BERITA

Syor Nik Aziz tak masuk akal

Oleh Nazura Ngah dan Haspaizi Mohd Zain
bhnews@bharian.com.my


MENTERI Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berjumpa dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub di perkarangan Masjid Noor Aini, Kota Bharu, Kelantan, selepas menunaikan solat Zuhor di Jalan Pasir Hor, kelmarin. - Foto Zaman Huri Isa

Ketua Dewan Ulama syak Mursyidul Am Pas dipengaruhi pihak lain

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata cadangan mengadakan mesyuarat agung khas (EGM) untuk mengubah kepemimpinan parti adalah tidak masuk akal kerana Pas tidak menghadapi masalah pucuk pimpinan.

Beliau juga mendakwa cadangan menerusi blog Mursyidul Am, Datuk Nik Aziz Nik Mat supaya parti mengadakan EGM itu ditulis dan dipengaruhi oleh pihak lain.

Pesuruhjaya Pas Terengganu itu juga berkata parti hanya akan mengadakan EGM untuk meminda perlembagaan parti dan bukan untuk 'mengubat parti' yang dikatakan sedang berdepan masalah.

"Tidak ada sebab untuk Pas mengadakan EGM. Tidak ada angin bertiup... pokok pun tak bergoyang, macam mana boleh tiba-tiba nak buat EGM kononnya nak tiru macam MCA dan Umno.

"Saya tidak boleh terima kerana Pas masih sihat, semakin sihat dan semakin mendapat sokongan sama ada orang Melayu mahupun bukan Melayu. Kalau nak kata untuk memperkasakan parti... parti sudah perkasa. Kalau nak selesaikan masalah, parti tidak ada masalah.

"(Oleh itu) idea EGM tidak masuk akal dan tidak berasas. Malah, tidak mungkin Nik Aziz mengemukakan idea itu kerana hujahnya sering berlandaskan al-Quran dan sunnah," katanya ketika dihubungi semalam.

Jumaat lalu, dalam blognya Nik Aziz mencadangkan supaya EGM diadakan bagi menukar 'dua tiga kerat' pemimpin parti itu yang bermasalah. Tiga pemimpin yang dinamakan beliau ialah Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali.

Kelmarin, Nik Aziz berkata beliau tidak akan menarik balik cadangan itu, sebaliknya tetap mahu EGM diadakan walaupun ada pemimpin Pas tidak bersetuju.

Harun juga berkata, sehingga kini beliau percaya kenyataan dalam blog itu ditulis oleh orang lain, bukannya Nik Aziz.





------------------

Komited AFTA dilaksana 2010


Najib Tun Razak bersama pemimpin negara Asia dan Asia Timur pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15 di Hua Hin, Thailand, semalam. Turut kelihatan, Presiden Filipina, Gloria Macapagal Arroyo dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong. – BERNAMA


HUA HIN, Thailand 25 Okt. – Malaysia komited untuk merealisasikan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) pada Januari tahun depan apabila tinggal hanya 89 produk yang belum dimansuhkan tarif cukai sepenuhnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, barangan tersebut dikategorikan sebagai sensitif, dan perkembangan itu menunjukkan negara boleh dikatakan telah mencapai tujuan AFTA.

Katanya, terdapat negara yang terkebelakang dalam pemansuhan tarif terutamanya melibatkan barangan pertanian.

Malaysia, menurut Perdana Menteri juga telah bertindak menambah 65 subsektor untuk diliberalisasikan seperti yang dipersetujui Kabinet baru-baru ini.

Najib berkata demikian pada sidang media selepas tamatnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-15 di sini, hari ini.

Ditanya rumusan persidangan tiga hari bermula kelmarin, Perdana Menteri memberitahu, antara perkara penting yang dipersetujui adalah berkaitan perlunya digubal peraturan seragam (SOP) bagi menyelaraskan bantuan bencana alam kepada negara anggota.

Katanya, dengan adanya SOP bagi pusat tindak balas kecemasan dan bantuan bencana di Jakarta, pelbagai kesulitan yang timbul ketika pengagihan bantuan kepada negara yang terlibat dapat diatasi.

Selain itu, Najib berkata, sidang kemuncak yang berlangsung termasuk sidang kemuncak berkaitan membawa keputusan positif dan menjadi penanda aras dalam matlamat pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN menjelang 2015.

Katanya, anggota-anggota Sidang Kemuncak Asia Timur iaitu China, Jepun, Korea Selatan, Australia, India dan New Zealand juga mahu melihat integrasi ekonomi mereka dengan ASEAN dipertingkatkan.

Mengenai Komuniti Asia Timur dan Komuniti Asia Pasifik, yang masing-masing dicadangkan oleh Jepun dan Australia, Najib berkata, tiada keputusan mengenainya dibuat oleh para pemimpin tetapi satu kajian mendalam akan dilakukan.

‘‘Kita tidak menolak apa-apa yang membantu kesejahteraan dan kemakmuran Asia dan Asia Pasifik,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, hasil pertemuan di peringkat pemimpin mewakili Asia Timur menunjukkan rantau itu yang dijangka menjadi kawasan pertumbuhan ekonomi dunia dalam masa terdekat, memerlukan model ekonomi yang baru.

Katanya, rantau itu akan dijadikan tapak perkilangan barangan eksport ke negara-negara barat dan adalah penting untuk komuniti ASEAN melibat sumber pertumbuhan baru itu dengan menyediakan keperluan sumber manusia.

Menurut Perdana Menteri, tanggapan bahawa abad ke-21 akan menjadi Asian Century semakin ketara apabila Asia Timur membantu proses pemulihan ekonomi global.

(Berita ini diambil dari Utusan Online, 26 Oktober 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment