BERITA



Tindakan tanpa kira kedudukan: Najib

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan petugas itu diluluskan Kabinet semalam dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

“Kabinet memandang serius laporan itu. Jawatankuasa itu akan juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah, tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri. :

Najib berkata, mereka diberi kuasa meminta bantuan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu.

“Saya mahu tekankan di sini kami bukan berniat mencari kesalahan sesiapa, tetapi mahu memastikan mereka yang melakukan kesalahan tidak terlepas. Kami akan menggunakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan, tetapi jika terdapat kes yang kami tidak boleh bawa ke mahkamah, kami akan gunakan tindakan pentadbiran, seperti diturunkan pangkat atau dipindahkan,” katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan akan dilakukan secara adil dan mengambil kira semua faktor dan keadaan.

“Kami akan memberi peluang secara adil untuk mereka yang berkenaan mempertahankan diri. Pasukan petugas akan diberikan kuasa memanggil siapa sahaja yang difikirkan sesuai untuk memberi keterangan.

“Kami mahu menunjukkan bahawa mereka yang berada dalam sistem pentadbiran kerajaan tidak terlepas jika mereka mengeluarkan arahan salah kepada kakitangan bawahan.

“Kabinet berpendapat tindakan perlu diambil kerana kami tidak mahu kesilapan berulang setiap tahun dan hanya dipaparkan dalam laporan Ketua Audit Negara tanpa tindakan serius terhadap pelaku kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan petugas akan mengadakan mesyuarat pertama Isnin ini dan meneliti laporan secara berperingkat, mengikut kes demi kes.

Najib menegaskan, kerajaan komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap kakitangan awam yang menyalahgunakan kuasa ketika berkhidmat.

“Saya tahu kami tidak boleh mencapai sifar penyelewengan tetapi kami boleh mengurangkan perbuatan seperti itu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sementara bertindak terhadap mereka yang melakukan kesalahan ketika bekerja, kerajaan juga akan memberikan ganjaran kepada mereka yang berkhidmat dengan cemerlang.

“Kami bukan hanya menghukum, tetapi juga memupuk budaya prestasi tinggi di mana mereka yang menjalankan kerja cemerlang akan diberi ganjaran,” katanya.


----------------


ISA: Teliti lima perkara

PUTRAJAYA - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Majlis Peguam perlu meneliti terlebih dahulu lima perkara yang sering menjadi pertikaian membabitkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum meminta akta itu dihapuskan.

Beliau berkata, sekiranya lima perkara itu dapat memenuhi kebimbangan mereka melalui pindaan akta tersebut, maka akta baru tidak perlu digubal.

Katanya, secara keseluruhan, beliau berpuas hati dengan pertemuan yang diadakan dengan beberapa pihak sebelum ini berhubung cadangan pindaan ke atas ISA.

“Jadi dalam hal ini, sesi kita untuk berjumpa dengan pihak-pihak berkenaan, merupakan satu pendekatan yang baik dan membawa hasil yang membantu daripada kita membuat pendirian yang beremosi atau berdemonstrasi di tengah-tengah jalan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca-kabinet peringkat kementerian di sini, semalam.

Lima perkara itu ialah membabitkan soal tempoh tahanan, layanan ke atas tahanan dan nasib ahli keluarga mereka, kuasa menteri, persepsi tentang penyalahgunaan ISA bagi kepentingan politik dan penahanan tanpa bicara.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini telah mengadakan lima sesi pertemuan awam melibatkan agensi-agensi penguatkuasa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pakar-pakar akademik, pengamal undang-undang, ahli politik, ahli Parlimen serta individu.

:Semalam, dalam pertemuan awam Hishammuddin dengan beberapa pihak termasuk Majlis Peguam, majlis itu tetap dengan pendiriannya mahu ISA dihapuskan dan satu akta baru dibentangkan di Parlimen.

Hishammuddin berkata, draf pindaan akta itu kini di peringkat akhir dan cadangan daripada pelbagai pihak berhubung pindaan akta tersebut masih dialu-alukan.

Sementara itu, beliau berkata kira-kira 80 peratus permohonan membabitkan kewarganegaraan, pendaftaran lewat kelahiran dan pemastautin tetap (PR) telah dapat diselesaikan dan selebihnya akan diselesaikan sebelum hujung tahun ini.

Bulan lalu, 70 peratus daripada 143,099 permohonan membabitkan taraf kewarganegaraan, permit masuk dan pendaftaran lewat sijil kelahiran yang tertunggak sehingga Januari lalu telah siap diproses.

Permohonan paling banyak diterima adalah pendaftaran lewat sijil kelahiran melibatkan 93,360 permohonan manakala taraf kewarganegaraan adalah 32,927 permohonan dan 16,812 permohonan untuk permit masuk.

(Berita ini diambil dari Sinar Harian Online - Bernama, 31 Oktober 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment