.

“Kaum Nabi Nuh dimusnahkan banjir.”

“Kaum Luth musnah terbakar...Buminya mussnah, hanya tinggal laut mati.”

“Firaun..., tenggelam dalam laut merah, kaumnya binasa.”

“Kaum ‘Ad dibinasakan dengan ribu taufan.”

Allahu Akbar, banyak lagi bangsa di dunia ni dah musnah...”

“...ya, Allah, lindungilah bangsaku....”

Suara Namlatun Sa’adiah terluah bersama keluhannya. Air matanya tumpah atas kedua-dua belah pipinya yang lesi.

Sebagai penuntut Melayu di seberang laut, Namlatun Sa’adiah sentiasa mengikuti berita-berita dari negaranya.Dari berita-berita itu didapatinya; ada di kalangan Orang Melayu sendiri yang sedang menghapuskan hukum-hukum Tuhan. Menghina Agama Islam. Ramai pula yang murtad.

Air mata masih mengalir atas sepasang pipi Namlatun Sa’adiah.Sedih masih mendera dirinya.

“Allah, tunjukkanlah kepada bangsaku, umat Islam, jalan yang benar...,”bisiknya lagi.

Beberapa orang perempuan yang duduk atas bangku di hadapan Namlatun Sa’adiah merenung kepadanya.Mereka tidak menghiraukannya.Bagi mereka; Rose Garden menjadi tempat para remja membawa hati yang menjerit ddn melolong kerana putus cinta.

Namlatun Sa’adiah memasukkan semula kertas-kertas sajak itu ke dalam tasnya. Sambil merenung ke sekitar taman mawar itu, dia bangun dari bangku itu.Tubuhnya masih menggigil kedinginan.

Telefon tangannya menjerit. Ditekapkan telefon itu ke telinganya. Suara Anisah Johan memanggilnya.

Dari bangku panjang itu, Namlatun Sa’adiah berjalan lemah. Dua puntung kakinya bagaikan diheret keluar dari taman mawar yang harum itu. Di pintu masuk ke taman tersebut, dia membisikkan lagu, “mawara merah...”. Lagu itu sering dibisik-nyanyikan oleh Mustafa ke telinganya.

(Cerita ini disdunting dsari manuskrip novel, Kelip - Kelip Di Kota London, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)

SIAPA DIA INI?


MEDIA MAHU TAHU


Seiapa yang tahu dan kenal orang ini,
apa peranannya kepada rakyat,
bertanggungjawab atau tidak kepada tugas yang diamanahkan ke atasanya,
harap memberi sedikit maklumat kepada:
mokhtarpetah@hotmail.com.

ADUN CHENDEROH

Komen kepada:
Facebook (Mokhtar Petah)

BERITA

Lembaga Disiplin PAS bersidang esok
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 30 Okt: Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya.

"Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily.

Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS.

"Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim.

Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor.

ImageArahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam.

Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti.

Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini.

Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi.

Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau.

"Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja.

Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.


-------------------------------


Pinda ISA, bukan hasrat rakyat-GMI
Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 30 Okt: Gerakan Mansuh ISA (GMI) menegaskan keputusan kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersandarkan sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat Malaysia.

Malah NGO terbabit langsung tidak dilihat mewakili rakyat terbanyak, tetapi mereka adalah penyokong setia dasar kerajaan.

"Kelab Penyokong BN dan BTN (Biro Tata Negara)...mewakili suara rakyat, atau memang pertubuhan yang jelas menyokong dasar-dasar kerajaan dan Umno seperti sokong ISA," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh ketika dihubungi Harakahdaily.

"Hishamuddin jemput beberapa pertubuhan yang sudah menyokong kerajaan bersama Majlis Peguam Negara. Walaupun Majlis Peguam tidak bersetuju, masih tidak memadai untuk kerajaan putuskan seluruh rakyat sokong ISA."

Ujarnya, sekiranya kerajaan jujur mahu mendengar suara rakyat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sewajarnya turut menjemput GMI untuk memberi pandangan tentang akta tersebut.

Ini kerana pertubuhan tersebut sejak tahun 1987 lagi lantang menentang ISA dan layak memberi pandangan tentang akta tersebut.

"GMI bukan sebuah NGO, tapi sebuah gabungan 87 pertubuhan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun Kerajaan, parti-parti politik, badan wanita dan beberapa pertubuhan pelajar," jelasnya.

"Dalam GMI ada JiM (Jamaah Islah Malaysia), keahliannya 10 ribu orang. Parti PAS, PKR, DAP yang bersama GMI semuanya tentang ISA, jika minimum ahli satu juta, bermakna sudah ada lebih tiga juta. Ini baru mencerminkan suara sebenar rakyat."

Tambahnya lagi, Hishamuddin juga sepatutnya memanggil NGO berlatarbelakangkan perundangan dan hak asasi menusia, seperi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).

Beliau juga menasihatkan Hishamuddin agar melihat bersama beberapa penanda aras yang lain, selain pendirian beberapa NGO terbabit.

"Satu lagi aras tanda, lebih 40 hingga 50 ribu rakyat berhimpun aman desak ISA dimansuhkan pada 1 Ogos lalu, sedangkan penyokongnya (pro ISA) boleh dibilang dengan jari, maksudnya jumlahnya cukup kecil."

"Satu lagi aras tanda, keputusan PRU (pilihan raya umum) lepas, kita (GMI) percaya kempen anti ISA adalah salah satu faktor BN hilang majoriti besar di Parlimen dan hilang empat negeri (Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang) lagi."

Ekoran keputusan Hishamuddin itu juga, Said Ibrahim bercadang mengadakan suatu dialog tergempar di Parlimen demi melobi para Ahli Parlimen menolak draf pindaan ISA kelak.

Semalam, Bernama melaporkan Hishamuddin mahu meminda iSA sahaja, setelah mendapat sokongan dari Kelab Penyokong Barisan Nasional, BTN, Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO).

Hishamuddin juga dilaporkan yakin membentangkan draf pindaan akta itu untuk bacaan pertama dalam sidang parlimen sekarang.

Tegasnya lagi, akta tersebut diperlukan demi mempertahankan keselamatan negara dari ancaman militan dan pengganas.

Sekiranya pindaan pada akta tersebut masih mengekalkan amalan 'tahanan tanpa bicara' bermakna akta tersebut akan kekal diprotes oleh rakyat, termasuk GMI.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily,31 Oktober 2009)


BERITA



Tindakan tanpa kira kedudukan: Najib

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan petugas itu diluluskan Kabinet semalam dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

“Kabinet memandang serius laporan itu. Jawatankuasa itu akan juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah, tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri. :

Najib berkata, mereka diberi kuasa meminta bantuan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu.

“Saya mahu tekankan di sini kami bukan berniat mencari kesalahan sesiapa, tetapi mahu memastikan mereka yang melakukan kesalahan tidak terlepas. Kami akan menggunakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan, tetapi jika terdapat kes yang kami tidak boleh bawa ke mahkamah, kami akan gunakan tindakan pentadbiran, seperti diturunkan pangkat atau dipindahkan,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan akan dilakukan secara adil dan mengambil kira semua faktor dan keadaan.

“Kami akan memberi peluang secara adil untuk mereka yang berkenaan mempertahankan diri. Pasukan petugas akan diberikan kuasa memanggil siapa sahaja yang difikirkan sesuai untuk memberi keterangan.

“Kami mahu menunjukkan bahawa mereka yang berada dalam sistem pentadbiran kerajaan tidak terlepas jika mereka mengeluarkan arahan salah kepada kakitangan bawahan.

“Kabinet berpendapat tindakan perlu diambil kerana kami tidak mahu kesilapan berulang setiap tahun dan hanya dipaparkan dalam laporan Ketua Audit Negara tanpa tindakan serius terhadap pelaku kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan petugas akan mengadakan mesyuarat pertama Isnin ini dan meneliti laporan secara berperingkat, mengikut kes demi kes.

Najib menegaskan, kerajaan komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan awam yang menyalahgunakan kuasa ketika berkhidmat.

“Saya tahu kami tidak boleh mencapai sifar penyelewengan tetapi kami boleh mengurangkan perbuatan seperti itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sementara bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan ketika bekerja, kerajaan juga akan memberikan ganjaran kepada mereka yang berkhidmat dengan cemerlang.

“Kami bukan hanya menghukum, tetapi juga memupuk budaya prestasi tinggi di mana mereka yang menjalankan kerja cemerlang akan diberi ganjaran,” katanya.


----------------


ISA: Teliti lima perkara

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Majlis Peguam perlu meneliti terlebih dahulu lima perkara yang sering menjadi pertikaian membabitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum meminta akta itu dihapuskan.

Beliau berkata, sekiranya lima perkara itu dapat memenuhi kebimbangan mereka melalui pindaan akta tersebut, maka akta baru tidak perlu digubal.

Katanya, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan pertemuan yang diadakan dengan beberapa pihak sebelum ini berhubung cadangan pindaan ke atas ISA.

“Jadi dalam hal ini, sesi kita untuk berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan, merupakan satu pendekatan yang baik dan membawa hasil yang membantu daripada kita membuat pendirian yang beremosi atau berdemonstrasi di tengah-tengah jalan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian di sini, semalam.

Lima perkara itu ialah membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri, persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli politik, ahli Parlimen serta individu.

:Semalam, dalam pertemuan awam Hishammuddin dengan beberapa pihak termasuk Majlis Peguam, majlis itu tetap dengan pendiriannya mahu ISA dihapuskan dan satu akta baru dibentangkan di Parlimen.

Hishammuddin berkata, draf pindaan akta itu kini di peringkat akhir dan cadangan daripada pelbagai pihak berhubung pindaan akta tersebut masih dialu-alukan.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 80 peratus permohonan membabitkan kewarganegaraan, pendaftaran lewat kelahiran dan pemastautin tetap (PR) telah dapat diselesaikan dan selebihnya akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

Bulan lalu, 70 peratus daripada 143,099 permohonan membabitkan taraf kewarganegaraan, permit masuk dan pendaftaran lewat sijil kelahiran yang tertunggak sehingga Januari lalu telah siap diproses.

Permohonan paling banyak diterima adalah pendaftaran lewat sijil kelahiran melibatkan 93,360 permohonan manakala taraf kewarganegaraan adalah 32,927 permohonan dan 16,812 permohonan untuk permit masuk.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online - Bernama, 31 Oktober 2009)

BERITA


MIC, MCA tak setuju sistem pendidikan satu aliran

KUALA LUMPUR: MIC dan MCA menentang cadangan melaksanakan sistem pendidikan satu aliran, dengan mengatakan bahawa sekolah jenis kebangsaan yang ada sekarang tidak akan menghalang usaha ke arah mewujudkan perpaduan nasional.

Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu hari ini berkata, sekiranya cadangan itu dikemukakan dalam usaha menjalin perpaduan kaum, ada banyak cara lain lagi untuk melakukannya dan bukan melalui sistem pendidikan satu aliran.

"Bagi sekolah Tamil, pelajar (India) akan berpeluang bergaul dengan kanak-kanak daripada kaum lain apabila mereka memasuki sekolah menengah," katanya kepada pemberita sebelum menyerahkan cek bernilai RM1 juta kepada lebih 50 kuil Hindu, di sini.

Samy Vellu mengulas mengenai isu itu yang dibangkitkan baru-baru ini oleh tokoh akademik dan sejarawan, Tan Sri Prof Emeritus Dr Khoo Kay Kim.

Beberapa Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang menyokong sistem satu aliran itu ketika di Dewan Rakyat pada Rabu lalu.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata beliau mahu semua pihak supaya meneruskan perbincangan mengenai perkara itu supaya semua cadangan berhubung perkara itu boleh diteroka.

Samy Velly berkata sistem sekarang berjalan dengan baik, sambil menambah adalah tidak wajar untuk "menjolok sarang tebuan" apabila persetujuan telah pun dicapai semasa Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri bahawa sekolah jenis kebangsaan akan dilindungi dan dibenarkan wujud.

Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong berpendapat sistem persekolahan pelbagai aliran patut diteruskan kerana ia tidak akan menjejaskan perpaduan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

"Ia bukan penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya bantu menerapkan semangat bersatu padu di kalangan masyarakat majmuk," kata Wee kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemuda MCA di Wisma MCA hari ini.

Dr Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata walaupun bahasa pengantar di sekolah pelbagai aliran bukannya bahasa kebangsaan namun ia tidak menggugat pelajar untuk menghayati konsep 1Malaysia.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online - Bernama, 31 Oktober 2009)