1Rantau 1Dunia aman sejagat
Oleh Nor Hayati Md Said di Paris
bhnews@bharian.com.my
NAJIB bersalaman dengan Perdana Menteri Perancis, Francois Fillon pada pertemuan di Paris, semalam. |
Konsep dapat bantu hadapi tiga cabaran besar: Najib
DATUK Seri Najib Razak berkata, konsep 1Rantau 1Dunia yang bersandarkan kepada sikap saling mempercayai dan menghormati serta bekerjasama adalah formula paling tepat untuk dilaksanakan pada peringkat global dalam mencapai keharmonian dan keamanan dunia.
Perdana Menteri berkata, konsep itu boleh membantu dunia menghadapi tiga cabaran besar ketika ini, iaitu jurang perbezaan budaya dan fahaman yang semakin tebal, krisis ekonomi global dan perubahan cuaca yang perlu ditangani secara bersama.
Beliau berkata, hasrat rakyat Malaysia untuk mencapai 1Impian, 1Bangsa dan 1Negara menerusi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkannya selepas mengambil alih tugas Perdana Menteri, April lalu, juga boleh menjadi impian masyarakat seluruh dunia untuk hidup harmoni.
Dalam ucaptama pada Persidangan Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) ke-35 di sini, semalam, Najib juga berkata, dalam menghadapi cabaran pertama, Malaysia bersedia menjadi jambatan dialog antara budaya bagi mencapai keamanan berterusan.
"Keamanan tidak boleh dicapai kerana paksaan dan ketakutan. Kejahilan, ketakutan, prejudis dan sikap tidak peduli, jika dibiarkan akan menimbulkan perasaan benci, fanatik, ekstrim dan terlalu bergantung kepada takdir. Ini tentu akan memburukkan lagi keadaan dunia yang sakit sekarang.
"Kesediaan Malaysia ini bukan kerana untuk kepentingan diri, tetapi ini adalah untuk kejayaan dan kepentingan bersama," katanya yang menjadi pemimpin pertama dari Malaysia diberikan penghormatan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu.
Beliau yang dalam rangka lawatan empat hari ke Paris sejak Ahad lalu, diiringi isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir dan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zakarshi.
Mengenai cabaran kedua, Perdana Menteri berkata, dunia perlu membentuk sistem kewangan global yang baru bagi menjadikan keadaan lebih stabil dan adil dalam menghadapi kesan globalisasi.
Najib berkata, krisis ekonomi yang dihadapi adalah realiti yang perlu dihadapi dan negara dunia perlu bergabung untuk menghadapinya.
Katanya, pembentukan sistem kewangan global yang baru itu akan dapat memastikan kekayaan dirasai bersama dengan adil oleh semua negara.
"Kita tidak boleh benarkan lagi kapitalisme berasaskan sifat tamak terus berkuasa," katanya.
Dalam menghuraikan cabaran ketiga pula, Perdana Menteri memberikan gambaran mengenai bencana tsunami di barat Samoa, ribut di Filipina serta banjir teruk di Selatan India.
Beliau yang sedih dengan kejadian itu, berkata masalah timbul berikutan perubahan cuaca yang perlu ditangani di peringkat global kerana ia bukan saja menjadi cabaran kepada generasi masa depan, tetapi juga generasi masa kini.
Najib berharap Persidangan di Copenhagen akan datang dapat mencerminkan komitmen sejagat dalam usaha menangani perubahan cuaca.
"Ini adalah tanggungjawab besar dan perlu ditangani bersama dengan bersungguh-sungguh dan komitmen yang tidak berbelah bahagi. Kita tidak boleh gagal dalam menangani masalah ini," katanya.
Beliau berkata, pepatah Melayu "bersatu teguh, bercerai roboh" mungkin boleh menggambarkan jika usaha dilakukan bersama sebagai 1Dunia tiada halangan yang boleh menggugat kejayaannya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 7 Oktober 2009)
Padang disembur kimia antivirus
PENDUDUK Padang menunggu giliran untuk mendapatkan bantuan perubatan bagi mengelak penularan wabak penyakit. |
Usaha bendung penularan penyakit berikutan gempa kematian mangsa
PADANG: Pekerja kesihatan menyembur seluruh Padang semalam dengan kimia anti jangkitan bagi membendung penularan wabak penyakit berikutan kematian dan kemusnahan akibat gempa bumi enam hari lalu.
Misi menyelamat di Padang yang mempunyai 900,000 penghuni itu, kini bertukar menjadi usaha membantu ribuan penduduk yang kehilangan kediaman.
Ketika bantuan terus mencurah-curah ke kawasan terbabit, skala bencana, hujan lebat dan kerosakan jalan raya menghalang pengagihan bantuan bekalan sehingga mencetuskan kemarahan di kalangan mangsa.
"Saya melihat laporan melalui televisyen banyak kotak di lapangan terbang dan ia tidak dihantar kepada mangsa. Ini tidak adil. Ia adalah barang keperluan," kata gabenor Sumatera Barat, Gamawan Fauzi.
Isnin lalu, koresponden Reuters di beberapa kawasan dimaklumkan penduduk bahawa hanya sedikit saja bantuan diterima mereka.
"Semalam apa yang saya makan hanyalah sebungkus mi segera. Kami semua kelaparan. Kami dengar melalui radio bahawa bantuan sudah tiba tetapi mana dia?" tanya Erol, seorang penduduk yang mempunyai bayi berusia 10 hari di Pasa Dama, sebuah kampung di luar Padang.
MANGSA gempa diberi suntikan vaksin bagi mengelak dijangkiti wabak penyakit. |
Gabenor Fauzi menafikan sebarang bantuan bekalan jatuh ke tangan yang salah.
"Resit bantuan ditandatangani ketua setiap daerah kecil. Jadi kami tahu apa yang mereka terima. Saya rasa risiko rasuah terlalu kecil," kata Fauzi.
Gabenor itu berkata, badan berkaitan kesihatan dan pakar sedang memantau kes kolera dan kancing mulut.
Presiden Susilo Bambang Yudhoyono semalam mengkritik pihak berkuasa di kawasan dilanda gempa kerana tidak memberi tumpuan kepada keperluan kecemasan dan terlalu pentingkan pembangunan semula. �(Berita ini diambil dari Berita Harian Online - Reuters, 7 Oktober 2009)
No response to “BERITA”
Post a Comment