BERITA


11 kes didakwa mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

CYBERJAYA: Sebanyak 11 kes didakwa mengikut Seksyen 211 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang membabitkan jumlah denda sebanyak RM24,500 bagi tempoh tahun lalu sehingga kini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata jumlah itu membabitkan enam kes membabitkan lapan individu kerana kesalahan menghantar komen menghina Sultan Perak, (tiga) SMS sumbang/lucah, dan masing-masing satu kes e-mel sumbang dan menghantar komen sumbang/lucah.

Bagi kes menghina Sultan Perak, beliau berkata seorang mengaku bersalah dan didenda RM10,000 manakala lima kes membabitkan tujuh individu sedang menunggu perbicaraan.

"Bagi kes SMS sumbang/lucah, e-mel sumbang dan komen sumbang/lucah, semua mengaku bersalah dan jumlah denda dikenakan ialah antara RM1,800 dan RM8,500," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat dan memperkenalkan Pengerusi SKMM yang baru dilantik Tan Sri Khalid Ramli pada 16 Oktober lalu, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata SKMM perlu membuat kajian mengenai kos perkhidmatan teknologi maklumat di negara ini yang dikatakan tinggi berbanding negara jiran dan negara membangun lain.

Katanya kajian itu perlu dilakukan segera dan diperakukan kepada kerajaan bagi mencari langkah untuk menurunkan elemen kos.

Beliau berkata perhatian perlu diberikan kepada Sabah, Sarawak dan kawasan pedalaman agar pembangunan daripada segi infrastruktur komunikasi dan multimedia di kawasan itu dapat dimajukan.

"Hujung tahun ini, kita menjangkakan dapat mencapai tahap 30 peratus penembusan jalur lebar kepada masyarakat kita. Tetapi saya masih belum puas hati bahawa angka itu hendaklah diberi semangat baru iaitu terdapat negeri-negeri di Semenanjung juga terbelakang daripada segi pencapaiannya," katanya.

Katanya syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan internet tanpa wayar akan diberi peluang menyediakan perkhidmatan di kawasan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak.

Mengulas mengenai pelantikan Khalid menggantikan Datuk Dr Halim Shafie, Rais berkata kerajaan mahu beliau melakukan pembaharuan dan yakin Khalid dapat melaksanakan tugasnya dengan cemerlang.

Khalid ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan berusaha melakukan penambahbaikan dan perubahan terhadap SKMM seiring dengan perubahan masa. - (Berit sini diambil dari Berita Harian Online - Bernama, 22 Oktober 2009)

--------------------------

MB nafi dua Adun BN Negeri Sembilan letak jawatan

SEREMBAN: Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, menafikan desas-desus bahawa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)

dari Barisan Nasional (BN) akan meletakkan jawatan bgi membolehkan pilihn raya kecil diadakan.

Mereka yang dikaitkan ialah Adun Johol, Datuk Roslan Md Yusof dan Adun Lenggeng, Mustafa Salim.

"Itu semua cerita karut, cerita dongeng dan khayalan yang dibuat oleh orang yang tidak mempunyai kerja lain. Itu cerita seronok-seronok sebab mereka suka pilihan raya kecil kerana boleh cari makan.

"Sebenarnya, Adun Johol memang sakit akibat terjatuh ketika bermain badminton tiga bulan lalu dan beliau sudah selamat menjalani pembedahan bagi membetulkan semula tulang belakangnya yang terkehel di Hospital Kuala Lumpur.

"Semalam, saya sempat berbual dan beliau begitu ceria. Laporan doktor juga baik dan beliau dijadualkan akan keluar hujung minggu ini sebelum membuat rawatan fisioterapi selama dua bulan.

"Buat masa sekarang beliau bercuti," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di pejabatnya di Wisma Negeri di sini, hari ini.

Mohamad yang juga Pengerusi BN negeri diminta mengulas mengenai laporan di internet yang mendakwa kedua-dua Adun itu akan meletak jawatan untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan.

(Berita ini diambil dari Berita Harian)


------------------------


Bajet: Harapan rakyat


N. Marimuthu


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna berharap Bajet 2010 dapat membantu dan mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N. Marimuthu berkata, kerajaan perlu memainkan peranan dan memberikan lebih tumpuan dalam membantu golongan tersebut.

‘‘Pembentangan Bajet 2010 perlu memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan beban rakyat.

‘‘Selain itu, ia diharapkan dapat memperkasa dan merangsang pertumbuhan ekonomi negara,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Marimuthu berkata, kerajaan juga perlu memberi keutamaan bagi mengurangkan belanjawan defisit negara.

“Segala perbelanjaan dan kerja-kerja pembangunan di negara ini perlu dikawal melalui sistem tender terbuka bagi memastikan perbelanjaan yang dilaksanakan tidak membazirkan wang rakyat,’’ katanya.

Katanya lagi, beliau juga berharap kerajaan memperluas dan meningkatkan kualiti pengangkutan awam termasuk di ibu negara supaya perkhidmatannya lebih efisien dan bersepadu dalam memberi manfaat yang besar kepada rakyat.

‘‘Masalah pengangkutan awam sering menimbulkan kesulitan kepada kebanyakan rakyat di negara ini kerana kemudahan infrastruktur yang disediakan masih tidak mencukupi,’’ katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa), Datuk Dr. Jacob George berkata, beliau berharap Bajet 2010 itu dapat memenuhi keperluan dan kehendak semua pengguna di negara ini.

“Bajet 2010 ini perlu memfokuskan kepada kehendak rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kerajaan perlu memahami kuasa membeli golongan ini yang amat terhad. Pengurangan cukai terhadap barang dan perkhidmatan adalah antara harapan mereka dalam bajet ini,” katanya.

Menurut Dr. Jacob, golongan ini tidak mempunyai sumber pendapatan lain bagi menyara ahli keluarga.

“Apabila harga barang meningkat di pasaran, ia akan menyebabkan mereka menghadapi masalah ekonomi ekoran kekurangan sumber kewangan yang tidak mencukupi,” jelasnya.

Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Maamor Osman pula mencadangkan agar kerajaan menaikkan cukai rokok dan arak sehingga 300 peratus dalam bajet yang akan dibentangkan itu.

Menurut Maamor, peningkatan cukai itu perlu bagi mencegah rakyat negara ini daripada menghisap rokok dan meminum arak seterusnya membantu kerajaan dalam kempen berkaitan kesihatan.

‘‘Ada yang mendakwa apabila cukai untuk kedua-dua barang ini dinaikkan akan berlaku penyeludupan, tetapi bagi PPIM apa yang penting adalah pencegahan.

‘‘Dalam hal ini, jika tiada permintaan, maka tiada penawaran dan peningkatan harga di pasaran secara langsung akan mengurangkan penawarannya,” katanya.

Menurut Dr. Maamor, perkara lain yang perlu diambil kira oleh kerajaan dalam bajet kali ini ialah berkaitan keselamatan negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan diharap menambah peruntukan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana tahap jenayah pada masa kini semakin meningkat.

‘‘Kita sekarang berada di zaman teknologi yang serba canggih dan penjenayah juga memanipulasi kecanggihan itu bersama kecerdikan dan kelicikan mereka dalam melakukan jenayah terancang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap dengan penambahan peruntukan kepada PDRM akan membantu pasukan itu dan dapat mengurangkan kadar jenayah di negara.

Dari aspek pendidikan pula, Dr. Maamor mencadangkan agar kerajaan memberi tumpuan yang lebih termasuk penambahan peruntukan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

(Berita ini diamnbil dari Utusan Online,22 Oktober 2009)


----------------------------


Pemimpin tidak bersih perlu dihapus

SHAH ALAM – Veteran UMNO, Datuk Aziz Shamsuddin menggesa pemimpin UMNO bersatu-padu melakukan proses pemutihan semula parti dalam memastikan gejala-gejala ‘tidak bersih’ termasuk mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin yang terlibat dalam gejala politik wang.

Katanya, tindakan itu bagi memastikan parti terus kukuh dan diterima rakyat.

Menurutnya, pemimpin ‘tidak bersih’ harus menerima hukuman dan bukannya diberi peluang untuk bersama dengan pemimpin yang lain.

“Setiap pemimpin yang ‘buruk’ mesti dihapuskan segera demi masa depan UMNO. Saya yakin, parti ini mampu mencapai kejayaan besar jika semua ahli mengutamakan apa yang perlu ada pada seorang pemimpin,” katanya, semalam.

Menurutnya, jika pemimpin ‘tidak bersih’ itu terus dibiarkan bebas tanpa hukuman, UMNO harus bertanggungjawab terhadap apa akan berlaku kepada parti itu pada masa depan.

“Kita tidak boleh biarkan kerana ini akan menggalakkan lebih ramai pemimpin lain menimbulkan masalah.

“Kalau kita buat tak tahu, kita sengaja cari penyakit dan penyakit bukan senang untuk diubati jika tidak sesuai dengan ubat,” katanya.

Mengulas mengenai pindaan Perlembagaan UMNO, Aziz berkata: “Sikap yang tulus ikhlas dalam kalangan ahli UMNO untuk menerima pindaan perlembagaan parti dengan hati terbuka adalah penting.

“Jangan jadikan pindaan sebagai peraturan kerana ia tidak akan bagi erti apa-apa jika ada kekotoran dalam jiwa setiap ahli.”

Sementara itu, penganalisis politik, Asri Salleh berkata, pemutihan parti perlu dilakukan dalam situasi berpada-pada supaya tidak menjejaskan parti UMNO.

“Saya melihat proses pemutihan ini wajar dipertingkatkan dan diberi perhatian serius oleh semua pihak terutama menangani isu gejala politik wang yang kian berleluasa.

“Kita tidak mahu rakyat terus menerus membuat penilaian bahawa UMNO adalah sebuah parti memiliki pemimpin yang terbukti tegar dengan politik wang,” katanya.

Selain proses pemutihan, Asri yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dungun berkata, UMNO juga perlu berusaha menuntut perubahan daripada segi sikap pemimpin itu sendiri.

“Memang diakui, ubah sikap pemimpin adalah satu perkara sensitif dan sukar dibuktikan. Apa yang dilihat, sikap positif pemimpin mungkin mampu diterjemahkan melalui Indeks Petunjuk Prestasi (KPI).

“Melalui KPI, pemimpin itu mampu mempamerkan sikap terpuji sekali gus kemahuan rakyat yang inginkan pemimpin bersih, bebas rasuah dan sebagainya akan tercapai,” katanya.

Asri berkata, bukan mudah untuk melihat pemimpin berubah personaliti, sikap dan kelakuan mengikut apa yang dikehendaki rakyat.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online, 22 Oktober 2009)










No response to “BERITA”

Post a Comment