Tertekan dan terdesak, pembangkang terus memanipulasi isu undi pos dalam kempen pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang yang menyaksikan pertembungan calon BN Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Parti lawan terus menjadikan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sasaran kritikan kononnya bersekongkol dengan BN bagi memastikan calon BN menang pada pengundian 11 Oktober ini.

Nampak gaya pembangkang terus lupa diri. Pemimpin PAS barangkali sudah ‘mabuk’ sejak makan, minum serta bersekedudukan dengan PKR dan DAP.

PAS hendak tunjuk parti itu juga hebat selepas kekal dalam pilihanraya kecil Manek Urai,Permatang Pasir dan semestinya mahu menang lagi di Bagan Pinang.

Kalau parti itu menang, maka bertambah hebatlah PAS di mata PKR dan DAP kerana Bagan Pinang kubu kuat BN dan calonnya mantan Menteri Besar Negeri Sembilan.



Semua pihak tahu undi pos berjumlah 4,604 undi akan menentukan parti mana tersungkur di Bagan Pinang.

Namun bagi PAS, dalam memanipulasi isu undi pos mereka kena ingat apa berlaku dalam pilihanraya kecil Parlimen Teluk Kemang pada 10 Jun 2000 yang membabitkan pertembungan calon BN, S.Sothianathan serta Ruslan Kassim dari Parti Keadilan Nasional (sekarang PKR).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika membongkar semula sejarah pilihanraya kecil itu di Bagan Pinang pada Isnin berkata, pembangkang sengaja buat-buat lupa dan timbulkan isu undi pos pada pilihanraya kecil kali ini.

Katanya pertembungan Sothianathan dan Ruslan ketika itu panas gara-gara isu kempen ‘mahu undi masjid atau undi kuil’.

PKR yang bertanding ketika itu sengaja main isu perkauman dengan menggambarkan jika pilih Sothianathan bermakna pilih kuil dan pilih Ruslan bererti pilih masjid.

Walaupun calon BN menang dengan majoriti 5,972 undi tetapi undi pos dikuasai calon PKR.

Berdasarkan rekod, Sothianathan hanya mendapat 1,625 undi pos berbanding Ruslan yang memperolehi 1,743 undi. Ini bererti calon PKR mendapat majoriti undi pos sebanyak 118 undi.



Memang pelik kalau pembangkang lupa sejarah pilihan raya kecil Teluk Kemang ini.

Mohamad mempersoalkan mengapa PAS persoal isu undi pos tetapi pembangkang diam bila undi pos memihak mereka ketika pilihanraya Teluk Kemang.

“Bila undi pos dapat pada mereka, mengapa tak cakap? Kenapa sekarang cakap SPR tidak betul...inilah kerja adu dumba pembangkang,” katanya di majlis sambutan Aidilfitri Kesatuan Pekerja-Pekerja awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) dan Kelab Kakitangan Awam
Kementerian Pertahanan Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Bagan Pinang,Isnin.

PAS sepatutnya tidak mempolitikkan isu undi pos kerana pada pilihanraya umum 2008, calon mereka memperolehi 1,189 undi pos daripada kira-kira 5,100 undi pos.

Namun, parti itu jelas takut pada kebenaran bahawa mereka bakal kalah pada pilihanraya kecil di Bagan Pinang.

Selain itu kata Mohamad, pembangkang buat apa saja untuk adu dumba pemimpin dan kerajaan termasuk mempolitikkan agama.




“Saya pernah kata lebih baik mengislamkan politik kerana boleh cakap jujur, amanah dan tunai janji bukannya mempolitikkan Islam seperti PAS buat sekarang,” tegas beliau.

Selain soal undi pos, pembangkang juga memainkan isu kononnya pencalonan Isa tidak dipersetujui Mohamad dan UMNO Negeri Sembilan.

Menurutnya, ketika jenazah wakil rakyat lalu, Azman Mohd Nor masih di hospital, beliau sudah meminta Mohd Isa bertanding bagi tebus maruah BN apabila tewas dalam beberapa pilihan raya sebelum ini.

“Mereka juga sebar gambar saya dikalungkan selipar, begitu juga TPM (Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir (Mohamad). Mereka kata saya tak baik dengan Mohd Isa, muka saya serius nampak sombong dan macam-macam lagi,” katanya.

Mohamad percaya PAS mula tersepit di Bagan Pinang dengan segala pembohongan dan sikap buruk parti itu termasuk rakan-rakan mereka daripada DAP dan PKR mula terbongkar sedikit demi sedikit.- 5/10/2009