Laporan audit disiasat
PUTRAJAYA 30 Okt. – Jemaah Menteri hari ini memutuskan supaya satu jawatankuasa petugas ditubuhkan untuk menyiasat unsur penyelewengan dan rasuah yang didedahkan dalam Laporan Audit Negara 2008.
Mengumumkan demikian, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Ia dianggotai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Ketua Audit Negara, Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sambil menekankan bahawa kerajaan begitu serius mahu memperhebatkan budaya prestasi tinggi di kalangan penjawat awam, Perdana Menteri menegaskan, sebarang salah guna kuasa yang berlaku seharusnya tidak terlepas daripada tindakan tegas.
‘‘(Mesyuarat) Jemaah Menteri (hari ini) memandang berat Laporan Audit Negara (2008) yang telah pun dibentangkan di Parlimen.
“Sayugia dinyatakan kita bukan hendak mencari salah sesiapa tetapi untuk tentukan pihak-pihak yang sengaja melakukan kesalahan secara terang-terangan tidak seharusnya terlepas daripada tindakan tegas.
‘‘Kita nak menjurus pada budaya prestasi tinggi, maknanya penjawat awam yang tunjukkan prestasi cemerlang mendapat ganjaran dan pengiktirafan sebaliknya yang lakukan salah guna kuasa, tindakan pasti diambil,” kata beliau pada sidang akhbar di pejabatnya petang ini.
Minggu lalu, Laporan Ketua Audit Negara 2008 mendedahkan kerajaan mungkin terpaksa menanggung sebahagian besar daripada kerugian berjumlah RM1.14 bilion dalam Projek Landasan Berkembar Elektrik Antara Rawang dan Ipoh.
Laporan itu mendapati wujud beberapa kelemahan pihak kontraktor seperti kelewatan, perolehan peralatan dan tren melebihi keperluan atau tidak diselaras dengan pembangunan struktur.
Dalam laporan lain, Ketua Audit Negara turut mengesan tindakan pembekalan alatan kepada badan berkanun Persekutuan pada harga yang ‘tidak masuk akal’ bagi tahun 2008.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, tindakan yang akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam penyelewengan yang didedahkan laporan itu tidak semestinya dari segi undang-undang.
‘‘Tetapi tindakan yang wajar, mungkin kena bayar balik, turun pangkat, tahan pangkat atau setidak-tidaknya berpindah ke tempat lain.
‘‘Tindakan akan diambil berdasarkan pertimbangan yang adil dan saksama. Ia tidaklah dalam bentuk tindakan yang keras sehingga tidak ada pertimbangan kemanusiaan,” katanya.
Kata Najib, Jemaah Menteri percaya tindakan tegas perlu dilakukan memandangkan Laporan Audit Negara didedahkan setiap tahun, justeru sebarang salah guna kuasa dan penyelewengan tidak seharusnya berulang.
Dalam hubungan ini juga, Perdana Menteri berkata, dalam usaha memupuk budaya prestasi tinggi, maka anggota pentadbiran yang menunjukkan prestasi cemerlang akan diumumkan tidak lama lagi.
‘‘Ganjarannya kita akan umumkan bila tiba masanya nanti,” katanya.
--------------------
Langkah Najib, Abhisit tepat
KUALA LUMPUR 30 Okt. – Penganalisis politik berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Thailand, Abhisit Vejjajiva mengambil langkah yang tepat dan wajar dalam menyelesaikan konflik di selatan negara itu.
Menurut mereka, cadangan agar umat Islam di wilayah tersebut diberikan autonomi dalam perkara- perkara yang berkaitan boleh membantu ke arah usaha menghentikan konflik tersebut.
Profesor Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, rundingan antara kerajaan Malaysia dan Thailand mengenai perkara itu menunjukkan kecenderungan dan harapan yang positif ke arah mengembalikan keamanan di wilayah tersebut.
“Konflik di selatan negara itu telah menjangkau empat tahun tanpa titik penyelesaian sehingga mengorbankan beribu nyawa di selatan Thailand.
“Kita menyokong usaha Malaysia mencadangkan kepada Thailand supaya menamatkan konflik di selatan negara itu bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan umat Islam terbela dan mendapat keadilan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia disini hari ini.
Menurutnya, Perdana Menteri Thailand sewajarnya menyambut baik idea Najib mengenai komitmen Malaysia terhadap keamanan di selatan negara itu.
“Secara peribadi, saya berpendapat sekiranya idea dan cadangan Najib itu direalisasikan oleh pemerintah negara Gajah Putih itu, ia membuktikan Thailand bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan konflik yang masih berlanjutan itu,” katanya.
Perdana Menteri Thailand itu hari ini dilaporkan menyokong cadangan Najib supaya Bangkok memberi autonomi kepada wilayah selatannya.
Dalam satu wawancara akhbar yang disiarkan baru-baru ini, Najib berkata, Thailand hendaklah menawarkan autonomi ‘dalam bentuk tertentu’ kepada selatan Thai, di mana lebih 3,900 orang terbunuh sejak keganasan meletus pada Januari 2004.
Najib memberitahu akhbar berbahasa Inggeris di Thailand, The Nation bahawa ‘anda mungkin tidak mahu menyebutnya sebagai autonomi tetapi sekurang-kurangnya terdapat autonomi dalam bentuk tertentu’.
Menurut Ahmad Nizamudin, pembabitan Malaysia dalam menyelesaikan konflik di wilayah bergolak itu adalah rangsangan kepada kerajaan Thailand untuk membantu dan membangunkan ekonomi rakyat di selatan negara itu.
“Rakyat di sana berasakan mereka dipinggir oleh pemerintah, hasil idea dan sokongan Malaysia kita mengharapkan penduduk di situ berasakan mereka sebenarnya tidak dipinggirkan dan masih diberi perhatian oleh kerajaan Thailand,” katanya.
Sementara itu Profesor Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, idea Perdana Menteri berhubung penyelesaian konflik di wilayah itu tidak boleh dipandang ringan.
Katanya, pergolakan di selatan negara itu akan menjadi parah apabila ketegangan masih berlaku antara kerajaan Thailand dan pemimpin di wilayah yang bergolak tersebut.
“Pergolakan di selatan Thailand perlu dihentikan segera dan perkara itu perlu dibawa ke meja rundingan,” katanya.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 31 Oktober 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment