KUALA LUMPUR, 30 Okt: Lembaga Disiplin PAS akan bersidang buat pertama kalinya esok mulai jam 10.30 pagi selepas mendapat arahan menyelesaikan segera beberapa isu dalaman PAS, kata ketuanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Namun, dimaklumkan bahawa, tidak akan ada sebarang sidang media atau kenyataan media berkaitan dengan hal ini sehinggalah keputusan diserahkan kepada Jawatankuasa Pusat, katanya. "Kami akan bermesyuarat esok dan akan melihat dokumen-dokumen yang ada sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut," kata Tuan Ibrahim kepada Harakahdaily. Lembaga ini, katanya, mempunyai lima anggota termasuk beliau. Mereka terdiri dari peguam, tokoh agama dan anggota veteran PAS. "Namun saya tidak bercadang untuk mendedahkan nama mereka," kata Tuan Ibrahim. Lembaga Disiplin PAS telah diarahkan bersidang segera bagi menyiasat beberapa dakwaan kepada PAS Selangor. Arahan ini dibuat oleh mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini. Ia dimaklumkan kepada media oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang medianya kira-kira jam 1.00 pagi 29 Oktober semalam. Selain Lembaga Disiplin diminta bersidang segera, PAS juga akan mengadakan satu seminar khas yang bakal disertai lebih 1,000 pemimpin parti di semua peringkat 7 November nanti. Ia akan diadakan di Dewan Datuk Fadzil Noor, Markas Tarbiyah PAS, Taman Melewar. Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub diamanahkan untuk menguruskan seminar ini. Turut diputuskan dalam mesyuarat khas itu adalah, isu kerajaan perpaduan telah ditutup dan tidak akan dibicarakan lagi. Menurut Tuan Ibrahim, beliau telah menerima beberapa dokumen yang disampaikan kepada beliau. "Ada yang sampai melalui Setiausaha Agung. Dan ada yang disampaikan kepada saya melalui presiden sendiri," katanya kepada Harakahdaily. Menurutnya, lembaga ini akan meneliti segala dokumen itu apakah ia bertentangan dengan didiplin parti atau ia hanya ijtihad peribadi individu berkenaan sahaja. Dari situ, katanya, lembaga ini akan membuat cadangan kepada Jawatankuasa PAS Pusat apakah bentuk tindakan yang akan diambil.
-------------------------------
Pinda ISA, bukan hasrat rakyat-GMI Dzulfikar Mashoor | KUALA LUMPUR, 30 Okt: Gerakan Mansuh ISA (GMI) menegaskan keputusan kerajaan untuk meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersandarkan sokongan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) tidak mencerminkan sokongan sebenar rakyat Malaysia. Malah NGO terbabit langsung tidak dilihat mewakili rakyat terbanyak, tetapi mereka adalah penyokong setia dasar kerajaan. "Kelab Penyokong BN dan BTN (Biro Tata Negara)...mewakili suara rakyat, atau memang pertubuhan yang jelas menyokong dasar-dasar kerajaan dan Umno seperti sokong ISA," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh ketika dihubungi Harakahdaily. "Hishamuddin jemput beberapa pertubuhan yang sudah menyokong kerajaan bersama Majlis Peguam Negara. Walaupun Majlis Peguam tidak bersetuju, masih tidak memadai untuk kerajaan putuskan seluruh rakyat sokong ISA." Ujarnya, sekiranya kerajaan jujur mahu mendengar suara rakyat, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein sewajarnya turut menjemput GMI untuk memberi pandangan tentang akta tersebut. Ini kerana pertubuhan tersebut sejak tahun 1987 lagi lantang menentang ISA dan layak memberi pandangan tentang akta tersebut. "GMI bukan sebuah NGO, tapi sebuah gabungan 87 pertubuhan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), badan berkanun Kerajaan, parti-parti politik, badan wanita dan beberapa pertubuhan pelajar," jelasnya. "Dalam GMI ada JiM (Jamaah Islah Malaysia), keahliannya 10 ribu orang. Parti PAS, PKR, DAP yang bersama GMI semuanya tentang ISA, jika minimum ahli satu juta, bermakna sudah ada lebih tiga juta. Ini baru mencerminkan suara sebenar rakyat." Tambahnya lagi, Hishamuddin juga sepatutnya memanggil NGO berlatarbelakangkan perundangan dan hak asasi menusia, seperi Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). Beliau juga menasihatkan Hishamuddin agar melihat bersama beberapa penanda aras yang lain, selain pendirian beberapa NGO terbabit. "Satu lagi aras tanda, lebih 40 hingga 50 ribu rakyat berhimpun aman desak ISA dimansuhkan pada 1 Ogos lalu, sedangkan penyokongnya (pro ISA) boleh dibilang dengan jari, maksudnya jumlahnya cukup kecil." "Satu lagi aras tanda, keputusan PRU (pilihan raya umum) lepas, kita (GMI) percaya kempen anti ISA adalah salah satu faktor BN hilang majoriti besar di Parlimen dan hilang empat negeri (Selangor, Kedah, Perak dan Pulau Pinang) lagi." Ekoran keputusan Hishamuddin itu juga, Said Ibrahim bercadang mengadakan suatu dialog tergempar di Parlimen demi melobi para Ahli Parlimen menolak draf pindaan ISA kelak. Semalam, Bernama melaporkan Hishamuddin mahu meminda iSA sahaja, setelah mendapat sokongan dari Kelab Penyokong Barisan Nasional, BTN, Majlis Pertubuhan Wanita Kebangsaan (NCWO). Hishamuddin juga dilaporkan yakin membentangkan draf pindaan akta itu untuk bacaan pertama dalam sidang parlimen sekarang. Tegasnya lagi, akta tersebut diperlukan demi mempertahankan keselamatan negara dari ancaman militan dan pengganas. Sekiranya pindaan pada akta tersebut masih mengekalkan amalan 'tahanan tanpa bicara' bermakna akta tersebut akan kekal diprotes oleh rakyat, termasuk GMI. |
(Berita ini diambil dari Harakah Daily,31 Oktober 2009)
|
No response to “BERITA”
Post a Comment