BERITA POLITIKI

Nik Aziz sahkan sertai mesyuarat khas
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok.

Keputusan itu dibuat Nik Aziz hari ini walaupun sebelum ini beliau keberatan untuk menyertainya dan telah memberikan amanah kepada Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang menemui beliau baru-baru ini untuk menyampaikan pandangannya.

Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Politik beliau, Anual Bakhri Haron kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Nik Aziz dikatakan keberatan untuk ke Kuala Lumpur kerana sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan sedang berlangsung.

"Saya telah sampaikan apa yang saya nak kata kepada Salahudin," kata Nik Aziz sebelum ini.

Namun, hari ini beliau membuat keputusan akan menyertai mesyuarat yang dianggap penting itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ditanya bertalu-talu dalam sidang medianya semalam samada Nik Aziz akan datang atau tidak dalam mesyuarat khas esok.

Mustafa berkata, beliau tidak tahu samada Nik Aziz akan datang atau pun tidak tetapi sekurang-kurangnya dia telah memaklumkan pandangannya melalui Salahudin Ayub.

PAS memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok mulai jam 8.30 malam di Pajabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

Mesyuarat ini dipanggil ekoran cadangan Nik Aziz agar PAS adakan satu mesyuarat agung luar biasa untuk memilih semula pucuk pimpinannya.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar diadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara ini.

Mesyuarat ini akan mengambil keputusan samada perlu atau tidak diadakan mesyuarat agung luar biasa itu.

Selain AJK PAS Pusat, anggota mesyuarat ini adalah para pesuruhjaya PAS bagi setiap negeri.

Menurut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan dengan arahan presiden, permintaan satu pertiga ahli Jawatankuasa PAS Pusat atau permintaan satu pertiga dari kawasan-kawasan PAS di seluruh negara iaitu sekurang-kurangnya 57 kawasan.


-------------------


ADUN PR hadir sidang, dapat jaminan polis
Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 27 Okt: 28 ADUN Pakatan Rakyat Perak hari ini mengesahkan kehadiran ke sidang DUN esok setelah mendapat jaminan daripada pihak polis bahawa keselamatan mereka akan dijaga.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Pakatan Rakyat (PRBBC) Khalil Idham Lim berkata, mereka akan hadir berdasarkan notis panggilan mesyuarat yang dikeluarkan oleh speaker yang sah.

"Kami (ADUN Pakatan) akan hadir atas panggilan speaker yang sah. Saya tak mahu sebut nama, tapi saya tegaskan, speaker yang sah,"katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Khalil merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis yang memberikan jaminan akan menjaga keselamatan mereka itu.

"Saya ucapkan terima kasihlah di atas jaminan itu,"ujarnya.

Semalam, Khalil yang juga ADUN Titi Serong berkata kesemua ADUN Pakatan mungkin tidak akan menghadiri sidang DUN Rabu ini jika polis gagal memberi jaminan terhadap keselamatan mereka.

"Sebelum ini kami (ADUN Pakatan) minta jaminan daripada pihak polis. Apa jaminan yang mereka boleh bagi untuk pastikan keselamatan kami terjamin," katanya lagi.

Menteri Besar Pakatan Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin seperti yang dilaporkan laman web Malaysikini sebelum ini mendakwa beliau mendengar dari sumber-sumber tidak sah tetapi boleh dipercayai bahawa Umno akan mengupah 15 orang "samseng" untuk menggantikan pengawal keselamatan di DUN bagi menghalang "berlaku sebarang kekecohan dari pihak Pakatan.

Nizar juga memberitahu bahawa beliau mendengar dari sumber-sumber di Sekretariat Kerajaan Negeri (SUK) bahawa 28 ADUN Pakatan akan dihalang daripada membawa telefon bimbit dan kamera untuk merakam sebarang kejadian tidak diingini yang mungkin berlaku dalam sidang esok.

Khalil sebentar tadi turut memaklumkan perkembangan terkini berhubung sidang DUN esok yang dihantar ADUN DAP Beruas Ngeh Kor Ham melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Ngeh membuat tinjauan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan bagi melihat perkembangan terkini.

Ngeh dalam pesanannya memberitahu polis baru sahaja selesai memasang kamera berparabola di sekeliling Bangunan Perak Darul Ridzuan dihubungkan terus ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman untuk memantau sebarang kejadian esok.

"Polis turut memasang mesin pengesan di pintu masuk utama. Beberapa petugas sedang mencuba mikrofon tanpa wayar kemungkinan akan digunakan speaker mereka apabila mereka mematikan mikrofon ADUN PR," lapornya dalam sms berkenaan.

-------------------

Rundingan Umno-PAS hanya umpan Muhyiddin
Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 27 Okt: PAS menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yasin umpama 'hidung tidak mancung, pipi tersorong- sorong' apabila mengambil kesempatan dengan cuba sekali lagi menawarkan rundingan Umno-PAS.

Ketua Penerangan PAS, Ustaz Idris Ahmad dalam satu kenyataan mengingatkan Timbalan Presiden Umno itu agar tidak cuba mengeluarkan kenyataan memecah belahkan perpaduan antara PAS dan Pakatan Rakyat.

"Pas mengingatkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin jangan cuba mencari kesempatan untuk memecah belahkan perpaduan parti Pas dan Pakatan Rakyat, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia 26/10/2009.

"Muhyiddin jangan jadi hidung tidak mancung pipi tersorong-sorong," kenyataannya dipetik.

Katanya Pas berpendapat tindakan Muhyidin itu akibat berasa gelisah dengan perkembangan politik PAS di mana orang bukan Islam semakin menolak Umno dan menerima parti Islam itu.

Orang bukan Islam yang dahulunya ibarat 'tongkat sakti' dan 'balang oksigen' Umno kini katanya sudah hilang sakti dan kehabisan oksigennya.

Image Talian hayat Umno itu katanya kini sudah berpindah kepada Pas dan Pakatan Rakyat.

"Pas tidak lagi dipandang sebagai parti yang cauvanis perkauman, sebaliknya mereka melihat pas sebagai wadah baru mereka untuk mendapat keadilan di negara ini.

"Umno sedar bahawa tongkat sakti mereka sudah patah (iaitu pengundi bukan Islam), kerana selama ini umno hanya boleh bernafas dengan bantuan oksigen daripada balang oksigen pengundi bukan Islam," beritahunya lagi.

Umno kian bimbang katanya apabila menyedari generasi muda juga menyebelahi PAS.

Gabungan generasi muda, orang bukan Islam dan orang melayu menyokong PAS akan memberi kesan amat parah kepada parti pemerintah itu kerana jika Umno tumbang, penggantinya adalah PAS.

Oleh kerana ketakuitan itu katanya, Umno kini sedang memanipulasi isu Melayu Islam seolah olah Umno adalah harapan pembela Melayu Islam.

"Pas menyedari bahawa Umno sedang manipulasi isu melayu dan Islam, kononnya kalau Umno kalah melayu dan Islam akan hancur.

"Sedangkan apa yang berlaku kemusnahan kepada Melayu dan Islam adalah angkara Umno.

"Umno tidak boleh tudung bangkai gajah dengan tudung saji yang kecil, kerana yang menjahanamkan melayu dan Islam ialah angkara umno, bukannya perbuatan Pas," katanya lagi.

Muhyiddin seperti dilaporkan media arus perdana Isnin lalu membuat kenyataan bahawa 'rundingan Umno-PAS masih terbuka'.

Ianya sebagai memberi tekanan kepada PAS berhubung persoalan terbaru Muktamar Khas sepeti yang dicadang Mursyidul Am, Tuan Guru datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat minggu lalu.

PAS sebelum ini pernah terpalit isu kerajaan perpaduan apabila dimanipulasi Umno BN.

Namun ianya diselesaikan dengan baik oleh PAS dan mengumumkan untuk terus memperkukuh hubungan bersama Pakatan Rakyat.

Manakala terbaru, PAS sekali lagi berdepan isu hampir sama apabila Nik Aziz mengeluarkan cadangan supaya PAS mengadakan Muktamar Khas bagi menyelesai masalah kepimpinan parti.

Nik Aziz bagaimanapun bersetuju untuk hanya diadakan mesyuarat khas mengantikan muktamar seperti yang dicadangkan.

Manakala Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam mengumumkan akan mengadakan Mesyuarat Khas Jawatan Kuasa PAS esok bagi membincangkan perkara tersebut.

Ianya juga bermaksud bahawa isu Muktamar Khas tidak lagi berbangkit.

Dalam perkembangan lain, PR akan mengadakan satu Konvesnsyen Pakatan Rakyat pada 13hb Disember ini di Shah Alam Selangor .

Ianya antara lain bertujuan untuk terus memperkasa pakatan sebagai sebuah kerajaan menunggu.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 27 Oktober 2009)




No response to “BERITA POLITIKI”

Post a Comment