BERITA


3,000 terperangkap



PASUKAN penyelamat mengeluarkan seorang wanita dari celah runtuhan di Padang, Indonesia.

Bekalan elektrik terputus jejas operasi menyelamat

PADANG: Hampir 3,000 mangsa dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan selepas gempa bumi melanda Sumatera Barat, tiga hari lalu.

Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kementerian Kesihatan Indonesia, Priyadi Kardono, berkata sehingga semalam, 715 disahkan terkorban, manakala 2,400 mangsa dimasukkan ke hospital.

Gempa bumi itu mengakibatkan kemusnahan teruk kepada sebahagian besar Sumatera Barat, dengan kebanyakan kerosakan berlaku di Padang, ibu negara wilayah itu. Priyadi berkata, lebih 20,000 bangunan dan rumah rosak teruk atau musnah sama sekali, manakala yang dipercayai masih terperangkap adalah di Padang dan enam daerah lain.

Pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa, manakala bantuan antarabangsa termasuk khemah, ubat-ubatan, bekalan air bersih dan beratus pekerja penyelamat mula tiba di wilayah itu semalam.

Operasi menyelamat bagaimanapun terjejas berikutan terputusnya bekalan elektrik dan kekurangan jentera berat bagi mengalihkan runtuhan batu.

PELAJAR Malaysia yang cedera, Felicia Francisca dibawa pulang bersama 300 pelajar lain menaiki tiga pesawat khas TUDM.

Gempa bumi dengan kekuatan 7.6 pada skala Richter, melanda wilayah itu petang Rabu lalu, mengakibatkan beribu-ribu bangunan runtuh, manakala telefon terputus hubungan, menyebabkan sukar untuk menentukan angka sebenar kerosakan dan kehilangan nyawa.

Malaysia, Australia, Korea Selatan dan Jepun adalah antara negara yang menawarkan bantuan. Pekerja menggunakan lampu kalimantang dan jentera penggali untuk mencari pelajar, dipercayai terperangkap di sebuah bangunan sekolah yang runtuh.

Akhbar Jakarta Post melaporkan, seramai 60 pelajar sedang menghadiri kelas tambahan, ketika kejadian berlaku.

Keadaan di Padang diburukkan dengan kekurangan bekalan bahan api, kedai kehabisan bekalan makanan dan penduduk sukar mendapatkan bekalan air bersih.

Kebanyakan jalan di wilayah itu musnah berikutan tanah runtuh. Sebuah klinik dua tingkat di hospital utama bandar itu telah kosong selepas operasinya tamat turut roboh.

Pesakit di beberapa wad kecemasan dipindahkan ke khemah berhampiran, manakala rumah mayat sementara didirikan bagi menampung tempat penyimpanan mayat.

Keadaan di Pariaman yang berhampiran pusat gempa dilaporkan lebih buruk dengan beratus-ratus bangunan musnah sama sekali, tetapi keadaan di kawasan lebih terpencil belum diketahui. �(Berita ini diambil dari Berita Harian Online - Reuters, 3 Oktober 2009)

---------------

PM utus ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi Padang

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengutuskan ucapan takziah kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono dan Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo berikutan bencana alam yang melanda kedua-dua negara itu baru-baru ini sehingga mengorbankan nyawa dan kerosakan harta benda awam dan peribadi.

Dalam suratnya kepada Susilo, Najib menyatakan rasa amat sedih dan terharunya dengan kejadian gempa bumi yang melanda Padang, Sumatera Barat pada Rabu lepas.

"Dalam hal ini, saya bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia serta bagi pihak diri saya sendiri ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga mangsa yang terlibat," katanya.

Najib juga memberi jaminan kepada Susilo bahawa Malaysia sentiasa bersedia menghulurkan sebarang kerjasama dan bantuan sewajarnya kepada Indonesia sekiranya diperlukan.

Beliau juga berdoa kepada Allah S.W.T agar terus melindungi Indonesia dan rakyatnya selain berharap mereka akan terus tabah dan sabar dalam menghadapi dugaan itu.

Sehingga kini, kira-kira 770 orang terkorban dan 295 parah akibat kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter yang melanda Padang.

Sementara itu, dalam perutusan beliau kepada Arroyo, Najib berkata beliau berasa amat sedih dengan kejadian tragik taufan "Ondoy" yang mengakibatkan banjir besar di Metro Manila dan kawasan sekitarnya yang telah mengakibatkan kemusnahan.

"Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya menghulurkan rasa simpati kepada kerajaan dan rakyat Filipina terutama kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam bencana alam tragik ini.

"Pada waktu sukar ini, saya mendoakan kesejahteraan dan keselamatan semua rakyat Filipina," katanya.

Setakat 30 September kira-kira 83 orang terbunuh dan lebih 330,000 kehilangan tempat tinggal selepas berlakunya hujan teramat lebat dalam tempoh empat dekad yang menenggelamkan kawasan di ibu negara Filipina.

(Berita ini diambil dari Utusan Online - BERNAMA, 3 Oktober 2009)

No response to “BERITA”

Post a Comment