BERITA



Notis larangan berada dalam 50 meter ditampal sekitar bangunan SUK
Harakahdaily
IPOH, 28 Okt: Ketua Polis daerah Ipoh semalam telah mendapatkan perintah mahkamah bagi melarang orang awam berada 50 meter dari pagar bangunan Perak Darul Ridzuan bermula pagi ini hingga malam 30 Oktober ini.

Permohonan dibuat dalam Mahkamah Majistret (1) Ipoh, Perkara Seksyen 98 Kanun Tatacara Jenayah melarang orang awam hadir atau berada dalam radius tersebut.

Ianya ekoran dakwaan bahawa satu perhimpunan tanpa permit untuk memberi sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional akan di adakan di bangunan tersebut menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) esok.

Sehubungan itu mahkamah telah mengeluarkan notis arahan supaya orang awam tidak berada dalam lingkungan radius seperti yang dinyatakan.

Antara termasuk kawasan larangan adalah Jalan Panglima Bukit Gantang, Jalan Istana dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Poi Lam hingga ke Sekolah Kebangsaan Jalan Panglima Bukit Gantang dan Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab.

Image Larangan itu berkuatkuasa jam 1 pagi 28 Oktober hingga jam 11 malam pada 30 Oktober.

Tinjauan wartawan Harakahdaily mendapati notis arahan tersebut telah ditampal di semua bangunan yang berada dalam lingkungan kawasan larangan termasuk di pejabat perhubungan PAS Perak.

Difahamkan pihak polis juga akan mengadakan sekatan jalan raya di kesemua jalan masuk menuju ke bangunan Perak Darul Ridzuan bermula pagi ini.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 28 Oktober 2009)


------------------------

Bajet Kelantan bela golongan kurang berkemampuan

Rizal Tahir
KOTA BHARU, 27 Okt: Dewan Pemuda PAS Kelantan menyifatkan Bajet Kelantan 2010 yang bertemakan 'Bajet Memacu Dalam Hemat' sebagai suatu bajet berkebajikan yang lahir dari cetusan pimpinan yang beriman dan bertaqwa.

Ianya dapat digambarkan dengan pembelaan kepada golongan dhaif, miskin, OKU armalah dan warga emas yang turut diperuntukkan dalam bajet ini.

Naib Ketuanya, Hisyam Fauzi dalam kenyataan medianya berkata Pemuda PAS Negeri melahirkan rasa bangga di atas keperihatinan itu apa lagi dalam suasana kegawatan ekonomi namun kerajaan negeri masih mengekalkan dasar kebajikannya untuk semua mereka yang memerlukan.

"Antara contohnya RM2juta masing-masing untuk untuk armalah dan danak yatim, RM5juta pula untuk Skim perlindungan sosial Tengku Anis (Kifaalah) dan RM4.7juta bagi program membaiki rumah uzur melalui skim bantuan Rumah Dhuafat.

"Langkah-langkah yang jelas menunjukkan keperihatinan terhadap golongan dhaif amat terpuji dan Dewan Pemuda PAS melahirkan rasa bangga dan terima kasih yang tidak terhingga di atas komitmen itu," ujarnya lagi.

Pada masa yang sama beliau turut membidas pihak tertentu yang mengkritik pentadbiran kerajaan negeri yang dianggap gagal dalam mentadbir walaupun peningkatan hasil 2010 dijangka meningkat kepada 387.38juta berbanding 2009.

Menurutnya, penafian dan tomahan tersebut jauh terpesong dari landasan sebenar kerana jika Kelantan mundur, bagaimana perolehan hasil setiap tahun bertambah.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda turut menyelar kenyataan Ketua Pembangkang Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad yang menganggap baje Kelantan 2010 sebagai sebuah bajet ala kadar kerana mengalami defisit.

Menurutnya, bajet deficit bukan sahaja berlaku di Kelantan sebaliknya mana-mana negeri termasuk di peringkat Parlimen juga.

"Sekiranya menganggap bajet Kelantan bajet ala kadar, berani kah Ketua Pembangkang mendakwa bajet Parlimen serta negeri-negeri lain juga bajet ala kadar?," soalnya.

Pada masa yang sama, Dewan Pemuda itu mencabar Barisan Nasional (BN) dan Kerajaan Pusat menyerahkan royalty pada kerajaan negeri sekiranya mereka tidak ingin melihat belanjawan kerajaan Kelantan defist pada masa akan datang.

"Kita juga berharap Pergerakan Pemuda Umno Kelantan turut bersuara serta menyokong bersama kita supaya Kerajaan Pusat menyerahkan royalty pada kerajaan negeri demi untuk kebaikan rakyat keseluruhannya," ujarnya.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 27 Oktober 2009)



No response to “BERITA”

Post a Comment