BERITA



Masih ada berharap Pas-UMNO bergabung


KUALA LUMPUR - Walaupun Pas sudah menutup pintunya untuk bekerjasama dan membentuk Kerajaan Perpaduan dengan UMNO, masih ada suara yang berharap dua parti Melayu itu mencari persamaan dan berdamai atas dasar agama dan silaturrahim.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) mahu Pas menamatkan pakatannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana dikatakan tidak sesuai dengan parti berteraskan Islam itu, katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009.

“PKR ini parti koboi, Pas tidak sesuai dengan dia. DAP pula memang ‘tidak boleh tidur satu selimut’ dengan Pas.

“UMNO kita sebangsa, seagama, senadi, sekiblat, semengucap...rapat...kita carilah persamaan, jangan kita cari perbezaan. Atas sifat sillaturrahim mari kita berdamai,” katanya.

Sebelum ini Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengemukakan cadangan agar Kerajaan Perpaduan dibentuk di negara ini dan mendapat soko- ngan beberapa pemimpin parti itu.

Cadangan itu bagaimanapun ditolak Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga Menteri Besar Kelantan itu baru-baru ini mencadangkan supaya diadakan Muktamar Khas (EGM) untuk membersihkan parti daripada pemimpin pro-Kerajaan Perpaduan itu.

Semasa menjawab pencelahan Datuk Ismail Kassim (BN-Arau) mengenai cara untuk mengatasi halangan untuk merealisasikan harapan itu, Mohamad berkata, kedua-dua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada dalam menghadapi sebarang cabaran.

“Yang baik tetap baik...memang yang baik cabarannya besar, hebat. Marilah dengan lapang dada kita hadapi segala cabaran demi kebaikan kita bersama,” katanya.

Persidangan dewan bersambung Isnin.

(berita ini diambil dari Sinar Harian Online - Bernama, 1 November 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment