BERITA POLITIK


Teoh Beng Hock dipukul dan dicekik sebelum jatuh
Harakahdaily
SHAH ALAM, 21 Okt: Pakar forensic dari Thailand, Dr Pornthip Rojanasunan, memberikan keterangan yang mengejutkan dalam inkues kematian Teoh Beng Hock hari ini apabila berkata, tengkorak kepalanya pecah bukan kerana jatuh tetapi kerana pukulan kuat.

Tanda bulatan merah pada tengkuknya pula bagi beliau adalah akibat dari dicekik dengan menggunakan tangan dan ia adalah kesan jari pada tengkuk mangsa.

Bagi beliau, Beng Hock jatuh ke atas lantai di tingkat bawah tempat mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Dia juga berkata, kesan luka pada anus (dubur) mangsa juga akibat dari kemasukan objek keras sebelum beliau jatuh.

Berdasarkan kepada perolehan itu, beliau memberikan rumusan bahawa 80 peratus punca kematian Beng Hock adalah kerana dibunuh dan hanya 20 peratus sahaja kerana bunuh diri.

Image Dr Pornthip (gambar) memberikan keterangan dalam inkues Teoh Beng Hock di hadapan Koroner, Azmil Muntapha Abad. Beliau dipanggil sebagai saksi profesional oleh keluarga Teoh Beng Hock.

Teoh Beng Hock ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lalu, diatas tingkat lima, Plaza Masalam, disini, yang menimbulkan pelbagai persoalan.

Dr Porntip atau lebih dikenali dengan Dr Death mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang ini telah menyiasat lebih 10,000 mayat sepanjang kerjayanya sebagai pakar forensik.

Beliau mendapat pengiktirafan dari seluruh dunia dalam bidang ini.

Beliau yang memeriksa beribu-ribu mayat mangsa tsunami yang melanda Thailand sebelum ini yakin, semangat mereka yang mati itu melindungi dalam menjalankan kerja-kerjanya sebagai pakar pathologi.

Sebagai bekas pesakit kanser yang berjaya melawan penyakit maut itu, Dr Pornthip yang juga pakar DNA, sedang berusaha untuk meningkatkan sains forensik di negaranya.


-----------------


Raja tegur pusat lengahkan naik taraf Lapangan Terbang
Salmah Mat Hussain

KOTA BHARU, 21 Okt: Kerajaan Pusat sekali lagi diingatkan pihak istana Kelantan supaya menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra kerana ia boleh menjadi pemangkin pembangunan ekonomi negeri ini.

Sebelum ini gesaan serupa sudah berkali-kali kali dititahkan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra.

Namun sehingga kini cadangan itu seolah-olah kurang mendapat perhatian kerajaan pusat kecuali mengubah wajah terminal lapangan terbang beberapa tahun lalu.

Dan semalam gesaan serupa disuara pula Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan.

Titah baginda lapangan terbang di Pengkalan Chepa wajar dinaik taraf menjadi lapangan terbang antarabangsa memandangkan kemudahan tersebut dapat membantu perkembangan ekonomi dan sosial di Kelantan.

"Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra perlu dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa kerana ia boleh memberi perkhidmatan penerbangan terus ke negara-negara luar terutama di Asia dan Timur Tengah.

"Beta dimaklumkan syarikat penerbangan Firefly bercadang memperluaskan perkhidmatan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura," titah baginda.

Pada masa yang sama baginda bertitah Kelantan juga memerlukan sebuah pelabuhan komersial yang boleh menjadi pemangkin ekonomi di negeri ini.

Menurut baginda, ketiadaan kemudahan pelabuhan membantutkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.

�Beta berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula kelulusan projek pelabuhan di negeri ini sebagaimana yang telah diluluskan dalam RMK-5.

"Beta juga menyarankan kerajaan Persekutuan mempercepatkan perlaksanaan projek pembinaan jalan baru dari Kota Bharu ke Kuala Krai," titahnya.

Titah baginda pelaksanaan projek itu perlu disegerakan kerana ia dapat merangsangkan pembangunan di sepanjang koridor laluan itu di samping mempercepatkan masa perjalanan dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Baginda juga turut memuji langkah kerajaan negeri memajukan sektor pertanian bagi menjayakan hasrat Kelantan sebagai jelapang makanan negara.

Bagaimanapun baginda menyarankan sektor itu perlu difokuskan kepada penggunaan teknologi moden berskala besar dan berorentasikan eksport.

Tambah baginda, penekanan bioteknologi dalam pertanian juga perlu untuk menjadikan sektor berkenaan lebih berdaya maju.

"Beta juga berharap petani, penternak, nelayan serta meraka yang terlibat dalam sektor pertanian mendapat kefahaman dengan pelancaran konsep �Bertani Satu Ibadat," titah baginda. _





No response to “BERITA POLITIK”

Post a Comment