BERITA

BN lawan Pas


TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjulang tangan Isa bersama Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan dan pemimpin Barisan Nasional sebelum masuk ke pusat penamaan calon di Port Dickson, semalam.

Calon Bebas gagal bawa pencadang, penyokong

PORT DICKSON: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada 11 Oktober ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Calon BN, Tan Sri Mohd Isa Samad, 60, akan ditentang calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar, 45.

Bekas Ahli Jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) Telok Kemang, Shahruddin Abdul Hamid, 55, yang sebelum ini mahu bertanding sebagai calon Bebas kecewa dalam percubaannya kerana gagal membawa pencadang dan penyokong yang tinggal di kawasan DUN Bagan Pinang.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Bagan Pinang, Abdul Wahab Shamsuddin, mengumumkan senarai calon yang layak bertanding pada jam 11.20 pagi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), semalam.

"Kami menerima tiga bantahan ke atas kedua-dua calon itu selepas tempoh bantahan ditutup, tetapi tiada calon ditolak pencalonannya," katanya.

Mohd Isa yang juga Ketua Umno Bahagian Telok Kemang dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun serta pernah menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, bertanding pertama kali di Bagan Pinang selepas mewakili DUN Linggi mulai 1978 hingga 1999. Beliau kemudian bertanding di Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum 2004.

Zulkefly Mohamad yang juga seorang peniaga ialah Pesuruhjaya Pas Negeri Sembilan.

Beliau mempunyai pengalaman bertanding di DUN Lenggeng dalam Parlimen Seremban pada Pilihan Raya Umum 1999, 2004 dan 2008 tetapi tewas dalam ketiga-tiga pilihan raya itu.

Proses penamaan calon dihadiri kira-kira 10,000 penyokong dari kedua-dua parti bertanding yang berlangsung dalam suasana tenang dengan penyokong mula berkumpul sebelum jam 7 pagi.

Semua penyokong parti berkumpul di Jalan Pantai di depan pejabat MPPD dengan penyokong BN berkumpul dari arah bandar Port Dickson, manakala penyokong Pas berkumpul dari arah Telok Kemang.

Bagaimanapun, kekecohan berlaku apabila Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Azeez Rahim, mendakwa dikasari sekumpulan penyokong pembangkang menyebabkannya lebam di leher.

Hujan lebat kira-kira jam 8.30 pagi menyebabkan penyokong basah kuyup dan Zulkefly Mohamad yang diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan beberapa pemimpin PKR dan DAP bergegas masuk ke pekarangan Dewan MPPD, pada jam 8.35 pagi.

Bagaimanapun, hujan berhenti ketika Mohd Isa tiba kira-kira jam 8.50 pagi. Beliau ketika itu diiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Antara pemimpin BN lain yang hadir ialah Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas.

Sementara itu, kekecohan kecil berlaku apabila Shahruddin yang tiba seorang diri kira-kira jam 9.12 pagi tidak dibenarkan memasuki Dewan MPPD kerana tidak membawa pencadang dan penyokong.

Bagaimanapun, campur tangan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Mazlan Othman, membolehkan Shahruddin masuk ke dewan berkenaan sebelum keluar semula lapan minit kemudian kerana ingin mendapatkan pencadang dan penyokong yang tinggal di DUN Bagan Pinang, tetapi beliau tidak muncul selepas tempoh penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 4 Oktoberr 2009)


***** *****

4,000 mangsa masih hidup


DUA anggota penyelamat Indonesia mengeluarkan mayat mangsa gempa bumi yang terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Kota Padang, Sumatera Barat, semalam. Hampir 4,000 orang penduduk dilaporkan masih terperangkap dalam runtuhan bangunan. – AP


JAKARTA 3 Okt. - Hampir 4,000 orang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan berikutan gempa bumi kuat yang menggegar barat Sumatera pada minggu ini, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Palang Merah, hari ini.

"Kami menjangkakan antara 3,000 hingga 4,000 mangsa masih terperangkap atau tertanam hidup-hidup di bawah runtuhan,'' kata Penyelaras Kemanusiaan PBB di Indonesia, El-Mostafa Benlamlih kepada AFP.

tua delegasi Persekutuan Palang Merah Antarabangsa dan Persatuan Bulan Sabit Merah Indonesia, Bob McKerrow berkata, pihaknya meletakkan jumlah mangsa tertimbus kepada 4,000 orang berdasarkan pemantauannya di bandar Padang dan kawasan sekitar bencana.

(Berita ini diambil dari Utusan Online - AFP, 4 Oktober 2009)




No response to “BERITA”

Post a Comment